Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Thursday, January 26, 2017

Beza BMF dan 1MDB

Beza BMF, 1MDB di mata Mahathir
mk      Hari ini, 6:57 petang

Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, menyatakan perbezaan antara skandal Bumiputra Malaysia Finance (BMF) yang berlaku pada eranya dengan isu 1MDB yang membayangi Datuk Seri Najib Razak.

Dalam kemas kini terbaru di blognya, Dr Mahathir berkata, kes BMF tidak membabitkan tuduhan salah laku secara langsung dengan kerajaan Malaysia.

"Sebaliknya, isu 1MDB berkaitan secara langsung dengan salah laku dengan keadaan sekarang.
 
"Isu BMF tidak berkait secara langsung dengan saya sebagai perdana menteri ketika itu. Sebaliknya, isu 1MDB mempunyai kaitan terus dengan Najib (Abdul) Razak, perdana menteri ketika ini. Malah hakikatnya dia berada di tengah-tengah skandal berkenaan," katanya.

Skandal BMF diperkatakan ramai pada awal 1980-an apabila berlaku urus niaga yang mencurigakan serta menyebabkan kerugian kira-kira AS$1 bilion.
Ia membabitkan pinjaman bernilai RM2.5 bilion kepada beberapa syarikat yang mempunyai rekod meragukan, termasuk yang berpangkalan di Hong Kong.

Ia menjadi lebih panas apabila seorang pegawai bank yang ditugaskan untuk menyiasat kes berkenaan di Hong Kong, Jalil Ibrahim, dibunuh.

Skandal itu juga menyaksikan Bank Bumiputra Malaysia Bhd (BBMB) yang memiliki BMF terpaksa diselamatkan oleh kerajaan yang menyuntik modal kepadanya.

BBMB adalah syarikat perbankan yang mempunyai saham kerajaan di dalamnya. Dr Mahathir dilantik sebagai perdana menteri kira-kira dua tahun sebelum itu.

Najib pula sentiasa menafikan beliau menyalahgunakan dana 1MDB untuk kepentingan peribadi seperti dituduh banyak pihak - termasuk Dr Mahathir.

Petik laporan NYT

Sebaliknya Najib berkata, tuduhan berkenaan sengaja dibuat sebagai pakatan musuh untuk menggulingkannya.

Peguam Negara juga sudah membersihkan Najib daripada sebarang salah laku membabitkan isu 1MDB.

Mengulas mengenai dokumen CIA baru-baru ini, Dr Mahathir berkata, ia disediakan oleh agensi perisikan AS dan bukan laporan khusus negara itu mengenai isu BMF.

Sebaliknya, kata Dr Mahathir, siasatan Jabatan Kehakiman (DOJ) AS secara khusus mengaitkan dapatan mereka dalam isu 1MDB dengan Malaysian Official 1 (MO1).

Datuk Abdul Rahman Dahlan mengesahkan MO1 adalah Najib namun menegaskan perdana menteri tidak dinamakan dalam dokumen mahkamah dikemukakan oleh DOJ itu. Justeru, kata pengarah komunikasi startegik BN itu, Najib tidak disiasat.

Dr Mahathir juga mengingatkan, berhubung isu BMF, kerajaan menubuhkan jawatankuasa siasatan khas dan hasil perolehan mereka didedahkan kepada umum.

"Mengenai isu 1MDB, kerajaan Najib belum menubuhkan sebarang jawatankuasa siasatan bebas. Malah, laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB sedia ada tidak didedahkan, dan diletak di bawah Akta Rahsia Rasmi," tambahnya.

Berkaitan kesan daripada skandal BMF, kata Dr Mahathir, ada tindakan diambil ke atas beberapa individu terlibat, sama ada di Hong Kong atau Malaysia.

Keadaan bagaimanapun tidak sama, katanya. Bagi kes 1MDB, menurut Dr Mahathir, pihak yang berkaitan - seperti polis - belum membuat sebarang kesimpulan walaupun pihak berkuasa di AS, Switzerland dan Singapura sudah bertindak, termasuk mendakwa mereka di mahkamah.

"Tetapi kertas siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ditolak peguam negara yang baru dan melantik dirinya menggantikan peguam negara terdahulu yang diketepikan, kononnya atas sebab kesihatan tetapi tanpa laporan Lembaga Perubatan," katanya.

Dr Mahathir juga menegaskan, kesan isu BMF itu secara umumnya diterima baik masyarakat, termasuk di kalangan pembangkang serta kumpulan politik lain.


Untuk menguatkan hujahnya bekas Perdana Menteri itu memetik laporan The New York Times pada 8 Januari 1985, bertajuk “Malaysia discloses details of bank scandal” (Malaysia mendedahkan butiran skandal bank).

"Mengenai isu 1MDB, Peguam Negara sebenarnya menghentikan siasatan lanjut, sedangkan dia tidak diberi kuasa untuk berbuat begitu. Parti-parti pembangkang tidak berpuas hati dengan keputusan skandal melibatkan 1MDB," katanya.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa