Oleh Raja Noraina Raja Rahim
Kuala Lumpur: Tidak tahan dibelasah dan ditumbuk suami ‘kaki pukul’ saban hari sejak berkahwin lebih setahun lalu, seorang wanita yang masih dalam pantang anak sulungnya akhirnya nekad membuat laporan polis, kelmarin.
Difahamkan, mangsa yang baru melahirkan bayi lelaki lebih sebulan lalu cedera di seluruh badan dan kepala angkara dibelasah suaminya menggunakan wayar elektrik.
Menurut sumber, dalam kejadian jam 1 pagi itu, wanita berusia 20 tahun terbabit yang sedang tidur di rumahnya di Kampung Pandan, di sini, dikejutkan dengan kepulangan suaminya.
“Mangsa menegur suaminya dengan baik, namun lelaki itu dikatakan naik berang lalu memarahi isterinya itu hingga berlaku pertengkaran.
“Suami mangsa yang dikatakan naik angin lalu mengambil wayar elektrik sebelum membelasahnya,” katanya.
Mangsa yang menanggung kesakitan akibat dipukul cuba menghalang namun dia tidak berdaya kerana masih berpantang.
Berikutan itu, mangsa mengalami kecederaan dan lebam di seluruh badan serta kepala.
Menurutnya, mangsa yang tidak tahan lagi menjadi mangsa tabiat buruk suaminya yang dipercayai kaki pukul itu akhirnya nekad membuat laporan di Balai Polis Kampung Pandan, Cheras, di sini.
No comments:
Post a Comment
Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa