Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Wednesday, November 12, 2014

Kes Sarbaini: Wan Zainalabidin nafi pernah beri wang suapan antara RM50 hingga RM100

Rakan nafi cuba pengaruhi Sarbaini tukar pengakuan
Published: 12 November 2014
Pegawai syarikat logistik, Wan Zainalabidin Wan Zaki hari ini menafikan beliau cuba mempengaruhi Ahmad Sarbaini Mohamed (gambar) sehingga menyebabkan rakannya itu membuat keputusan menukar pengakuan bersalahnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)

Wan Zainalabidin, 44, eksekutif kanan operasi eksport logistik Syarikat Schenker Logistik (Malaysia) Sdn Bhd, berkata demikian ketika disoal Peguam Kanan Persekutuan Kamal Azira Hassan, yang mewakili SPRM.

Beliau juga tidak bersetuju dengan cadangan Kamal Azira Ahmad Sarbaini cuba dipengaruhi olehnya, berikutan perbualan telefon antara mereka beberapa kali sebelum kematian penolong pengarah Kastam Selangor itu.
Wan Zainalabidin, yang kerap berurusan dengan Kastam untuk mendapatkan kelulusan berkaitan penghantaran kontena untuk dieksport melalui Pelabuhan Klang berkata, beliau juga tidak pernah memberi tekanan kepada Sarbaini sehingga menyebabkannya mengambil keputusan menukar pengakuan bersalah kepada tidak bersalah kepada SPRM.
"Sebenarnya Sarbaini berada dalam keadaan tertekan ketika disoal siasat SPRM pada 4 April lepas berhubung dakwaan rasuah. Dia pernah memaklumkan kepada saya dia dianiaya dan disebabkan keadaannya yang buntu, dia memberikan nama saya kepada SPRM kerana ingin keluar dari lokap SPRM," katanya ketika pemeriksaan balas oleh peguam Razlan Hadri Zulkifli, yang mewakili
keluarga Sarbaini.
Wan Zainalabidin, menyambung keterangannya pada hari ketiga perbicaraan kes tuntutan saman RM8 juta yang difailkan balu Ahmad Sarbaini, Masiah@Maziah Manap, 53, bersama anaknya, Shahril Ahmad Sarbani, 30, terhadap SPRM dan lapan yang lain berhubung kematian Ahmad Sarbaini di pejabat SPRM Wilayah Persekutuan di Jalan Cochrane di Kuala Lumpur, pada 6 April 2011.
Beliau juga menafikan pernah memberi wang suapan antara RM50 hingga RM100 kepada Sarbaini kerana sebagai ejen penghantar, syarikat Schenker hanya akan membuat perisytiharan penghantaran dalam borang kastam dan ia tidak melibatkan sebarang pembayaran duti.
Prosiding di hadapan Hakim Datuk Kamaludin Md Said akan bersambung 13 Januari tahun depan dan sembilan saksi defendan (SPRM) dijangka memberi keterangan.
Pada 4 April lepas, Masiah dan anaknya, Shahril memfailkan saman dengan menamakan SPRM, kerajaan, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Pengarah SPRM Mohamed Yussuf Akope dan lima pegawai lain iaitu Mohamad Fauzi Hussin, Sheikh Niza Khairy Sheikh Mohamed, L. Baskar, Mohd Rosly Mohd Saupi dan Kamal Awang Besar sebagai defendan.
Dalam pernyataan tuntutannya, Masiah mendakwa kematian suaminya disebabkan dibunuh secara tidak sah oleh defendan-defendan sehingga menyebabkan simati mengalami kecederaan yang serius, seterusnya mengakibatkan kematiannya selain mendakwa defendan melakukan serangan mental dan serangan sentuh terhadap simati.
Sehubungan itu, plaintif menuntut ganti rugi untuk 'misfeasans pejabat awam', ganti rugi keterlaluan, ganti rugi teladan dan ganti rugi 'vindicatory' yang kesemuanya berjumlah RM8 juta.
Pada 26 September 2011, Mahkamah Koroner memutuskan tiada unsur jenayah atau penglibatan pihak ketiga dalam kematian Sarbaini.
Sarbaini, 56, yang bertugas di pejabat Kastam Pelabuhan Klang, ditemui mati di gelanggang badminton di tingkat satu pejabat SPRM Jalan Cochrane di Kuala Lumpur, 6 April 2011.
Beliau dilaporkan ke pejabat itu secara sukarela untuk bertemu pegawai penyiasat SPRM berhubung siasatan kes rasuah membabitkan 62 pegawai Kastam. – Bernama, 12 November, 2014.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa