Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Tuesday, July 1, 2014

Lebih Buruk Dari Junta Tentera Burma?

Umno tidak mampu berubah mengikut peredaran zaman
Ng Kee Seng 

KOMEN: Perletakan jawatan secara paksa ahli sains politik Universiti Malaya (UM), Profesor Datuk Dr Mohamad Redzuan Othman merupakan satu lagi pengesahan bahawa keadaan di Malaysia sedang merosot secara perlahan-lahan.

Perletakan jawatan itu mengesahkan lagi bahawa Barisan Nasional (BN) yang diterajui Umno adalah ibarat dinosaur yang pernah merajai dunia, tetapi pupus kerana tidak dapat menyesuaikan diri dengan perubahan dunia.

Keangkuhan dan keengganan Umno untuk menghadapi realiti dan menyesuaikan diri dengan persekitaran sosio-ekonomi global dan domestik yang berubah dengan pantas, pasti akan membawa kepada penghujungnya. Ia hanya menunggu masa.

Perletakan jawatan secara paksa bermakna Umno hidup dalam dunianya sendiri – angkuh dan tidak boleh disentuh.

Jika ia tidak berpuas hati apakah penemuan-penemuan kajian dan tinjauan bebas mengenai politik Malaysia, mengapa mereka mengarahkan tinjauan itu dilakukan?

Lebih baik Umno menggaji pak-pak turut profesional untuk menulis laporan masuk bakul angkat sendiri mengenai kekebalan BN-Umno untuk syok sendiri. Bukankah ini lebih mudah daripada perlu memecat golongan profesional hanya kerana ia tidak sukakan kesimpulannya?

Menurut laporan The Malaysian Insider hari ini (terjemahan), Redzuan telah membayar harga yang mahal bagi menjalankan kaji selidik dan tinjauan bebas mengenai suasana politik di Malaysia - beliau telah diarahkan untuk meletakkan jawatannya sebagai pengarah Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya UM (UMcedel) oleh Kementerian Pendidikan.

Sumber-sumber memberitahu The Malaysian Insider bahawa beliau bukan sahaja telah diarahkan untuk meninggalkan jawatan itu, penggal Redzuan sebagai Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial di universiti itu juga tidak diperbaharui.

Di UM, walaupun dekan dipilih oleh staf akademik, ia masih tertakluk kepada sokongan oleh pihak pengurusan universiti.

Sumber berkata walaupun Redzuan dikatakan telah diberikan sokongan oleh rakan-rakannya bagi dilantik sebagai jawatan dekan, tekanan politik memaksa universiti itu tidak menyokong pemilihannya.

"Universiti itu telah memberi alasan bahawa Redzuan akan bersara tahun depan, dan itulah sebabnya penggal beliau sebagai Dekan tidak akan diperbaharui," jelas sebuah sumber kepada The Malaysian Insider.

Profesor Dr Md Sidin Ishak akan mengambil alih sebagai dekan baru selepas Redzuan.
Walau bagaimanapun, hasil kerja Redzuan di UMcedel yang telah memutuskan nasibnya di universiti itu. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, UMcedel dilaporkan telah menimbulkan kemarahan Putrajaya dengan pelbagai penemuan kaji selidik terhadap politik Malaysia yang telah mencalarkan reputasi BN.

Sebuah kajian yang dijalankan menjelang pilihan raya umum 2013 dikatakan telah menggusarkan BN, di mana penemuannya telah menunjukkan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketinggalan di belakang seteru politiknya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kajian UMcedel itu menunjukkan bahawa lebih 60 peratus daripada pengundi yang ditinjau menyebelahi manifesto Pakatan Rakyat (PR), berbanding dengan hanya 50 peratus bagi janji pilihan raya BN.

Kaji selidik UMcedel juga menunjukkan bahawa 43 peratus daripada responden percaya bahawa Anwar layak menjadi Perdana Menteri, mengatasi Najib dengan empat mata peratusan.

Najib telah menafikan penemuan itu, dan ramai penyokong BN mempersoalkan kaedah kajian yang digunakan.

UMcedel dalam jawapannya menulis bahawa Najib berpuas hati dengan tinjauan awalnya selepas beliau memegang jawatan, yang memberi gambaran yang positif bagi dirinya dan BN.

Walaubagaimana pun di sebalik unjuran ini, BN memenangi pilihan raya umum ke-13 (PRU13) tetapi mencatatkan prestasi yang lebih buruk berbanding PRU12, kehilangan undi popular buat kali pertama dalam sejarah pilihan raya.

Dengan tindakan menolak realiti sebegini, ia hanya menunggu masa bagi Umno yang gagah, seperti dinosaur, akan tumbang dengan majoriti besar kehilangan keyakinan penuh disebabkan tadbir urus yang tidak cekap.

Persoalannya ialah bagaimana dan keadaan yang akhirnya akan memaksa BN-Umno melepaskan kuasa.

Dan sewaktu BN-Umno terus memerintah dengan sokongan minoriti, keadaan Malaysia menjadi semakin buruk, lebih buruk dari junta tentera Burma sekalipun.

1 comment:

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa