Saya ingin kungsi bersama satu cerita yang telah disampaikan kepada saya oleh seorang tua yang umurnya boleh dikatakan bapa kepada saya. Peristiwa ini berlaku pada pertengahan tahun 50'an sebelum Malaya merdeka.
Di Kampung Kelaweh berdekatan dengan pekan Machang, ada seorang manusia yang ditakuti oleh penduduk setempat kerana bengis dan barannya. Dikirakan "gedebe"lah manusia ini. Pantang silap sikit dipukul atau ditakeknya orang itu. Jadilah dia "raja" tidak rasmi di dalam masyarakatnya. Dia mempunyai seorang isteri yang terkenal dengan kecantikannya. Bersama isterinya ini dia dikurniakan seorang anak lelaki. Untuk memudahkan bercerita saya namakan dia Mamat dan isterinya Limah.
Memang menjadi kebiasaan masyarakat Kelantan pada zaman itu, siapa yang gedebe boleh saja mahukan anak siapa atau isteri siapa yang dia berkenan. Maka sudah pasti bila semua orang berkenan adalah wanita yang cantik. Dan kalau sigedebe yang mahukan tiada siapa yang berani menghalang, walau pun bapa siperempuan itu sekali pun. Sesiapa yang berani halang kehendaknya maka padahlah yang menimpa.
Pada suatu hari Mamat, isterinya dan anak lelakinya yang pada masa itu baru berumur 7 tahun bersampan ke kampung seberang. Di kampung seberang juga terdapat seorang yang juga gedebe dan dikelilingi oleh ramai "anak buah" yang menumpang "kegedebelan"nya. Maka dia pun jadilah juga raja yang tidak rasmi di kampung seberang itu. Saya namakan pula manusia ini Seman.
Bila Mamat tiba di kampung seberang bersama isterinya Limah yang cantik dan anak lelakinya itu, maka sampailah berita kepada Seman yang Mamat ada datang ke kampung itu bersama Limah. Memang sejak dari zaman remaja lagi siSeman juga tergila-gilakan Limah yang sekarang sudah menjadi isteri Mamat , tetapi Seman tidak boleh buat apa-apa sebab Mamat orang gedebe yang juga mempunyai anak buah yang ramai di kampungnya.
Sebaik saja berita Mamat dan Limah mendarat di kampung siSeman, maka Seman pun kumpullah anak buahnya untuk merampas Limah dari Mamat. Seman dan gerombolannya bertembung dengan Mamat di jalan ke darat dari sungai dan memberikan kata dua kepada Mamat sama ada serahkan Limah atau Mamat melawan dan kemungkinan besar Mamat dan anak lelakinya akan terbunuh. Oleh kerana pada kiraan Mamat dia tidak ada peluang untuk menang sekiranya melawan bahkan dia pula kecut perut sebab dia berada di kampung orang berhadapan dengan Seman yang mempunyai ramai anak buah, maka dengan kesal dan geram dia serahkan Limah kepada Seman.
Setelah selesai dengan rundingan selamat bagi Mamat dan anak lelakinya tetapi malang bagi nasib siLimah, Mamat pun dengan berat hati membawa anak lelakinya balik bersampan tanpa isterinya Limah yang cantik. Dia berkayuh sehinggalah berhampiran kampungnya, di situ dia sengaja terbalikkan sampannya. Bila sampan terbalik, anak lelakinya hampir lemas tetapi Mamat selamat sebab pandai berenang.
Bila orang kampung ternampak sampan Mamat terbalik dan nampak pula anak lelaki Mamat tenggelam timbul dibawa arus, orang kampung pun sama-samalah berpakat menyelamatkan anak lelaki siMamat dan budak itu juga selamat kerana diselamatnya orang kampung. Bila semuanya selamat orang kampung bertanya Mamat di mana isterinya Limah. Dengan muka selamba Mamat memberitahu orang kampung yang isterinya dibawa arus dan tenggelam. Orang kampung pun kelam kabutlah menyelam dan mencari Limah yang dikatakan tenggelam lemas oleh Mamat. Dua hari dua malam orang-orang kampung bersusah payah berusaha mencari mayat Limah tetapi hampa.
Selepas dua tahun dari peristiwa itu, tiba-tiba Limah muncul di kampung itu dengan membawa seorang anak lelaki yang kecil. Anak Limah bersama Seman. Maka riuhlah dengan berita yang Limah selamat dan pulang. Orang-orang kampung pun bertanyalah Limah ke mana dia menghilang selama ini. SiLimah pun berceritalah apa yang terjadi sebenar. Mamat tinggalkan dia kepada Seman di kampung seberang kerana Mamat pengecut!
Pecahlah rahsia yang dulunya sengaja Mamat terbalikkan sampan dan pura-pura mengatakan Limah tenggelam dibawa arus semata-mata untuk menutup malunya kerana rela menyerahkan bininya kepada Seman kerana takut melawan.
Inilah ceritanya seorang manusia yang mempunyai nama besar di tempatnya tetapi mempunyai hati yang kecil dan hina.
28 comments:
Salam,
Nampaknya si Mamat tu samsing tahi minyak dan dia juga seorang yang dayus, patutpun isterinya menceritakan apa yang sebenarnya, nampaknya budaya orang dulu macam hindu, berani kerana ramai, kalau sorang mereka macam tikus basah hi hi
W'salam singamaraja.
Itulah sekiranya namanya menjadi sebutan kerana berani dan gedebe tidak semestinya hatinya juga sebagaimana namanya.
Saya sendiri pernah alami perkara begini. Tapi saya rasa tidak manis bercerita di blog, takut jadi takbur atau riak.
Salam ayahanda,
Dari sudut penceritaan memang saya gelak sakan tengah malam2 buta ni..
Dari sudut moral memang tidak dinafikan ramai manusia yang sebegitu.Oleh itu ikut resam padi.
Sama seperti kejadian terhadap kawan saya dua tiga hari yang lepas, saiz badan dia melidi saja, sekali pandang macam penagih, pendiam dan very low profile... cool saja orangnya, orang kutuk dia gelak saja.
Apa yang tak disangkakan ialah, dua tiga hari yang lepas dia belasah formen kereta @ samseng di Sg. Way, P. Jaya yang cuba menipu dia urusan repair kereta, berterabur gigi depan, sorang pun tak berani tolong cina tu.
Yang member ni pulak, selamba jer... pergi balai berdekatan dan buat repot. Kesudahannya tak tahu cerita lagi..., tapi saya tabik orang yang macam ni.
Bukannya yang suara je besar satu kampung boleh dengar, tapi telor... alahai...
tuan.
terlalu menarik cerita ini..
dulu2 memang gitu agaknya - orang yg habat - kuat - dijadikan pemimpin.....
tapi rasanya tidak hari ini kut.
orang kuat
orang bijak
tidak cukup kuat untuk jadi pemimpin kecuali ' gunakan payung terjun '.....
semuga tidak ada lagi ' si mamat ' tu di bumi kita ni.
salam uncle
gedebe dunia tidak membawa ke mana pun....gedebe la dengan beriman kepada Allah...
W'salam anakanda Isa.
Sekarang pun masih ramai manusia bersifat begitu. Kekadang tu orang takut kerana mulutnya yang besar tetapi bila terdesak dialah yang lari dulu.
Itulah sebabnya lebih baik diam ubi macam kawan anakanda tu daripada bising ayam. Berkokok riuh sekampung, bertelur hanya sebiji.
Sdr. Jinggo.
Memang di zaman itu macam tulah di Kelantan mengikut cerita arwah ayah saya. Nafsu diletak di hadapan, agama belakang kira. Jahil marakat!
Sekarang pula, siapa yang ada cable besar dan banyak duit dengan senang berpayung terjun menjadi pemimpin. Tahap iman bagi mereka rasanya lebih kurang sama saja.
W'salam ~0~.
Betul tuh. Allah menilai pada hati dan iman. Macam MB Kelantan katalah. Kamu samseng Allah lagi samseng. Maksudnya kamu rasa kamu kuat tetapi Allah adalah yang Maha Kuasa (kuat)
Salam Uncle,
Cite ni menarik dan penuh pengajaran. Moral of the story, hidup kat dunia ni jangan telalu takbur dan berlagak. Kelak diri sendiri jugak yang susah.
ishh dayus betul si mamat tu. Adake dia serah begitu je..
Teringat juga cerita lelaki baran bertemu lelaki baran.. baru dia tau tingginya langit..
W'salam Sham.
Betul tu. Berlagak sebelum buku bertemu ruas. Inilah agaknya yang digelarkan samseng kampung kot?
Rashid.
Rupanya bukan semua yang digelar gedebe itu berani. Memang ramai juga yang pengecut. Uncle pernah jumpa seorang yang dikatakan gedebe pasar ikan. Tapi rupanya tidak seberani mana.
Salam Pakcik,
Samseng utk cari pengaruh amat2 memalukan(tiada harga diri sebenarnya),tapi samseng kerana menegakkan kebenaran dan Islam itu yg dituntut sebenarnya.Tengok sahabat2 Rasullullah seperti Saidina Hamzah,Umar Al-Khattab,Khalid AlWalid R.A dan lain2 lagi patut dicontohi..bersilat bukan utk menunjuk kehebatan,bersilat utk mempertahankan yg hak (agama,bangsa,negara,keluarga dn diri sendiri)..
W'salam UXOP.
Tak balik cuti ke?
Sebenarnya kedua-dua sifat adalah perlu bagi orang Islam sebab ada masanya perlukan kekerasan dan ada masanya perlukan kelembutan dan rundingan. Itulah sebabnya di zaman pengembangan Islam Allah kurniakan kedua-dua watak tersebut.
Sayyidina Umar, Hamzah dan Ali dengan watak keras. Sayyidina Abu Bakar dan Usman serta Rasulallah sendiri dengan watak lembut tetapi tegas. Tetapi barang diingat mereka semuanya warak bertaraf Wali.
kompleks jugak ceritanya. nak jaga nama punya pasal.. huru hara jadinya
alamak.... indah kabar dari rupa, simpati
sdr. antusabun.
Rupanya manusia ini berjenis bentuk fikiran. Nak jaga nama, rela gadaikan nyawa anak sendiri. Kalau anak itu hilang/lemas di bawa arus, bagaimana. Makna dia dah jadi 2 x pengecut.
Mak Su,
Saya pun semasa mendengar cerita ni dari orang tua itu, sakit perut kerana gelak.
Ada ke patut, dah lah tinggalkan bini kat orang lain akibat pengecut, gadaikan nyawa anak kecil pula dengan arus sungai semata-mata nak jaga nama, takut malu.
Inilah jenis manusia bangang yang pendek akal.
Salam sdara MountDweller,
Sentiasa tembak tepat ni. Habis cili kena makan!
W'salam Dr.
Terima kasih. Pengalaman yang membuatkan kita dewasa.
Tak silap saya, saya pernah mendengar cerita ini daripada kawan saya. Agak best jugaklah...
Salam Zawir Al-Hamidi.
Terima kasih di atas kunjungan ke sini dan sudi pula tinggalkan komen.
Cerita ini saya dengar melalui seorang tua yang berasal dari Kg. Kelaweh. Sekarang dia menetap di tempat saya.
semasa saya berumur lebih kurang 9-10 tahun saya selalu dibuli dan disepak oleh seorng budak lelaki yang berumur antar 15-16 tahun. Saya tak da peluang nak lawan sebab saya kecik dan geng.Oleh keran terlalu sakit hati satu hari sewaktu dia lalu berbasikal dan menurun bukit saya kalangkan buluh. Apalagi basikalnya tersangkut dan dia jatuh melorot bersama basikalnya.Teruk juga dia cedera habis berdarah badannya. Saya lari balik rumah.Dia pun dalam keadaan sakit menolak basikalnya dan mungkin balik kerumah dia.Tak lama lepas tu bapa dia datang jumpa mak saya menceritakan dengan perasaan marahnya. Bapa dia nak bertumbuk dengan mak saya mungkin tak sesuai sebab mak saya ibu tunggal. jadi dia hanya marh-marah saja dan tuntut ganti darah maka terpaksalah mak saya gantikan dengan seekor ayam jantan kepunyaan saya. Saya tanya mak saya kenapa beri ayam jantan saya tu kepada bapa budak yang selalu kacau saya tu. Mak saya kata itu sebagai ganti darah.Nak bagi duit kami susah.Mujur juga tak ada laporan polis. Lagipun orang kampong masa tu nak pergi kebandar buat laporn polis pun susah tak ada kenderaan. Jadi yang gedebe tu jangan ingat tak boleh dikalahkan oleh orang yang lemah.
(Sekadar kongsi cerita je tuan.)
Sdr. fital.
Itu adalah salah satu daripada cara untuk membalas dendam. Saudara memang dari jenis yang berani. Memang akal memainkan peranan bagi yang lemah fizikal tetapi bukan semangat.
Secara peribadinya saya ada kisah berhadapan dengan makhluk begini. Cuma saya rasa tidak molek untuk dibuat entry untuk blog. Saya takutkan gambaran riak atau takbur dari pembaca.
Tulah org tua2 kata.... kalau jenis sombong tu tetap sombong juga.... tak mau ngalah langsung... penyudahnya diri sendiri yg malu... eloklah diambil pengajaran dari kisah ini..
Tuan Mountdweller sudilah terima anugerah ini: http://muraisenja.blogspot.com/2009/04/anugerah-sayap-kehormat-blogger-network.html
utk tuan Mountdweller n geng..terimalah Anugerah Sayap Kehormat Blogger Network Malaysia
Salam muraisenja.
Terima kasih banyak. Saya menerimanya dengan besar hati dan menyanjungi Anugerah ini.
muraisenja.
Itulah nak bermegah biar bertempat. Nak mengalah juga biarlah bertempat. Menyanggah pada yang silap.
Post a Comment