Pengumuman

Mulai esok (11 Julai 17) blog ini tidak akan diupdate Oleh kerana blog ini dan blog yang satu lagi mengandungi bahan yang sama, saya rasa adalah wajar untuk menghidupkan satu blog sahaja iaitu mountdweller88 untuk dilayari dengan mudah tanpa gangguan insya Allah Saudara/saudari persilakan ke - mountdweller88.blogspot.com

Saturday, March 25, 2017

Kelibat Perempuan Bertenggek Atas Almari

Diterbitkan: Rabu, 22 Mac 2017 10:00 AM
Oleh: MUHD IQBAL
iqbalking@gmail.com
SEDAR tidak sedar, sudah hampiri dua tahun kami menyewa di Bangunan 25, Old Salata. Beberapa rakan lain yang menyewa di bangunan ini sudah berpindah. Rumah nombor 17 di tingkat enam sudah berganti penyewanya.

Kemudian datang Nizam, Ijad, Asrul dan Warith ke Doha. Merantau seperti kami cuba meluas pintu rezeki yang ditahan-tahan.

Walaupun mereka tidak menyewa di bangunan yang kami sewa, mereka kerap datang menyinggah. Sementelah rumah kami agak luas, hampir setiap hari cuti mereka akan datang.

Aku masih ingat malam pertama mereka datang, kami berborak sehingga pukul dua pagi. Pada tengah malam itu, aku bertanya kepada Nizam jika dia ada merasa apa-apa kelainan di dalam rumah kami.

“Ada, bang. Dia tengah cuit telinga saya sekarang ni.”

Dari situ topik perbualan kemudian merangkak dan berjalan menyelusuri segala pengalaman-pengalaman seram yang pernah kami semua lalui.

Beberapa bulan selepas itu, Warith dan Ijat datang melawat kami lagi. Seperti biasa kehadiran mereka akan diraikan dengan hidangan ayam goreng dan tontonan filem.

Malam itu, kecuali aku dan Warith, yang lain sudah masuk ke alam mimpi lebih awal. Kami berdua melayan filem di ruang tamu.

Usai filem, aku meminta diri untuk tidur. Tinggal Warith keseorangan di ruang tamu sambil cuba melelapkan mata.

Ruang tamu yang luas itu diselubungi dingin dari penyaman udara yang ditetapkan pada suhu 22 darjah Celsius memberi keselesaan buat Warith.

Warith memejamkan mata cuba mencapai ranting-ranting mimpi. Belum pun apa-apa mata Warith terbuka kembali apabila terdengar bunyi ketukan di pintu utama.
Warith diam sambil cuba mendengar dengan lebih teliti. Adakah ia satu perasaan atau benar-benar belaku.

Tok! Tok! 

Terdengar lagi ketukan dengan jelas. Siapakah yang datang? Waktu sudah menghampiri tengah malam. Warith tidak segera bangun. Akalnya masih berfikir, kenapa ketuk pintu? Bukankah ada loceng? Kenapa tidak menekan loceng?

Persoalan-persoalan ini berjaya merantai tubuh Warith dari bangun dan membuka pintu.

TOK! TOK! TOK! TOK! TOK! TOK! TOK! TOK! TOK! TOK! TOK! TOK! TOK! TOK! TOK! TOK!

Ketukan di pintu berterusan setelah tidak mendapat apa-apa tindak balas dari Warith. Semakin lama semakin keras dan pintu seaakan bergegar dan mahu runtuh akibat ketukan yang keras dan deras itu.

Warith mencebik dan menarik selimutnya.

"Lantak kau lah Labu. Tak ada masa aku nak buka pintu,” getus hati Warith.

Sejak dari itu, jarang kami mahu berjaga sehingga lewat malam. Dan perbincangan demi perbincangan bagi mengatasi fenomena ini berlangsung dan berlalu tanpa ada apa-apa hasil yang konkrit.

“Kita letak kamera nak? Satu dalam bilik, satu di ruang tamu dan satu di lubang intai di pintu,” cadang aku.

“Dah tu, lepas rakam siapa yang nak tengok?” tanya Anifi.

“Kita tengoklah sama-sama,” balas aku.

“Eeh, tak nak. Nanti mau terbayang-bayang,” jawab Anifi.

Aku kadang-kadang rasa, setiap perbincangan yang berlangsung seperti “dia” ada bersama. Kerana selalunya selepas perbincangan akan berlaku sesuatu di luar jangkaan. Seolah mengejek kami.

Petang yang membara itu, semakin redup tanda malam akan muncul. Anifi memanjat tangga bangunan dengan peluh membasahi bajunya. Panas. Dan sewaktu pintu lobi dibuka, menderas hawa dingin menjemput mesra Anifi yang tiba.

Anifi menekan punat naik setelah berada di depan lif. Tidak tunggu lama, pintu lif terbuka dan Anifi melangkah masuk.

Anifi memusingkan badannya menghadap pintu lif. Dan sewaktu pintu lif di tutup, seakan ada kelibat perempuan berambut panjang berbaju putih di belakang Anifi.

Anifi tersentak. Dia cuba bertenang, namun gagal. Keliling dinding dan pintu lif dihiasi dengan bahan yang memantulkan imej membuat Anifi nampak jelas kelibat perempuan itu di belakangnya.
“Ya Allah. Apa aku nak buat ni?” bisik hati Anifi.

Dari tingkat bawah ke untuk tingkat satu itu, Anifi berasa lif bergerak terlalu lambat. Dari perasaan seram semakin lama menimbulkan perasaan geram di hati Anifi.

Amarah mula mengambil alih seluruh hati dan fikiran Anifi. 

“Nak apa lagi benda ni? Tak cukup-cukup lagi ke mengacau orang?” getus Anifi.

TING!

Itu tanda lif sudah tiba di tingkat yang diingini. Pintu terbuka luas dan Anifi keluar dan memusingkan badannya menghadap makhluk tersebut.

“Kau syaitan! Kau nak apa hah?” jerit Anifi sambil menuding kearah bayangan itu.

“Tak habis-habis lagi kau nak kacau orang?! Kau nak apa dari aku?! Hah?! Kau nak apa?!” pekik Anifi.

“Anifi!”

Seluruh tingkat itu bergema dengan pekikan Anifi. Makhluk itu kekal tunduk sewaktu ditengking begitu. Anifi berasakan ada satu kekuatan luar biasa yang datang memberinya kuasa.

“Anifi!”

Melihat makhluk itu tidak melawan. Anifi terus-terusan menengking.

“Anifi!” jerit aku sambil mengoncangkan badannya yang gempal itu.

Seketika kemudian, Anifi terjaga.

“Hah?!”

Anifi membukakan matanya, dan melihat aku membongkok memegang bahunya.

“Astaghfirullah Bal. Aku mimpi rupanya.”

“Kau mimpi apa?” tanya aku.
 
Anifi kemudian menceritakan mimpinya. Aku sekadar diam. Ini bukan kali pertama Anifi mengigau menjerit-jerit begitu. Dalam diam itu aku mula sedar, sudah sampai masa aku perlu buat sesuatu bagi menghentikan perkara ini.

Aku sangkakan igauan Anifi terhenti setakat itu sahaja. Namun ia berlarutan berhari-hari sehingga memaksa Anifi tidur di ruang tamu. Dan yang peliknya, tiada apa-apa berlaku apabila Anifi tidur di ruang tamu. Elok dan tenang sahaja tidak diganggu dengan mimpi-mimpi aneh.

Agak sukar juga menduga mengapa. Adakah katil Anifi itu laluan bagi makhluk-makhluk tersebut? Entahlah.

“Eh, Anip kau tidur dalam bilik pulak?” tegur aku satu malam apabila Anifi mengendong bantal dan selimutnya masuk ke bilik.

“Ha. Tidur dalam bilik pulaklah. Sakit badanlah tidur atas lantai,” kata Anifi. “Lagipun dah lama dah tak mimpi apa-apa dah. OK dah kot.”

Aku diam sahaja. Tidak berani kata apa-apa. Takut jika ia mengundang sebarang gangguan.

Malam merangkak jauh. Anifi sudah lama dibuai lena. Aku masih berjaga. Gusar jika berlaku apa-apa.

Aku tidak tahu entah kali yang keberapa aku menguap. Suasana bilik dan rumah yang sunyi dan dingin perlahan-lahan memujuk kelopak mata menutup mata yang semakin letih. Dan tanpa di duga, aku terdengar suara meintih seperti menahan sakit.

Aku kenal suara itu. Aku bangkit dan menolak selimut.

“Anifi!” jerit aku.
Aku bangun dari katil dan memetik suis lampu. Alangkah terkejutnya aku melihat Anifi seakan seperti terkena sawan dengan kaki dan tangan mengejang dan mata membuntang memandang ke arah almari baju.

Aku mengoncang badan Anifi sambil menjerit-jerit namanya. Mengharapkan dia sedar dari entah apa mimpi yang dia alami.

Tidak lama kemudian, bagai terlepas daripada pelukan yang amat erat dan melemaskan, Anifi sedar dari igauan.

“Kau kenapa?” tanya aku.

“Aku nampak perempuanlah bertenggek atas almari tu tadi. Dia pandang aku, lepas tu terus aku tak boleh gerak.”

Dengan serta merta bulu tengkuk aku meremang. Dan aku memandang almari baju.

“Aku dengar dan nampak kau Bal, tapi aku tak boleh gerak. Aku panggill-panggil kau tapi suara tak keluar,” sambung Anifi lagi.
“Tak apalah Anip, tidurlah. Esok kita cerita,” cadang aku. Takut pula hendak sambung cerita malam-malam ini.

Tidak lama selepas aku menutup lampu, Anifi sudah berlayar semula ke alam mimpi. Dengkuran Anifi menemankan aku yang terkebil-kebil keseorangan. 

Teringat pula perbualan aku dengan beberapa orang di tempat kerja mengenai Ustaz Hafiz, warga Malaysia yang baru bekerja di sini yang berkeupayaan mengatasi masalah ini.

KTER. TER. TER. TER. TERRRRRRRRRR….

Tiba-tiba pula aku terdengar bunyi seperti guli jatuh. Aku bangun dan duduk diatas katil. Terkejut. Aku memandang sekitar bilik yang gelap itu cuba mencari sesuatu. Jikapun, ada sesuatu.

KTER. TER. TER. TER. TERRRRRRRRRR….

Kedengaran jelas bunyi guli jatuh dan bergolek sekali lagi. Dan ia betul-betul di depan pintu bilik aku.

“Amboi, dah mula main guli pula kau ya?” getus aku. Dalam ketakutan dan keseraman itu timbul juga perasaan geram. Aku menarik selimut menutup seluruh badan aku.

“Kau jaga, esok aku panggil Ustaz Hafiz!”

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa