Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Saturday, June 21, 2014

Keputusan kes kalimah 'Allah', pembunuhan Altantuya Isnin ini

mk - 1:36PM - 21 Jun 2014
Mahkamah Persekutuan akan menjadi perhatian ramai Isnin ini apabila ia memutuskan dan mendengar dua kes berprofil tinggi membabitkan penggunaan kalimah 'Allah' dan pembunuhan Altantuya Shaariibuu.
    
Pada hari berkenaan, mahkamah tertinggi itu akan menyampaikan keputusan yang amat ditunggu-tunggu, sama ada membenarkan atau tidak, Gereja Katolik merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang melarang penerbitan mingguan 'The Herald' daripada menggunakan kalimah 'Allah', dalam versi bahasa Malaysia terbitannya.
    
Pada 5 Mac lepas, Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria mempengerusikan panel tujuh hakim mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak berhubung permohonan kebenaran merayu itu.
    
Gereja itu memohon kebenaran Mahkamah Persekutuan untuk meneruskan rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 15 Okt 2013, yang melarang penggunaan kalimah Allah dalam versi bahasa Malaysia terbitannya.
    
Pada 31 Disember 2009, Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan The Herald menggunakan kalimah Allah selepas Mahkamah Tinggi mengisytiharkan bahawa keputusan Kementerian Dalam Negeri melarang penerbitan itu daripada menggunakan kalimah Allah adalah menyalahi undang-undang, terbatal dan tidak sah.
    
Pada 2009, gereja Roman Katolik diketuai Paderi Besar Murphy Pakiam memfailkan permohonan semakan kehakiman yang menamakan Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan sebagai responden, antara lain memohon perisytiharan bahawa keputusan kementerian melarang penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan The Herald adalah tidak sah.
    
Majalah mingguan itu, yang diterbitkan dalam empat bahasa, menggunakan kalimah Allah untuk merujuk kepada Tuhan dalam versi bahasa Malaysia, terutama bagi memenuhi keperluan penganut Katolik di Sabah dan Sarawak.
    
Mengikut Akta Mahkamah Kehakiman 1964, seseorang pemohon dalam kes sivil perlu terlebih dahulu mendapatkan kebenaran Mahkamah Persekutuan untuk membawa rayuan mereka ke Mahkamah Persekutuan.
    
Apabila Mahkamah Persekutuan berpuas hati bahawa persoalan undang-undang yang dikemukakan pemohon memenuhi keperluan perundangan, Mahkamah Persekutuan kemudiannya akan memberi kebenaran merayu.
    
Jika Mahkamah Persekutuan memutuskan untuk tidak memberi kebenaran merayu kepada gereja itu, keputusan Mahkamah Rayuan terpakai dan gereja itu tidak boleh lagi mengemukakan rayuan.
    
Pada hari yang sama, mahkamah itu akan mendengar rayuan pendakwa terhadap pembebasan dua anggota Unit Tindakan Khas polis, Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar terhadap pertuduhan membunuh wanita warga Mongolia Altantuya Shaariibuu.
    
Pada 23 Ogos tahun lalu, Mahkamah Rayuan membebaskan Azilah dan Sirul Azhar daripada pertuduhan membunuh selepas sebulat suara membenarkan rayuan mereka dan meminda sabitan hukuman mati yang diputuskan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2009.
    
Mereka didapati bersalah membunuh Altantuya, 28, di Mukim Bukit Raja di Shah Alam antara 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober 2006.
    
Mahkamah Rayuan, dalam penghakiman 47 muka surat, menegaskan bahawa keterangan ikut keadaan yang dikemukakan pendakwaan tidak mencukupi untuk mengekalkan keputusan bersalah kedua-dua anggota polis itu.
    
Kesalahan mereka tidak dibuktikan dengan memuaskan, "oleh itu mahkamah terpaksa memberi mereka faedah kesangsian".

Pendakwaan memfailkan petisyen rayuan pada 3 Januari tahun ini, menyenaraikan enam sebab panel tiga hakim Mahkamah Rayuan telah terkhilaf, dalam undang-undang dan fakta, untuk membenarkan kedua-dua anggota polis itu terlepas daripada tali gantung.
    
Bekas penganalisis politik Abdul Razak Baginda, 50, yang pada mulanya didakwa bersubahat dengan mereka, dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada 31 Oktober 2008 selepas mendapati pendakwaan gagal mewujudkan kes prima facie terhadapnya.
    
Pihak pendakwaan tidak mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu di Mahkamah Rayuan.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa