Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Wednesday, June 18, 2014

Jadi Selama Ini PAS Kelentong Rakyatla?

Malaysia bukan negara sekular, Islam dijamin Perlembagaan, kata PAS 
Published: 18 June 2014 | Updated: 18 June 2014 3:32 PM
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata Malaysia tidak boleh dianggap sekular totok tetapi sekular ringkas, kerana jika Perlembagaan sekular, maka ia tidak langsung menyentuh kedudukan agama. – Gambar fail The Malaysian Insider, 18 Jun, 2014.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu berkata Perkara 3 dalam Perlembagaan Persekutuan jelas menerangkan perkara itu, selain kuasa agama di peringkat negeri turut disebut dalam Jadual ke-9.
“Malaysia tidak boleh dianggap sekular totok tetapi sekular ringkas, kerana jika Perlembagaan sekular, maka ia tidak langsung menyentuh kedudukan agama.
“Sedangkan Perkara 3 menyebut dengan jelas: Islam agama rasmi Persekutuan. Kuasa agama di negeri juga dijamin dalam Jadual ke-9,” katanya kepada The Malaysian Insider.
Semalam, semasa sidang Dewan Rakyat, Ahli Parlimen Sibu Oscar Ling dari DAP mahu Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan kerana menolak Malaysia sebagai negara sekular.
“Kenyataan ini salah dan mengelirukan Dewan. Semasa pembentukan Malaysia, difahamkan Singapura, Sarawak dan Sabah tidak datang daripada latar belakang sultan Melayu beragama Islam.
“Saya mahu Jamil Khir menarik semula kenyatannya dan membuat pembetulan, Malaysia adalah negara sekular berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963,” kata Ling.
Mujahid berkata dalam keputusan mahkamah sebelum ini juga jelas bahawa agama Islam tidak boleh disamakan dengan agama lain.
“Keputusan hakim di mahkamah ada menyebut, Islam pada awalnya sebagai adat di majlis rasmi, kemudian pernah dibuat keputusan di Mahkamah Tinggi menyatakan Islam tidak boleh dilihat sama dengan agama lain di Malaysia.
“Siapa mempertikaikannya lebih tahu. Keputusan hakim boleh menafsir maksud kedudukan Islam, sekaligus menjawab persoalan itu,” katanya kepada The Malaysian Insider.
Ahli Parlimen Parit Buntar itu berkata persoalan sama ada Malaysia sebuah negara sekular ataupun tidak masih boleh diperbahaskan lagi.
Katanya, tidak mudah untuk melabelkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam, kerana pelbagai tafsiran yang berkisar tentang kenyataan itu.
“Isu sekular ini boleh dibahas secara akademik. Sesiapa yang terlibat dalam perdebatan ini perlu bersifat objektif dengan realiti yang ada pada hari ini.
“Jika hendak berkata negara Islam, dipertikaikan juga apa definisi negara Islam? Apakah terlaksana undang-undang, polisi, piawaian Islam? Sudah tentu kita tidak katakan demikian,” katannya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata pada Isnin, Malaysia bukan sebuah negara sekular kerana kedudukan istimewa agama Islam berada dalam kerangka Perlembagaan.
Katanya, berdasarkan fakta sejarah menunjukkan raja-raja Melayu merupakan ketua agama Islam bagi negeri masing-masing.
Beliau berkata kenyataan itu diperkukuhkan berdasarkan Perkara 3, Perlembagaan Persekutuan yang jelas menyatakan agama Islam adalah agama bagi Persekutuan, namun tidak menghalang agama lain diamalkan di negara ini.
"Oleh yang demikian, kedudukan ini berbeza dengan negara sekular yang tidak menetapkan sesuatu agama sebagai agama negara, tetapi rakyatnya dibenarkan untuk mengamalkan agama mereka masing-masing," katanya dalam jawapan bertulis kepada Ling.
Ahli Parlimen DAP, Gobind Singh Deo semalam meminta Yang di-Pertuan Agong menggunakan kuasanya di bawah Perkara 130 Perlembagaan Persekutuan bagi merujuk ke Mahkamah Persekutuan dalam memastikan Malaysia sebuah negara sekular ataupun tidak.
“Sebagai ahli Parlimen, saya dengan penuh hormat memohon Baginda menggunakan kuasa di bawah Perkara 130 Perlembagaan Persekutuan untuk merujuk hal negara sekular ini kepada Mahkamah Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan.
Perkara 130 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Yang di-Pertuan Agong boleh merujuk kepada Mahkamah Persekutuan untuk pendapatnya apa-apa soal tentang kesan mana-mana peruntukan Perlembagaan yang berbangkit atau yang tampak padanya mungkin berbangkit. – 18 Jun, 2014.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa