Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Friday, June 20, 2014

Memahami tindakan KPN

18 Jun 2014

SELAIN daripada bertekak pasukan manakah yang bakal menjuarai Piala Dunia dengan rakan-rakan yang “mengeteh” bersama penulis di tempat biasa yang kami lepak, penulis lebih tertarik dengan isu  Deepa lawan Izuan Abdullah iaitu kes tentang soal hak penjagaan anak yang membabitkan keputusan berbeza antara mahkamah syariah dan sivil.

Isu ini terus menjadi perbualan antara kami walaupun aksi bola sepak Piala Dunia begitu sengit di televisyen.

Dan pastinya persoalan yang dibincangkan ialah pihak manakah yang mempunyai kuasa memutuskan hak penjagaan anak?  Mahkamah Syariah atau Sivil?

Dan adakah  mahkamah sivil mempunyai bidang kuasa untuk membuat keputusan berkenaan untuk si isteri yang bukan Islam apabila si suami telah memeluk Islam?

Dan bagaimana pula dengan status dan pertukaran pertukaran agama kanak-kanak tersebut . Adakah ia sah dan mengikut undang-undang?

Ini adalah persoalan yang biasa kita bincangkan apabila kes seperti ini berlaku.

Kes ini terus  menarik perhatian ramai apabila ada pihak yang tidak bersetuju dengan tindakan, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang terus mempertahankan tindakan dan  kenyataannya bahawa polis akan menempatkan anak-anak  dalam kes hak penjagaan membabitkan mahkamah syariah dan sivil, di pusat penjagaan.

Khalid berkata, polis mengambil jalan tengah dalam soal hak penjagaan anak yang membabitkan keputusan berbeza mahkamah syariah dan sivil, tanpa menguatkuasakan perintah mana-mana mahkamah.  

Ramai di antara kami yang berpendapat ini adalah langkah yang adil dan perlu dilaksanakan  walaupun boleh dipertikaikan dari segi perintah yang sudah dikeluarkan oleh pihak mahkamah.

Itu sebabnya bagi yang tidak bersetuju dengan tindakan KPN, telah mendakwa KPN tidak menghormati undang-undang yang diperintahkan oleh mahkamah.

Apa yang pasti kes ini telah mengundang semula satu isu tentang perundangan Syariah yang sering kali berhadapan dengan pelbagai cabaran terutamanya yang melibatkan pertindihan bidang kuasa dengan Mahkamah Sivil.

Sebenarnya  Perlembagaan Persekutuan telah menetapkan bidang kuasa Mahkamah Syariah dan setakat mana undang-undang Islam dapat dilaksanakan di negeri-negeri Melayu. Perkara ini cukup jelas yang mana telah memberikan kuasa kepada negeri untuk menjalankan pentadbiran undang-undang Islam.

Itu sebabnya kita perlu merujuk pada Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan yang secara dasarnya memberi kuasa penuh kepada mahkamah syariah untuk mengadili semua kes yang melibatkan hal ehwal yang bersangkutan dengan agama Islam.

Prinsip yang terkandung dalam Perkara 121(1A) merupakan  salah satu usaha untuk memartabatkan perundangan Syariah dalam negara. Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan ini juga secara dasarnya telah meletakkan kedudukan mahkamah syariah setaraf dengan mahkamah sivil.

Selain itu kita juga perlu meneliti Perkara 12(4) perlembagaan Persekutuan yang juga memperuntukkan agama seseorang yang di bawah umur 18 tahun hendaklah ditetapkan oleh ibu atau bapa penjaganya tidak perlu dipinda.

Keadaan menjadi lebih rumit apabila Mahkamah Tinggi (Sivil) Seremban mengeluarkan perintah hak jagaan pada 7 April lalu sedangkan Mahkamah Syariah Seremban sudah pun mengeluarkan perintah yang sama pada 19 Mac tahun lalu dan perlu diingatkan bahawa  perintah itu tidak pernah dibatalkan.

Bahkan ada di antara kami berpendapat keputusan ini seperti tidak menghormati bidang kuasa mahkamah syariah serta menafikan keistimewaan mahkamah syariah dalam membicarakan kes yang tidak boleh dicabar oleh mahkamah sivil.

Namun tindakan yang dilakukan plaintif disebabkan Senarai 2(1) Perlembagaan Persekutuan yang telah menetapkan bahawa Mahkamah Syariah hanya mempunyai bidang kuasa ke atas orang-orang yang menganut agama Islam dan ini memberi peluang yang kes ini juga  boleh diputuskan oleh Mahkamah Sivil?

Dan kita akan berbalik kepada persoalan asas, iaitu i bagaimana pula dengan status si suami yang sudah memeluk  agama Islam? Bukankah orang yang sudah menganut agama Islam tertakluk kepada bidang kuasa Mahkamah Syariah juga?

Bagaimana pula dengan pindaan Perenggan 1A dalam Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan. Di sinilah terdapatnya  garis pemisah antara Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil .

Daripada pemahaman kami , Perenggan 1A ini menjelaskan bahawa Mahkamah Sivil tidak boleh mencampuri perkara-perkara yang berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah. Dengan itu, peruntukan ini telah mengeluarkan Mahkamah Syariah dari kekuasaan Mahkamah Sivil.

Perlu diingatkan bahawa sebelum pindaan ini terdapat beberapa kes yang  mana setelah Mahkamah Syariah membuat keputusan, pihak yang kalah  akan memohon kepada Mahkamah Sivil untuk membuat keputusan sebaliknya, khasnya dalam kes penjagaan anak.

Itu sebabnya ada beberapa kes yang mana  kedua-dua mahkamah mengeluarkan keputusan yang berbeza. Jadi, pindaan pada Perenggan 1A ini dibuat bertujuan untuk mewujudkan kata sepakat  supaya keputusan kedua-dua mahkamah dihormati. Namun apa yang berlaku dalam kes Deepa lawan Izuan Abdullah adalah sebaliknya.

Saya yakin kes Deepa lawan Izuan Abdullah bukanlah kes terakhir tentang isu penjagaan anak oleh ibu dan ayah yang berbeza agama. Saya pernah terbaca, terdapat lebih daripada 40 kes yang pernah dibicarakan yang melibatkan bidang kuasa antara Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil.

Saya juga tertarik dengan saranan dari  Pensyarah Kanan di Jabatan Syariah dan Undang-Undang, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya Dr Siti Zubaidah Ismail yang menegaskan bahawa sudah sampai masanya pihak kerajaan menimbang keperluan penggabungan Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah bagi kes tertentu melibatkan orang Islam dan bukan Islam.

Menurut beliau lagi pendekatan yang boleh diambil ialah dengan menggunakan kaedah mediasi dan Mahkamah Syariah juga perlu bersedia untuk menghadapi cabaran penggabungan kepakaran bagi merealisasikan keadilan kepada pihak-pihak yang memohon.

Cadangan ini membawa kita kepada kemungkinan pembentukan sebuah mahkamah khas yang mengendalikan kes yang tertakhluk kepada Mahkamah Syariah dan sebahagian lagi kepada Mahkamah Sivil. Dan Mahkamah Khas ini mempunyai bidang kuasa untuk menyelesaikan kes-kes seperti Deepa lawan Izuan Abdullah.

Mungkin apa yang dicadangkan oleh Dr Siti Zubaidah Ismail tentang penggabungan dua mahkamah ini  bukanlah sesuatu yang baru kerana Pensyarah kanan itu juga menegaskan yang idea ini pernah diutarakan oleh bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad.

Jika saya tidak silap Tokoh Undang-Undang negara, Allahyarham Tan Sri Professor Ahmad Ibrahim, juga pernah mencadangkan percantuman beberapa bahagian khusus antara Mahkamah Syariah dan Sivil.

Sudah sampai masanya jalan penyelesaian yang muktamad diambil agar kita tidak terus dibelenggu dengan masalah–masalah seperti ini. Walaupun kita berhadapan dengan suatu masalah yang sangat serius , namun masih terdapat jalan penyelesaian melalui rundingan .

Perlu diingatkan juga bahawa bukanlah sesuatu yang mudah untuk Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar membuat keputusan yang telah mengundang kontroversi ini. Ramai di antara kita yang tidak melihat akan rasional tindakannya itu.

Namun, mungkin masa dan ruang yang digunakannya ini boleh mengundang pihak yang terbabit mengadakan rundingan yang boleh menyelesaikan kemelut kes ini.   .

Shahbudin Embun
Ahli Majlis Perundingan Melayu Malaysia/ Blogger Lawyer Pokok Cherry

1 comment:

  1. X der apa yg pn pada Bola Piala Dunia persembahan yg hambar dan cara permainan yg saolah2 sudah di atur sedemekian rupa...kuasa wang dan politik mengatasi segala2nya..j

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa