Pengumuman

Mulai esok (11 Julai 17) blog ini tidak akan diupdate Oleh kerana blog ini dan blog yang satu lagi mengandungi bahan yang sama, saya rasa adalah wajar untuk menghidupkan satu blog sahaja iaitu mountdweller88 untuk dilayari dengan mudah tanpa gangguan insya Allah Saudara/saudari persilakan ke - mountdweller88.blogspot.com

Tuesday, June 27, 2017

Enggan tutup pangkalan: Turki akan hantar lebih banyak tentera ke Qatar

Turki enggan tutup pangkalan, akan hantar lebih banyak tentera ke Qatar

 | June 26, 2017
Recep Tayyip Erdogan berkata, 13 tuntutan yang dikemukakan 4 negara Arab itu menyalahi undang-undang antarabangsa kerana mereka tidak boleh menyerang atau mencampuri kedaulatan negara lain.
ISTANBUL: Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan menolak gesaan menutup pangkalan tenteranya di Qatar dan menyifatkan 13 tuntutan dikemukakan 4 negara Arab sebagai campur tangan ke atas kedaulatan Doha.
Dalam kenyataan paling tegas menyokong Doha di tengah-tengah krisis hampir 3 minggu melanda rantau itu, Erdogan berkata, desakan agar Turki mengundurkan tenteranya adalah biadab dan Qatar yang menyifatkan 13 tuntutan 4 negara Arab itu sebagai tidak munasabah, mengambil pendekatan betul.
Pada 5 Jun lalu, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Mesir dan Bahrain memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar, disusuli penyerahan 13 tuntutan pada Jumaat lalu dalam usaha menamatkan krisis itu.
Tuntutan itu diserahkan Kuwait – orang tengah dalam krisis itu, kepada Qatar yang menuntut Doga menutup agensi berita Al-Jazeera, memutuskan hubungan dengan Iran dan menutup pangkalan tentera Turki serta membayar ganti rugi kepada 4 negara Teluk itu.
Bercakap di luar sebuah masjid di Istabul selepas menunaikan solat sunat Aidilfitri semalam, Erdogan berkata, 13 tuntutan itu menyalahi undang-undang antarabangsa kerana 4 negara Arab itu tidak boleh menyerang atau mencampuri kedaulatan negara lain.
Ahad lalu, Menteri Luar Bahrain dilaporkan berkata, campur tangan luar tidak akan menyelesaikan masalah.
“Demi kepentingan kuasa-kuasa ini, mereka perlu menghormati aturan kuasa serantau sedia ada yang mampu menyelesaikan sebarang isu yang mungkin berbangkit,” kata Sheikh Khalid Ahmed al-Khalifa menerusi Twitter tanpa merujuk Turki.
Tuntutan 13 perkara itu bertujuan menamatkan dasar campur tangan luar Qatar yang membangkitkan kemarahan negara konservatif Arab, susulan dakwaan Doha menyokong kumpulan pengganas yang dianggap ancaman kepada pemerintahan mereka.

Qatar dan Turki – yang mana parti pemerintah, Parti Keadilan dan Pembangunan berakar daripada politik Islamis – menyokong kerajaan Ikhwanul Muslimin di Mesir sebelum dijatuhkan pada 2003. Negara Arab tersebut mendesak Qatar memutuskan semua hubungan dengan Ikhwanul Muslimin dan kumpulan lain dianggap pengganas, ideologi atau sektarian. 

Tidak akan berundur 

Turki, negara serantau paling kuat menyokong Doha, menghantar 100 pesawat kargo membawa bekalan ke Qatar, sejak 4 negara Arab itu menutup laluan udara dan laut ke negara itu. Ia turut meluluskan undang-undang untuk menghantar lebih ramai tentera ke Qatar. 

Dua kontinjen tentera Turki bersama kenderan perisai tiba sejak krisis itu meletus 5 Jun lalu, manakala Menteri Pertahanan, Fikri Isik pada Rabu lalu berkata, lebih banyak tentera akan dihantar ke Qatar.

“Pengukuhan pangkalan Turki adalah langkah positif untuk aspek keselamatan rantau ini. Penilaian semula perjanjian dengan Qatar berkaitan pangkalan tiada dalam agenda kami.” 

Minggu lalu, akhbar Hurriyet melaporkan latihan bersama tentera Turki dan Qatar dijangka diadakan selepas cuti Aidilfitri dan jumlah tentera Turki yang dihantar ke negara itu boleh mencecah 1,000 orang dengan sebuah kontinjen tentera udara dijangka menyusul. 

Erdogan berkata, Turki turut menawarkan penubuhan pangkalan tentera di Arab Saudi, namun tidak pernah mendapat jawapan jelas.

“Jika Arab Saudi mahu kami menubuhkan pangkalan di sana, langkah ke arah itu juga boleh diambil. Saya membuat tawaran ini kepada raja sendiri dan mereka kata akan mempertimbangkannya. 

“Mereka tidak memberi jawapan sejak itu. Walaupun mereka belum menjawabnya, menggesa Turki menarik balik tentera (dari Qatar) adalah tindakan tidak menghormati Turki.” 

Katanya, program yang dirancangnya akan diteruskan walaupun beliau tidak berapa sihat. “Ada sedikit masalah dengan tekanan darah saya disebabkan diabetes,” katanya.

1 comment:

  1. I found your blog on search engines and bookmark it currently.
    keep up the nice work.

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa