Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof mempersoalkan dakwaan bahawa terdapat penerbangan rahsia yang mendaratkan pengundi luar di Selangor menjelang pilihan raya umum ke-13 pada Ahad ini.

NONE"Mana boleh? Saya tidak percaya bahawa seseorang boleh tempah tiket dan terbangkan orang Sabah atau Sarawak, atau dari semenanjung ke Sabah dan Sarawak (begitu saja)!"

Pengerusi Pakatan Rakyat Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim semalam mendakwa, risikan mereka mendapati Umno telah membawa masuk pengundi luar, khususnya dari Sabah menggunakan pengangkutan udara.

Bagaimanapun, Khalid yang juga menteri besar berkata, kumpulan itu tidak didaratkan di lokasi biasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Tambang Murah (LCCT) tetapi di "kawasan tertentu".

NONEAziz hari ini bagaimanapun menjelaskan, terdapat pemilih yang mengubah alamatnya daripada satu tempat ke tempat lain kerana berpindah - perkara yang sah menurut undang-undang.

Katanya, proses pilihan raya juga memperuntukkan tempoh bantahan selama dua minggu selepas senarai pengundi yang dipindahkan dipaparkan kepada umum, sebelum perubahan itu diwartakan.

"Kamu tak boleh mudah-mudah bawa orang dengan kereta, atau bas, atau kapal terbang begitu sahaja, kecuali mereka pergi melancong. Itu saya tidak tahu," katanya.

Malaysiakini sudah menghubungi beberapa pemimpin BN untuk mendapatkan ulasan atas dakwaan itu tetapi belum ada respons diberikan setakat ini.