Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Wednesday, October 4, 2017

Janji pilihan raya Najib cecah RM3 bilion

Menjelang Bajet 2018, janji pilihan raya Najib cecah RM3 bilion
Asila Jalil, Sheridan Mahavera, Chan Kok Leong
Diterbitkan pada 4 Oct 2017 7:00AM
Najib Razak dalam usaha memikat undi rakyat Malaysia kini sudah menabur janji dalam pelbagai projek dan program mensasarkan kelompok utama negara termasuklah peneroka Felda dan pesara ATM yang mencecah RM3 bilion. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Oktober, 2017.

BERBAKI hanya 11 bulan sebelum mandatnya berakhir, Perdana Menteri Najib Razak dan kerajaan Barisan Nasional telah menjanjikan RM3.182 bilion dalam bentuk projek dan program untuk menang pilihan raya umum akan datang.

Najib, yang juga menteri kewangan, sedang merangka Bajet 2018 yang akan dibentangkan pada 27 Oktober ini, yang diramalkan banyak penganalisis sebuah "belanjawan pilihan raya" menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang perlu diadakan sebelum Ogos depan.

Lawan politiknya dalam Pakatan Harapan (PH) belum lagi mengemukakan janji pilihan raya atau cadangan bajet alternatif seperti tahun-tahun sebelumnya namun sudah mengumumkan rangka besar perubahan dasar dan pembaharuan yang hendak ia bawa.

Janji-janji kewangan Najib yang mensasarkan peneroka Lembaga Pembangunan Tanah Persekutuan (Felda) dan pesara Angkatan Tentera — semuanya blok undi yang penting ditujukan dengan tepat sekali.

Pada Julai, beliau mengumumkan pakej enam insentif bagi lebih 110,000 keluarga peneroka bernilai RM1.59 bilion. Ini termasuk pelupusan hutang, geran tanam semula, pinjaman perumahan dan bayaran khas RM5,000.

Najib juga mengumumkan skim Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) layak diberikan kepada lebih kurang 80,000 veteran Angkatan Tentera tidak berpencen yang berumur lebih 60 tahun.

Mereka yang layak menerima BR1M akan mendapat RM1,200 manakala yang tidak layak bakal menerima RM600 asal sahaja mereka berumur lebih 60 tahun. Jumlah peruntukannya ialah RM85.8 juta.

Beliau juga mengumumkan tambahan kadar pencen antara RM300 hingga RM800 bagi veteran tentera yang menerima pencen antara RM500 hingga RM2,000.

Najib, yang mengintai mandat untuk penggal kedua, turut memperuntukkan RM1 bilion melalui pelbagai program di bawah Pelan Tindakan India Malaysia bertujuan menaik taraf segmen termiskin dalam kelompok masyarakat negara yang berjumlah 1.7 juta orang.

Beliau juga mengumumkan sejumlah projek perumahan di Langkawi, sebuah sekolah agama di Pulau Pinang dan dua buah hospital di Kelantan.

Kerajaan Pulau Pinang diterajui oleh DAP sejak dua pilihan raya lalu manakala PAS memerintah Kelantan sejak 1990.

Jumlah projek-projek bernilai RM3.182 bilion ini dikumpulkan daripada laporan media tahun ini. Ini belum lagi merangkumi  bajet pembinaan sebanyak RM55 bilion bagi Landasan Pantai Timur (ECRL) dan RM43 bilion untuk Projek Melaka Gateway.

Pengkritik sebelum ini mempersoalkan kos tinggi projek ECRL dan Melaka Gateway serta manfaatnya kepada rakyat Malaysia kerana kedua-duanya melibatkan konglomerat China.
Pakatan Harapan pula dalam usahanya merampas Putrajaya lebih menumpu kepada pelbagai janji untuk mengubah peranan dan fungsi dalam masyarakat termasuklah janji menubuhkan RCI untuk skandal rentas negara, 1MDB. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Oktober, 2017.

Sebagai perbandingan, tawaran PH tidak menyatakan sebarang kos namun konsepnya tertumpu kepada perubahan fungsi pelbagai lapisan segmen masyarakat Malaysia.

Janji PH yang paling memikat ialah untuk menghapuskan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan tol di Lebuhraya Utara Selatan.

Pentadbiran Najib mendakwa GST memberikan sejumlah RM41.2 bilion pendapatan kepada kerajaan pada 2016.

Manakala sebahagian daripada pelan untuk menonjolkan tadbir urus yang baik dan membanteras rasuah, PH mengumumkan hasrat membebaskan beberapa institusi daripada pengaruh cabang eksekutif. Ini termasuk badan kehakiman, badan perundangan, Pejabat Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pemimpin PH juga berjanji akan menubuhkan suruhanjaya diraja bagi menyiasat skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), yang jumlah kehilangan dianggarkan mencecah RM39 bilion kerana dicuri atau rugi disebabkan salah pengurusan dana kerajaan itu.

PH bulan lalu melancarkan manifesto berasingan untuk Sabah dan Sarawak yang antara lain menjanjikan pelantikan timbalan perdana menteri kedua khas untuk wilayah Malaysia Timur itu.

Ia juga berjanji menaikkan royalti minyak untuk Sabah daripada 5% kepada 20% dan memberikan lebih autonomi kepada negeri itu untuk menggubal dasar berkaitan pendidikan, pelancongan, kesihatan dan pengangkutan. – 4 Oktober, 2017.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa