Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Thursday, October 5, 2017

Pahang siasat anugerah gelaran ‘Datuk’ kepada pelakon

Pahang siasat anugerah gelaran ‘Datuk’ kepada pelakon terlibat kes tipu
Diterbitkan pada 5 Oct 2017 8:53PM
Kerajaan negeri Pahang sudah mengambil tindakan awal dengan menyemak jika nama pelakon yang sedang disiasat kerana menipu pernah disenaraikan sebagai penerima darjah atau pingat kebesaran daripada pihak istana. – Gambar www.dirajapahang.my, 5 Oktober, 2017.

KERAJAAN Pahang menyiasat penganugerahan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran "Datuk" kepada seorang pelakon yang disiasat berhubung kes penipuan penjualan rumah membabitkan nilai RM6.2 juta.

Setiausaha Kerajaan Negeri Muhammad Safian Ismail berkata tindakan awal telah diambil dengan menyemak sekiranya nama pelakon itu pernah disenaraikan sebagai seorang daripada penerima penganugerahan darjah atau pingat kebesaran daripada istana Pahang.

"Semua dalam siasatan. Tindakan boleh diambil jika (pelakon itu) menggunakan gelaran 'Datuk' tanpa pertauliahan. Jika benar gelaran tersebut diberikan, setiap penerima perlu menjaga etika dan kemuliaannya agar institusi istana terpelihara," katanya.

Safian berkata demikian kepada pemberita semasa ditemui pada Perbarisan Perasmian Latihan Kem Tahunan 2017 Rejimen 505 Askar Wataniah, Sungai Miang di Pekan hari ini, yang disempurnakan Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan akan membawa perkara itu kepada pengetahuan Sultan Pahang untuk tindakan selanjutnya seperti penarikan semula gelaran tersebut.

Sehubungan itu, Safian menasihatkan semua penerima darjah atau pingat kebesaran dari istana Pahang untuk menjaga etika dan berkelakuan sopan bagi menjaga kemuliaan pemberian gelaran itu dan institusi kesultanan.

Pada 3 Oktober lalu, media melaporkan seorang pelakon berstatus "Datuk" ditahan bersama dua individu lain berikutan 188 laporan polis oleh individu yang mendakwa ditipu dua syarikat yang menawarkan rumah kepada pembeli pada harga yang lebih rendah daripada harga pasaran.

Bagaimanapun, syarikat berkenaan didakwa tidak menjalankan pembinaan rumah seperti yang dijanjikan selepas pembeli melunaskan pembayaran. – Bernama, 5 Oktober, 2017

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa