Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Wednesday, September 15, 2010

“Ia adalah kes pembunuhan atau satu kes jenayah yang ‘gruesome and cowardice'

Rasanya setakat ini tidak ada lagi sesiapa yang cuba menjadi Penjolok Sarang Tebuan yang ketara. Alhamdulillah semua pihak sedar kesan dan akibatnya terhadap sebuah negara yang dihuni oleh belbagai Ras dan Adat Keturunan.

Kalau ada yang terasa 'gatal tangan dan mulut' tu, tolonglah simpan niat dan hasrat itu!

Di bawah ialah permintaan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussin

Semua pihak diminta supaya tidak menyebar sebarang khabar yang tidak benar atau berita tohmahan yang berkaitan dengan kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya and tiga individu lain, bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus terpelihara.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang membuat gesaan itu berkata beliau melihat kes berkenaan sebagai satu kejadian jenayah kejam dan berat yang merentasi batas kaum dan agama.

“Semua kaum dan agama dalam negara dengan nada yang sama mengutuk apa yang terjadi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. Katanya beliau berharap tindakan lanjut polis dan tindakan undang-undang nanti akan meredakan kemarahan orang ramai dan mampu menangani apa jua kemungkinan, termasuk menangani sebarang persepsi negatif antara mana-mana kaum.

Sosilawati bersama tiga lelaki iaitu pemandu peribadinya, Kamaruddin Shansuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Karim, 32, sebelum ini dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting, Selangor untuk urusan pembelian tanah.

Dua hari lepas polis mengesahkan suspek dalam kes kehilangan jutawan itu mengaku membawa semua mangsa ke sebuah ladang, sebelum mereka dipukul mati dan mayatnya dibakar, manakala abunya dibuang ke dalam sebatang sungai berhampiran Ladang Gadong, Tanjong Sepat di Kuala Langat.

Hishammuddin seterusnya meminta orang ramai yang mempunyai maklumat yang boleh membantu siasatan polis dalam kes pembunuhan itu supaya membuat laporan polis bagi membantu siasatan.

Sementara itu Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar pula dalam satu kenyataan di sini menegaskan kes pembunuhan itu “tidak sama sekali berunsurkan perkauman”.

“Ia adalah kes pembunuhan atau satu kes jenayah yang ‘gruesome and cowardice’,” katanya
.

Ismail turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau tafsiran sendiri dengan hanya mendengar khabar angin sehingga boleh memudaratkan keadaan.

Beliau berkata dengan tertangkapnya beberapa suspek, kes ini boleh dianggap selesai dan ia merupakan satu kejayaan bagi Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia.

“Siasatan akan disiapkan segera dan cadangan pertuduhan akan dikemukakan kepada pihak Peguam Negara agar mereka yang terlibat boleh diadili dan dihukum setimpal dengan kesalahan yang dilakukan,” katanya. – GB/Bernama

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa