KUALA LUMPUR, 17 Februari:

Dakwaan PKR bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menawarkan jawatan Timbalan Perdana Menteri kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim serta empat jawatan menteri kepada Pakatan Rakyat hanyalah bertujuan untuk memecah belahkan UMNO.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata PKR sengaja mencipta cerita berkenaan hanya untuk menimbulkan rasa marah dan kesangsian dalam kalangan ahli UMNO terhadap presiden sendiri.

Menurutnya, ahli UMNO tidak bodoh dan tidak akan percaya ke atas pembohongan yang dimulakan oleh Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dan kemudiannya Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli.

“Tidak ada sebab Perdana Menteri untuk membuat tawaran seperti itu kepada PKR dan kita tahu ia sememangnya tidak benar.

“Ia merupakan satu pembohongan bodoh dan sekiranya nak berbohong buatlah sesuatu yang masuk akal,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Rafizi hari ini yang mengesahkan terdapat tawaran jawatan Timbalan Perdana Menteri kepada Anwar selepas pilihan raya umum lalu.

Katanya, tawaran itu turut termasuk dengan empat jawatan menteri kepada pemimpin PR namun ia bukanlah tawaran yang asli kerana hanya bertujuan menguji Anwar untuk menerimanya.

Ahli Parlimen Pandan itu berkata sekiranya tawaran berkenaan disambut dan menjadi kenyataan, PR akan berpecah-belah. - TRP