Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Monday, November 10, 2008

Nasib Anak Yang Malang

Cerita ini adalah untuk memenuhi hajat Cikgu Azza. Walau bagaimana pun boleh menjadi pengajaran untuk kita semua.

Semasa anak saya yang kedua(adik) di dalam darjah 3, sekolah rendah saya ke sekolahnya berhajat nak jumpa Guru Besar. Pada masa itu semua murid di luar bilik darjah kerana masa rehat. Saya ternampak seorang budak perempuan yang sebaya dengan adik di bawah pokok tanjung berdiri sambil perhatikan kawan-kawan lain membeli dan makan makanan di kantin. Isteri saya pergi jumpa budak itu dan berikan dia duit. Rupanya dia lapar tetapi tidak berduit. Tidak dibekalkan oleh ibu bapanya.

Bermula dari hari itu, setiap hari kami berikan duit lebih kepada adik untuk diberikan kepada budak perempuan itu. Begitulah setiap hari kami bekalkan dia duit melalui adik. Tujuan kami ialah di samping membantu budak itu, kami juga mengajar adik bersikap pemurah dan prihatin.

Pada satu pagi yang lain pula, selang beberapa bulan, saya hantar adik ke sekolahnya dan saya nampak lagi budak perempuan itu memakai kasut yang tapaknya sudah sesuku tertanggal. Bila dia berjalan, ternganga-ngangalah bahagian depan kasut menampakkan kakinya. Saya hampir menintiskan air mata.

Pada petangnya bila kami balik dari pejabat, kami mencari rumah budak itu dengan membawa kasut dan pakaian. Sesampainya kami di rumahnya kami di sambut oleh ibu budak itu dengan pandangan yang hairan sebab dia tidak kenal kami dan kami tidak pernah ke rumahnya. Kami dapati rumah dan kehidupannya sungguh daif dan tidak terurus. Adik beradik budak itu ramai dan kecil-kecil macam anak tangga.

Saya bertanya khabar dan di mana bapa budak ini sebab saya nak berkenalan. Emaknya kata ayahnya jarang balik sebab tinggal di rumah bini kedua. Dah lah jarang balik, duit pun jarang dihulurkan. Ayahnya bekerja sebagai Guru Sekolah Memandu. Bersama bini muda juga ada anak yang kecil. Saya terpegun, keadaan hidup macam ini pun dengan anak-anak tak terjaga, makan minum tidak cukup tapi ada hati berkahwin dua. Rupanya dalam dunia ni banyak manusia yang berotak macam tu.

Jadi sebelum kami pulang, kami tinggalkan sedikit duit belanja di samping kasut dan pakaian yang kami bawa. Semasa di perjalanan pulang saya cukup sedih bercampur marah mengenangkan kehidupan anak-anak yang terbiar. Saya kata kat isteri saya " Kalau dia abang saya, saya akan terajang biar makan tanah". Nak kahwin dua tidak ada masalah sekiranya mampu dan adil.

Satu lagi peristiwa semasa adik di MRSM. Ada seorang budak lelaki yang adik bahasakan "abang" juga budak kampung yang ibu bapanya peneroka yang miskin. Dia pakai selipar yang uzur dan adik terpijak seliparnya langsung putus. Jadi adik berikan sendalnya untuk budak lelaki tu pakai. Bila kami ke sekolah melawatnya pada satu hujung minggu, adik ceritakan kepada kami tentang budak itu. Oleh kerana kesihan dan tidak sampai hati, kami belikan dia kasut baru. Apa yang kami lakukan adalah atas kehendak Allah dan kami berikan pertolongan dengan ikhlas.

Itulah kehidupan...... penuh dengan cabaran dan dugaan!

9 comments:

  1. Salam saudara Fakhruddin,

    Tiada apa yang dapat saya nyatakan setelah membaca titipan saudara selain dari mendoakan agar ALLAH SWT mencucuri rahmat NYA ke atas saudara serta keluarga lantaran segala budi yang telah saudara taburkan kepada sesama insan.

    Semoga titipan saudara dapat membuka pintu hati saya dan pembaca blog mountdweller.

    Salam persaudaraan.
    Sofi.

    ReplyDelete
  2. Salam uncle...

    Syukur Alhamdulillah..Qaseh x pernah merasa hidup susah kecuali Qaseh sendiri yg cari susah tu..Nasib badan sape yang tahu..Hopefully anak yang malang tu dah berjaya sekarang n mampu merubah nasib keluarganya..

    ReplyDelete
  3. Tuan Mountdweller moga hanya Allah yang membalas jasa baik tuan.

    ReplyDelete
  4. uncle; masih ramai lagi yang begini. memang sebak kalau melihat mereka. tengoklah macam dalam Bersamamu tv3. macam2 kesusahan dapat dilihat. ya. walaupun dah 51 tahun merdeka.

    bagi saya, mereka bukanlah manusia haloba. jauh sekali manusia yang mau nasibnya begitu. mereka adalah manusia yang mahukan penghidupan yang lebih baik. suara mereka tidak besar, kitalah yang sederhana ini membantu mungkin.

    ReplyDelete
  5. Assalamualaikum Saudara,

    Memang si guru pemandu ini patut kena tendang terajang.

    How I wish I can witness you do this to him!!

    Hidupnya hanya menyusahkan anak-anak dan keluarganya sahaja. Semua Nasfu punya pasal.

    Apa apa pun semoga Saudara Sekeluarga sentiasa diRahmati Allah swt. Amin!!

    ReplyDelete
  6. salam uncle..
    azza baru baca...

    ermm..
    nasib kita ni pelbagaikan..sstgh org mhkin btuah..sstgh pula nasibnya spt budak di bawah pokok itu..
    datang juga ke skolah wl kasut terkoyak dan tidak bduit..puncanya..sikap kita org dewasa yg terlalu mengikut kehendak hati(bapa) sehinggakan mengabaikan amanah yg diberi..

    tahniah ikhlas dr hati sy utk uncle dan adik...punya sifat bgitu..sama spt isteri papa..mgkin ini hari dia..esok2 hari kita..

    ReplyDelete
  7. Salam saya buat semua teman-teman.

    Ini hanya satu daripada kes-kes yang saya lihat, malah beribu-ribu lagi manusia yang bernasib malang dan menderita terutama kanak-kanak sama ada akibat daripada bapa/ibu yang tidak bertanggung jawab atau pun memang dilahirkan dari golongan ini.

    Sepatutnya selain dari kerajaan yang membantu mereka, kita juga seandainya dikurniakan Allah kelegaan rezeki, bantulah mereka yang malang ini.

    Sdr. Mohd. Sofi,

    Terima kasih di atas doa saudara. Walau apa pun bantuan saya itu adalah di atas belas kesihan dan Lillahi Taala.

    qaseh,

    Bersyukurlah sekiranya kita tidak ditakdir senasib dengan mereka. Tetapi bertindaklah dengan bijak untuk diri sendiri supaya terhindar dari lembah kesusahan. Dan memang doa kami supaya budak ini mampu merobah nasib dia dan keluarganya satu hari nanti.

    Cik Sakura,

    Terima kasih banyak di atas doa saudari. Tapi apa yang saya buat adalah dengan niat Lillahi Taala.

    Hafiz,

    Ya, betul kata hafiz tu, kita yang ada kelegaan sikit inilah yang perlu bantu mereka. Yang lega banyak lagilah!

    Puan melayuangkat,

    Itulah yang membuatkan saya kesal dan bengang. Menyusahkan anak bini kerana nafsu. Memang sekiranya dia ni keluarga saya, terimalah padahnya.

    Hanis,

    Memang tak terkata!

    azza,

    Kerana kegigihannyalah menyebabkan uncle simpati dan ingin membantu sehingga akhir. Sehingga uncle mencari rumahnya. Kami hulurkan belanja sekolah dia tu, sampailah adik masuk sekolah menengah dan berpindah ke sekolah lain.

    Sebenarnya uncle tidak sampai hati dan tidak boleh tengok orang susah. Di rumah uncle pun sama juga, ada yang pergi ke rumah minta bantu yuran peperiksaan, belanja beli pakaian sekolah, minta jamin ke IPT dan Jaminan Institut-institu latihan kemahiran dan macam benda lagilah. Uncle akan bantu seboleh yang mampu.

    Itulah kadang-kadang aunty kata kat uncle "Awak ni macam Wakil Rakyat pula" Apa pun tidak apalah asalkan kita ikhlas.

    ReplyDelete
  8. Salam Pakcik Din :
    Semoga Allah memberikan rahmat & rezeki yg me-limpah2 utk Pakcik Sekeluarga..
    Kisah Pakcik ni mengingatkan kami sekeluarga ms kecik.Sy dr keluarga miskin yg adik beradik ramai,ayah cuma bawa beca pd ms tu,rumah kami kecil..tp kami bersyukur & redha dgn segala kelapangan & rezeki yg ditentukan kpd kami walaupun sedikit dibandingkan dgn org lain..
    Malahan sy rela masuk itm (yuran murah & asrama,makanan ditanggung kerajaan wlpun diploma shj) drpd Universiti lain (walaupun dpt offer)..sbb sy tau kemampuan keluarga sy setakat itu shj..tp sy bersyukur,kerana inilah kehendakNya kpd kami..

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa