Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Monday, October 16, 2017

Pandu di lorong kecemasan: Bekas pegawai kanan JPJ pun kena

Bekas pegawai kanan JPJ didenda RM2,000 pandu di lorong kecemasan

  | October 16, 2017
Timbalan Pendakwa Raya, Izzat Fauzan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman maksimum termasuk penjara kepada Yusoff Ayob kerana dia adalah pegawai kanan JPJ dan sebagai amaran kepada penjawat awam lain serta orang ramai.
PUTRAJAYA: Mahkamah Majistret memutuskan bekas timbalan ketua pengarah (Perancangan dan Operasi) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Yusoff Ayob bersalah kerana memandu di lorong kecemasan, tahun lalu.
Hakim Muhammad Zaki Abd Kudos menjatuhkan denda maksimum RM2,000 kepada Yusoff dan dia perlu dipenjara 4 bulan jika gagal membayar denda itu.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Izzat Fauzan memohon mahkamah menjatuhkan denda maksimum termasuk penjara kepada Yusoff atas 2 faktor.
“Dia ialah penjawat awam JPJ yang tertinggi, dia nombor 2 dalam JPJ. Dia dipertanggungjawabkan menjaga undang-undang dan dia pula melanggar undang-undang.
“Hukuman setimpal perlu diputuskan supaya mesej ini dapat disampaikan kepada orang awam dan penjawat awam lain,” katanya dalam kamar mahkamah.
Izzat turut merujuk kes rasuah membabitkan bekas menteri besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo pada 2013.
“Khir sebagai menteri besar Selangor disabitkan bersalah atas kesalahan rasuah. Pendakwaan rujuknya sebagai individu yang mempunyai kedudukan tinggi dan seharusnya memberi contoh kepada masyarakat,” katanya.
Yusoff disabitkan bersalah mengikut Seksyen 119 (1)(c) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan didenda di bawah Seksyen 119 (2) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM2,000 atau penjara maksimum 6 bulan.
Dia dituduh memandu di lorong kecemasan menggunakan kereta bernombor pendaftaran BLY 68 di Lingkaran Putrajaya, Putrajaya pada jam 6.27 petang, 7 Oktober 2016.
Kes ini mendapat perhatian ramai kerana Yusoff menghantar pegawai khasnya untuk mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dihadapinya, pada 18 Julai lalu.
Majistret, Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman mengenakan denda RM600 ke atasnya yang dibayar pegawai khasnya.
Tiga hari kemudian, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Yusoff didakwa semula dan membuat pengakuan sendiri terhadap dakwaan itu.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Indera Ab Karim Ab Rahman yang menggunakan kuasanya menyemak keputusan Mahkamah Majistret itu, turut mengetepikan denda RM600 itu.
Pada 25 Julai lalu, Yusoff yang ditukarkan ke Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), menukar pengakuan bersalah kepada tidak bersalah di Mahkamah Majistret.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa