Meenakshi Raman disamakan dengan Erin Brockovich yang hidupnya sebagai aktivis dijadikan filem Hollywood.
GEORGE TOWN: Anda mungkin pernah melihatnya mewakili Persatuan Penduduk Tanjung Bungah dan Penang Forum dalam bantahan pembangunan cerun bukit di Pulau Pinang.
Tetapi, mungkin tidak ramai yang mengenali Meenakshi Raman, 59, seorang peguam dan bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), yang giat memperjuangkan hak sivil sejak 1980-an.
Wanita yang tidak pernah berhenti mempertahankan hak penduduk Bukit Merah untuk mendapat kehidupan sihat, disamakan dengan kerani guaman Amerika Syarikat, Erin Brokovich, yang berkempen terhadap keracunan air di California dalam filem Hollywood terkenal yang dibintangi Julia Roberts.
Beliau menyertai pasukan undang-undang yang mewakili 8 penduduk bandar utara Perak itu untuk menyaman sebuah loji nadir bumi yang dikatakan menghasilkan sisa radioaktif, pada 1985. Mahkamah Tinggi Ipoh kemudiannya mengarahkan kilang itu ditutup sehingga langkah keselamatan dipenuhi.
Dua tahun kemudian, kerajaan membenarkan kilang itu beroperasi semula dengan kebenaran agensi pengawal selia atom persekutuan. Bagaimanapun, selepas pergelutan bertahun-tahun dengan kes itu, pemilik kilang terbabit mengambil keputusan menutup kilang itu pada 19 Januari 1994.
Meenakshi turut memperjuangkan hak petani di Ladang Thean Teik di Air Itam, Pulau Pinang, antara 1982 dan 1983. Ini kes pertamanya sebagai peguam berkepentingan awam bersama Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP).
Ketika bersama CAP, beliau turut menyelesaikan beberapa isu masyarakat.
“Saya tidak akan menjadi peguam biasa, bekerja dalam perkhidmatan guaman atau kehakiman atau sektor korporat. Saya mahu melakukan sesuatu untuk membantu golongan miskin.
“Dengan CAP, saya mula berdepan kes yang dianggap kontroversi. Dalam kes loji nadir bumi di Bukit Merah, kami mendapati kadar keguguran agak tinggi di kalangan ibu.
“Saya melihat banyak persamaan dengan kes Erin Brockovich. Kilang di Bukit Merah itu didirikan betul-betul berhampiran populasi besar ibu dan anak mereka yang menghadapi masalah kesihatan. Kerajaan pula menyokong sepenuhnya operasi loji tersebut.’
Kehidupan Meenakshi berubah pada 1987 apabila beliau ditahan bersama ramai lagi dalam Operasi Lalang. Beliau ditahan dalam kurungan berasingan selama 47 hari di bawah ISA.
Mengimbau kembali penahanannya pada 27 Oktober 1987.
“Saya nampak 2 wanita berhenti di luar pejabat kami. Saya menyambut mereka dengan berfikir mereka mahu membuat aduan mengenai sesuatu. Tidak lama kemudian, mereka memberitahu saya ditahan di bawah ISA dan mereka ialah pegawai Cawangan Khas.
“Saya sangat marah. Saya sebagai peguam yang berjuang untuk kebebasan, kini menjadi mangsa undang-undang yang tidak adil.
“Saya tidak pernah diberitahu mengapa saya ditangkap. Saya rasa ia kerana saya mengendalikan kes sangat kontroversi.”
Matanya ditutup dan dibawa ke balai polis di Lebuh Dickens, di mana Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang berada ketika ini.
“Mereka membuka penutup mata dan membawa saya ke sebuah bilik di mana saya diarah menanggalkan baju dan memakai baju seragam penjara berwarna kelabu. Saya tidak dibenarkan memakai seluar dalam.
“Kemudian saya dibawa ke sel seluas 4 kaki dan panjang 14 kaki. Ia mempunyai sebuah bangku kayu pendek, tandas cangkung dengan paip pancuran di atasnya. Saya tidur di atas bangku kayu kecil dan pendek itu. Tiada katil atau bantal.
“Ada lampu pijar oren tergantung di atas saya. Ia menyala sepanjang masa.
“Ini ujian sebenar kesabaran anda. Saya banyak berdoa,” katanya.
Terdapat lubang di pintu sel yang dibiarkan terbuka, yang membolehkannya mendengar langkah kaki, suara orang bercakap di luar sel dan mengintai ke luar sekali-sekala.
“Hanya beberapa minggu kemudian, saya mendapat tahu Presiden Aliran Kesedaran Negara (Aliran), Dr Chandra Muzaffar berada di sel sebelah. Saya boleh dengar bunyi rantai kakinya ketika berjalan.”
Semasa sesi soal siasat, beliau ditanya: “Mengapa kamu bekerja untuk orang miskin? Kenapa kamu tidak sama dengan peguam biasa lain?”
Katanya, beliau berulang kali memberitahu beliau suka membantu rakyat.
“Satu lagi kumpulan polis akan berperanan sebagai polis jahat dan menakutkan saya dengan menjerit. Saya hanya mampu bersabar,” katanya.
Pelawatnya dipantau dengan ketat. Seorang anggota polis akan duduk berdekatan untuk mendengar perbualan mereka.
“Keluarga saya akan membawa makanan dari rumah, tetapi warden mengambilnya dan kata mereka akan menyerahkannya kepada saya kemudian, tetapi saya tak pernah dapat.
“Saya hanya dapat tisu dan tuala wanita. Untuk mengelak kebosanan, saya menyimpan semua bungkusan tisu dan tuala wanita itu supaya saya dapat membaca tulisan dicetak atasnya. Saya akan membaca cetakan di kotak itu berkali-kali.”
Kira-kira seminggu sebelum pembebasannya, warden mengejutkannya dengan menyerahkan beberapa novel untuk dibaca.
“Mereka menyerahkan beberapa fiksyen tidak masuk akal, seperti karya Jackie Collins. Ia seronok dibaca ketika itu.”
Beliau dibebaskan pada 13 Disember 1987 dan polis menghantarnya pulang ke rumah di Jalan Cantonment.
“Saya masih ingat berjumpa (Presiden CAP) SM Mohamed Idris tidak lama kemudian. Kami menangis ketika memeluk satu sama lain.
“Saya sedar ada banyak perkara yang kami ambil mudah. Sejak itu, saya kekal berhubung dengan orang lain. Saya lebih menghargai alam semula jadi. Saya suka melihat pokok, mendengar deruan ombak dan menghirup udara segar.
“Saya juga sedar makna kehidupan dan ia membuatkan saya lebih kuat. Ia memberi saya lebih banyak alasan untuk saya berjuang bagi kebebasan awam.”
Ditanya pendapatnya mengenai undang-undang baharu yang dikritik menyerupai ISA, Meenakshi berkata: “Ia tidak adil dan drakonian kerana ia memberi kuasa budi bicara yang luas kepada pihak berkuasa. Ia boleh disalahgunakan untuk memenuhi kehendak negara.”
silap fakta bang......bukit merah tu d ipoh. dekat batu gajah.
ReplyDeletebukit merah utara perak lain