Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Sunday, October 22, 2017

Ulasan ringkas: Keunikan konvensyen Amanah

Saturday, October 21, 2017
Keunikan konvensyen Amanah kali kedua di Alor Setar
ULASAN RINGKAS
Berpegang tangan tanda maufakat terikat.

Segmen ini kecil sahaja terutamanya di mata mereka yang cemburu dan tidak senang dengan kewujudan Parti Amanah Negara (Amanah). Ia mungkin dianggap sampah sahaja. Namun bagi mereka yang rasional dan suka melihat kelainan serta perubahan, konvensyen ke dua itu memberi signifikan dan makna yang besar.

Keunikan ini juga secara tidak langsung menyerlahkan keistimewaan yang ada kepada parti Islam progresif ini. Inilah bunga-bunga keindahan yang ada kepada parti satu ini.
Apa yang dimaksudkan, ialah peristiwa yang berlaku di majlis konvensyen ke dua parti itu yang berlangusng di Alor Setar Kedah hari ini, berjalan selama dua hari berakhir esok.

Saya tidak pasti apakah segmen kecil ini disedari dan terperasan oleh orang lain atau pun tidak. Atau barang kali sedar tetapi sengaja tidak mahu mengikhtiarfkannya. Tetapi bagi saya ia jelas dan satu keunikan dan amalan sangat baik sesuai dengan naluri politik terbuka muasir ini. Politik terbuka sebeginilah yang didambakan dan patut dicontohi serta diamalkan.

Ia adalah mengenai kehadiran pemimpin parti-parti gabungan Pakatan Harapan (PH) ke majlis itu. Kenapa dengan kehadiran mereka? Semua pemimpin tertinggi parti-parti gabungan Pakatan Harapan; PKR, DAP, PBBM dan tentunya Amanah, hadir sebagai meraikan konvensyen kedua Amanah itu dengan penuh mahabbah dan bersemangat.
Bertepuk tangan bersemangat

Sudah pasti mereka akan hadir untuk menunjukkan setiakawan  dan semangat bersama sebagai persiapan untuk menghadapi pilihan raya tidak lama lagi. Sebagai parti baru tentu Amanah sendiri memerlukan sokongan dan suntikan semangat kepada mereka, begitu juga dengan Pakatan Harapan sendiri.
Presiden, Penasihat Umum dan Tim. Presiden tidak dapat menahan geli hati, ketawa

Dr Mahathir Mohamad adalah pengerusi PPBM beliau juga hadir selaku kedudukannya sebagai Pengerusi PH, manakala Dr Wan Azizah Wan Ismail selaku presiden PKR bersama Muhyiddin Yassin Presiden PBBM, Lim Guan Eng adalah Setiausaha Agung DAP. Ketiga-tiga mereka adalah pemimpin utama parti dan juga berkedudukan dalam Pakatan Harapan menjadi tetamu kepada presiden Amanah, Mohamad Sabu yang juga pemimpin utama PH.

Yang indah dan merujakan bukan kesudian mereka hadir yang diberi layanan istimewa menjadi def kehormat yang disambut dengan tepuk sorak, tetapi diberi peluang untuk bercakap di hadapan para perwakilan dan pemerhati konvensyen Amanah itu.

Jika saya tidak khilaf inilah parti pertama di Malaysia mengamalkan konsep terbuka demikian  merealisasikan semangat kerjasama dalam sesebuah gabungan yang memberi pemimpin gabungan mereka berucap dengan penuh kebebasan -- tanpa kawalan teks. Dr Wan Azizah dan Dr Mahathir diberi peluang berucap di konvensyen itu tanpa ragu dan kekok, mereka berucap persis di hadapan anak buah sendiri.

Hal dan suasana ini tidak berlaku dalam parti lain dan inilah keistimewaan Amanah yang dipamerkan. Tidak syak lagi kalau Amanah menjadi sebutan dan harapan umum di masa depan.

Dr Mahathir sendiri terpesona dengan kelainan ini sehingga beliau meluahkan kehadiran beliau di konvensyen itu ada signifikan yang sangat bererti buatnya. Betapa tidak katanya dahulu beliau bergaduh dengan individu yang menjadi rakannya dalam PH, tetapi hari ini duduk bersama dan dapat berucap di hadapan mereka.

"Hari ini saya berucap di hadapan musuh saya," demikan singgung gurau Dr Mahathir di sambut dengan sorakan bersemangat. Pernyataan ini menjelaskan akan kekaguman Dr Mahathir kepada PH amnya dan Amanah khasnya.

Benar, kerana baik Umno maupun MCA dan MIC parti terbesar dalam gabungan BN, tidak memberi pemimpin utama mereka dalam gabungan itu bercakap dalam konvensyen atau persidangan agung parti masing-masing. Rakan mereka hanya hadir sebagai pemerhati sahaja. Walaupun gabungan BN sudah berumur lebih setengah abad namun ia masih mengamalkan konsep tertutup dan berahsia.

Apa yang dipraktikan oleh Amanah hari ini wajar dijadikan tradisi dalam Pakatan Harapan. Baik PBBM, PKR atau DAP apabila mereka mengadakan persidangan atau mesyuarat agung rakan-rakan sekutu mereka bukan sahaja dijemput, tetapi diberi ruang untuk berucap sebagai menunjukkah perasaan mahabbah.
A Samad Said antara tetamu istimewa

Apa yang berlaku kepada Amanah sesuatu yang membanggakan. Walaupun parti itu berusia dua tahun, ditubuhkan 19 September 2015, namun keanggotaan dan keupayaanya menyusunkan dan mengendalikan organisasi menunjukkan parti itu mampu bergerak lebih jauh dan menjadi wadah ummah.

Benarlah seperti mana kata Dr Wan Azizah di dalam ucapannya, walaupun Amanah parti baharu tetapi para penggerak (pemimpin)nya mereka yang sudah berpengalaman, pernah melalui ujian dan masak dengan sepak terajang politik.
Sebahagian kaum wanita yang hadir

Mesej penting Dr Mahathir dalam ucapannya itu ialah meminta semua anggota dan pendukung parti-parti gabungan PH melupai soal kepentingan diri tetapi hendaklah menumpukan kepada usaha dan menjatuhkan Najib. "Yang penting kini bukan kepentingan diri sendiri, tetapi perkara lebih besar ialah memastikan Najib tumbang," katanya.

Beliau menarik perhatian itu bagi mengelakkan wujud perkara-perkara tidak sepatutnya seperti masalah pembahagian kerusi, perebutan jawatan dan sebagainya sehinggakan perkara itu boleh membantutkan usaha menjatuhkan Najib dengan semua pihak memberi tumpuan kepada maksud yang satu itu. Serunya Najib hanya boleh dijatuhkan dengan semua orang bersatu.

Seperti mana dinyatakan oleh Setiausaha Agung Amanah, Mohd Anuar Tahir, hari ini parti itu mempunyai 153 kawasan di seluruh negara dengan tiga kawasan dalam proses kelulusan ROS dan menjadikan Amanah mempunyai 156 kawasan dalam masa terdekat. Menurutnya sebagai tokoh "setiausaha agung" berpengalaman itu, perkembangan Amanah itu sangat memberangsangkan.

Manakala jumlah cawangan sebanyak 364 tidak termasuk sebanyak 264 sedang menunggu proses kelulusan. Selepas konvensyen itu nanti katanya, cawangan Amanah di seluruh negara akan mencecah 628 buah cawangan. Parti itu juga sedang giat dan rancak menubuhkan cawangan Pemuda, Awam di seluruh negara.

Dengan kapasiti itu ia menjelaskan Amanah sebuah parti masa depan yang progresif hasil daripada komitmen para pendukungnya. Secara tidak langsung ia menafikan persendaan pihak lawan dan kawan lama mereka sebelum ini yang menduga Amanah akan bertahan hanya separuh hari sahaja.

Mengenai jumlah perwakilan yang hadir hari ini difahamkan lebih 800 orang tidak termasuk pemerhati. Konvensyen itu juga disiarkan secara langsung dan diikuti di seluruh dunia.

Turut sama hadir memerhati konvensyen Amanah ialah dua wakil dari parti di Indonesia, seorang ahli Parlimen Seri Lanka, Sasterawan Negara A Samad Said, para wakil kedutaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), termasuk ABIM dan Ikram. Sementara itu ahli Parlimen Pokok Sena Mahfuz Omar, Adun Batu Buruk Syed Azman Syed Muhammad Nawawi juga kelihatan. [wm.kl.6:43 pm 21/10/17] 

* Gambar diambil dari laman Parti Amanah Negara. 

Posted by mohd sayuti Omar at 7:12:00 PM 

1 comment:

  1. Definitely imagine that which you stated. Your favorite reason appeared to be at the internet
    the simplest thing to have in mind of. I say to you,
    I definitely get irked whilst people think about worries that they plainly do not recognize about.

    You managed to hit the nail upon the highest and defined out the whole
    thing with no need side effect , folks could take a signal.

    Will probably be back to get more. Thanks

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa