Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Raja Ahmad Iskandar memberi tempoh lima hari kepada pengerusi DAP Karpal Singh untuk meminta maaf dan menarik balik kenyataan yang didakwa berhasrat untuk menghapuskan parti politik berasaskan keagamaan.

Raja Ahmad dalam satu kenyataannya yang dipetik dalam laporanUtusan Malaysia menyebut, barisan pemimpin DAP sepatutnya meminta Karpal memohon maaf kepada PAS atas kenyataan kontroversi bertarikh 5 November itu.

NONEKatanya, beliau memperolehi rakaman sidang media Karpal bertarikh 5 November, yang didakwanya berbeza daripada penjelasan oleh pengerusi DAP berkenaan.

“Kami menuntut kepimpinan DAP meminta Karpal maaf kepada PAS dan menarik balik kenyataan terbaharunya tentang tidak perlu diwujudkan parti politik yang diasaskan kepada pertimbangan keagamaan di Malaysia. 

“Dan juga mengenai hasrat beliau untuk pada akhirnya menghapuskan secara mutlak dari medan politik Malaysia parti diasaskan kepada pertimbangan keagamaan,” katanya seperti dipetik akhbar tersebut.

Tuntutan sama turut disuarakan naib presiden PAS Datuk Mahfuz Omar yang mahu Karpal bersikap jujur dan mengakui kesilapan sekiranya benar-benar berbuat demikian.

Mahfuz yang dipetik dalam laporan Harakahdaily turut menyatakan harapan agar DAP akan dapat mendisiplinkan Karpal atas kenyataan yang dibuat oleh pemimpin veteran itu.

"Dia (Karpal) kena jujur dan berjiwa besar. Sebelum ini dia nafikan, malah (Lim) Kit Siang juga menafikan selepas mendapat penjelasan Karpal itu.

NONE"Dengan pendedahan ini bermakna Karpal bukan sahaja calar imej PAS tapi calar juga imej DAP apabila dia berbohong kepada Lim Kit Siang kata benda itu tidak berlaku. Dia telah heret Kit Siang buat kenyataan salah," kata Mahfuz.

Desakan serupa turut disuarakan Dewan Pemuda PAS Kelantan yang mahu pemimpin DAP sendiri bertindak ke atas Karpal sekiranya pemimpin veteran itu masih enggan memohon maaf.

Timbalan ketua Pemuda PAS negeri Muhammad Hafiz Musa yang dipetik dalam laporan Utusan Malaysia berkata DAP perlu bertindak demikian "atas semangat setiakawan" dan untuk memelihara keharmonian dalam Pakatan.

Karpal dalam satu sidang media pada 5 November lalu didakwa menyarankan supaya parti politik atau persatuan berasaskan kaum dan agama dibatalkan pendaftaran atau diubah suai agar boleh disertai rakyat tanpa batasan kaum dan agama. 

Raja Ahmad mendedahkan transkrip rakaman sidang media tersebut dalam satu kenyataannya semalam, susulan tindakan Karpal yang menafikan bahawa kenyataan tersebut bermaksud demikian.