SHAH ALAM - Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, pihaknya kecewa kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak enggan menggantung penggunaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES), tetapi minta Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha menjelaskan pelaksanaannya diperdagangkan kepada dua syarikat swasta.

Guan Eng berkata, Najib harus mewajarkan sendiri kamera AES dan bukan bergantung kepada Menteri Pengangkutan apabila Cho Ha bukan sahaja sudah hilang keyakinan rakyat Malaysia, malah Pemuda Umno dan Gerakan pun sudah menentang AES.

"Apa gunanya Najib minta Kong (Cho Ha) untuk menjelaskan jika Pemuda Umno dan Gerakan tidak mendengar?

"Najib harus mengambil alih dan menjelaskan keperluan AES dalam tiga perkara yang menjadi kebimbangan awam," katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Pertama kata beliau, ialah kenapakah pemasangan kamera AES harus diperdagangkan dan diswastakan?

"Pengeluaran saman trafik harus berunsur pencegahan dan hasilnya harus diberi kepada kerajaan dan bukan untuk manfaat syarikat-syarikat swasta sementara rakyat dibebankan," katanya.

Semalam, Cho Ha memberitahu Sinar Harian bahawa AES akan diteruskan.

Selain itu, beliau yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, kenapakah tidak ada pelarasan had laju di kawasan-kawasan tertentu yang mempunyai had laju yang terlalu rendah seperti 50 atau 60 kilometer sejam.

"Namun begitu, AES untuk pelanggaran lampu merah boleh diterima. Ketiga, kenapakah tiada perbincangan awam dengan rakyat, pihak-pihak berkepentingan, pengguna jalan raya serta mereka yang paling terjejas oleh kamera AES?

"Inilah tiga isu yang gagal dijawab oleh Kong dan harus ditangani oleh Najib sendiri," katanya.