Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Thursday, October 5, 2017

Kesan VX dijumpai pada baju suspek bunuh Kim Jong-nam

Muzliza Mustafa, Radzi Razak
Diterbitkan pada 5 Oct 2017 11:37AM 
Ketua Pusat Senjata Kimia dan Analisis Jabatan Kimia Malaysia, Dr Raja Subramaniam mengatakan kesan VX dijumpai pada baju Siti Aisyah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Oktober, 2017.

KESAN ejen saraf berbahaya VX dijumpai di baju kedua-dua suspek suspek pembunuhan Kim Jong-nam kata pegawai Jabatan Kimia Malaysia.

Ketua Pusat Senjata Kimia dan Analisis, Dr Raja Subramaniam dalam testimoninya kepada mahkamah memberitau ujian telah dijalankan ke atas pakaian milik warga Indonesia Siti Aisyah dan warga Vietnam Doan Thi Huong dan mendapati terdapat kesan degradasi dan jejak VX di pakaian mereka.

Pada mulanya mahkamah dikejutkan dengan kehadiran VX pada baju tanpa lengan milik saksi pertama.

“Kami mengesan produk degradasi dari VX yang dikenali sebagai asid VX di baju ‘sleeveless’ (tanpa lengan) yang dimiliki oleh Siti Aisyah.

Kemudian Doan yang popular dengan baju tertera “LOL” nya turut mempunyai kesan itu.

“Kami jumpa dua jejak (precursor) di lengan baju-T LOL nya dan satu kesan degredasi VX pada bawah keratan kuku tangannya,” kata Raja.

Raja yang merupakan saksi kelapan perbicaraan kes pembunuhan Kim Jong Nam kemudiannya mengenalpasti kedua-dua gambar baju Siti Aisyah dan Doan.

Hakim Azmi Ariffin kemudian mencadangkan pihak timbalan pendakwaraya dan peguam tertuduh melakukan pengecaman baju di makmal Jabatan Kimia Malaysia. Bagaimanapun tarikh masih tidak ditetapkan.

Azmi kemudian meneruskan perbicaraan dengan meminta bahan-bahan bukti lain dikemukakan untuk sesi petang.

Dr Raja sebelum itu turut membuat kejutan apabila menyatakan ejen saraf VX boleh dibawa ke Malaysia dengan mudah melalui lapangan terbang.

Menyatakan pengesan khas VX telah pun dipasang oleh negara seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom, Raja turut berkata sifat VX dalam bentu asli yang tidak berwarna dan berbau itu menjadikannya ideal untuk dibawa walaupun menggunakan botol mineral.

“Kita tidak mempunyai cara untuk mengesan VX (sekiranya dibawa masuk) kerana tiada alat pengesan khas VX,” kata beliau menjawab soalan daripada timbalan pendakwaraya.

Sementara itu, peguambela Doan, Hisham Teh Pok Teik mengakui testimoni Raja itu berbentuk fakta tetapi akan membuat pertanyaan balas.

“Ia (testimoni Raja) boleh dilihat daripada sudut berbeza. Cebisan bukti ini adalah berbentuk fakta tapi kami ada penjelasannya,” kata beliau kepada wartawan selepas mahkamah berehat pada tengah hari.

Sementara itu peguambela Siti Aisyah, Gooi Soon Seng pula yakin mampu mematahkan hujah pendakwaan dalam hal ini.

“Ya ini adalah bukti berdasarkan keadaan (circumstantial evidence) tetapi kami yakin bukti ini tidak cukup kuat untuk mengaitkan beliau (Siti) dalam kes ini,” kata Gooi.

Perbicaraan disambung semula jam 2 petang hari ini. – 4 Oktober, 2017

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa