Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Saturday, February 28, 2015

Siapakah peguam G100?

Siapakah peguam G100? Dan berapakah jumlah sebenar mereka?
09:30PM Feb 27
oleh Mike Tan

ANALISIS: Selepas melancarkan kritikan awam pertama mereka terhadap presiden Majlis Peguam, Christopher Leong dengan mengeluarkan satu kenyataan akhbar pada 21 Februari, kumpulan peguam G100 kini sebaliknya sedang bergelut untuk mengawal kerosakan.
Tidak menghairankan bahawa kumpulan itu masih belum mengakui telah menggunakan nama-nama rakan-rakan peguam mereka tanpa persetujuan, dan memilih untuk menyifatkannya sebagai "salah faham antara penandatangan kenyataan akhbar kumpulan itu".
Lagipun, mereka adalah peguam – golongan profesional yang menjadikan keupayaan berbahas sebagai periuk nasi mereka, dan terkenal dengan keupayaan mereka untuk berbalas hujah undang-undang supaya keadaan memihak kepada mereka.
Pendek kata, mereka ini bermain untuk menang.
Tinjauan ke halaman kumpulan itu mendedahkan lebih lanjut mengenai mereka (terjemahan:
Kumpulan bukan partisan itu menyatakan yang kenyataan Chris Leong yang boleh mengelirukan orang ramai, dan mencetuskan skandal terhadap badan kehakiman.
Dakwaan kumpulan itu sebagai bukan-partisan adalah meragukan, sekurang-kurangnya tiga perempat daripada peguam-peguam yang telah disenaraikan, diketahui merupakan ahli Umno atau mengendalikan hal ehwal undang-undang yang berkaitan Umno.
Turut tiada dalam senarai itu adalah peguam-peguam lantang dan pejuang undang-undang terkenal – peguam yang masyhur selepas mengendalikan kes-kes berprofil tinggi – seperti N Surendran, Latheefah Koya, R Sivarasa, Siti Kasim dan Hendon Mohamed, seorang lagi bekas presiden Majlis Peguam.
Kesemua mereka terkenal melalui pandangan progresif mereka dan, dalam kes tiga peguam pertama, merupakan ahli PKR. Turut tiada dari senarai itu adalah anak-anak mendiang Karpal Singh – Jagdeep, Gobind, dan Ramkarpal – tiga lagi peguam terkemuka dan yang lebih penting, ahli-ahli politik DAP.
Jadi adakah benar bahawa kumpulan ini tidak bersifat partisan?
Kemudian ada pula persoalan mengenai kaedah mereka.
Mengapa kumpulan itu menggunakan taktik kotor – penggunaan nama-nama rakan-rakan mereka tanpa kebenaran – dalam protes mereka terhadap Leong?
Kumpulan itu mengaku telah disertai Zainur Zakaria, bekas presiden Majlis Peguam, maka sudah tentu orang yang berpengalaman sepertinya tahu untuk tidak menyokong apa-apa pendekatan yang tidak beretika secara sengaja.
Atau adakah mereka berkata benar – bahawa kumpulan itu begitu tidak berpengalaman sehinggakan mereka tidak boleh, atau lebih teruk lagi, tidak terfikir untuk mengesahkan 'penandatangannya'. sebelum melancarkan serangan mereka?
Ini mungkin apa yang berlaku, kerana tinjauan terhadap 100 peguam yang disenaraikan telah mendedahkan bahawa hampir separuh daripada mereka adalah tidak dikenali, terutamanya di kalangan ahli Majlis Peguam.
Apa pun alasannya, penggunaan nama-nama mereka tanpa kebenaran itu sendiri mengelirukan, dan mungkin bertukar menjadi sebuah lagi skandal.
Memang ironis.
Ini bukan kali pertama kumpulan G100 telah bertindak secara kurang berterus terang dalam kenyataan mereka. Sebuah coretan Facebook sebelum ini yang mengumumkan mereka "menjauhkan diri" daripada seruan SukaGuam supaya adanya alternatif Majlis Peguam, telah diikuti oleh ayat yang menyatakan bahawa cadangan itu perlu dipertimbangkan.
Ia memang kenyataan yang hanya boleh dikeluarkan oleh peguam. Malangnya, ia juga adalah satu kenyataan yang hanya profesional undang-undang lain dapat fahami dengan mudah.
Dan itulah masalahnya dengan kumpulan ini. Peguam-peguam G100 adalah itu sahaja – sekumpulan peguam (walaupun tidak sampai 100 orang). Dan seperti kebanyakan peguam, mereka sudah biasa beroperasi dalam bidang mereka, sebuah dunia berstruktur yang penuh dengan undang-undang, duluan dan penghakiman. Itulah dunia yang mereka ungguli, dan memang itu yang patut berlaku.
Bagaimanapun, mereka terlalu bercita-cita tinggi dalam kemunculan pertama mereka sebagai sebuah ‘NGO’ atau kumpulan pendesak. Percubaan pertama mereka dalam berurusan dengan media telah menemui nasib yang malang. Berita-berita mengenai kumpulan itu telah pun mengambil nada-nada negatif.
Malay Mail Online menerbitkan laporan bertajuk "Lawyers targeting Bar Council chief down to 99 after one says name falsely used" (Jumlah peguam yang menyasarkan presiden Majlis Peguam turun ke 99, selepas satu nama palsu digunakan), lima hari selepas menyiarkan kenyataan akhbar asal kumpulan itu dengan 100 nama pada 21 Februari.
Semut Harian sebelum ini telah bercakap dengan NorJehan Abu Bakar – seorang peguam yang namanya telah disalahgunakan dan telah mengemukakan isu ini – dan juga menerbitkan sebuah artikel mengenai nasib beliau, bersama-sama dengan seorang lagi peguam yang terlibat, Yusman Mohd Badar.
Respon kumpulan itu terhadap dakwaan NorJehan dilakukan separuh hati, dan kumpulan itu masih belum mengakui telah menggunakan nama Yusman tanpa kebenaran sekalipun.
Di samping itu, kumpulan itu mendakwa bahawa 5 atau 6 ahli yang telah disenaraikan, kemudiannya memaklumkan kumpulan itu mengenai "keinginan mereka untuk menarik balik nama mereka, atau nama mereka telah dimasukkan secara tidak sengaja". Setakat ini, kumpulan itu telah mengelak dari mendedahkan nama-nama ini, walaupun mereka telah mengakui ada menggunakan nama NorJehan, walaupun secara salah.
Tidak kira betapa kuatnya tentangan terhadap tindakan presidennya, tiada anggota akan meragui keupayaan majlis itu untuk menentukan jumlah sebenar ahli-ahlinya. Namun kita tidak boleh menyatakan perkara yang sama bagi G100.
Ini adalah permulaan sebuah mimpi ngeri perhubungan awam. Tidak kira sama ada ia adalah disebabkan ketiadaan kecekapan atau niat jahat ala Machiavelli, nasib kumpulan itu pasti merudum selepas ini.
Berapa banyak lagikah nama-nama dalam senarai itu telah digunakan tanpa persetujuan? Mengapakah ianya tidak disemak terlebih dahulu? Berapa ramai lagi yang akan menarik diri?
Pada hari-hari mendatang, ini adalah beberapa persoalan yang kumpulan ini mungkin akan hadapi dari media tempatan, yang laparkan isu-isu panas.
G100 telah mencari perhatian orang ramai dan media, dan kini mereka telah memilikinya.
Persoalan sebenarnya ialah: Adakah mereka akan menyesalinya?

1 comment:

  1. tak kira peguam ka, heart surgeon ka, rocket scientist ka, bill gates ka, apabila cuba menegakkan benang basah bg pihak UMNO gerenti kecundang dan malu besar!

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa