"Kritikan yang paling tajam sering seiring dengan idealisme yang mendalam dan cinta kepada negara." - Robert F Kennedy

WAWANCARA Ramai dalam Pakatan yang meletakkan beliau dalam kategori yang sama dengan katak-katak yang melompat parti. Ikutilah bahagian pertama wawancara dengan bekas Menteri Undang-undang Datuk Zaid Ibrahim mengenai perkara itu.

Mengapa Datuk berhasrat bertanding di Pekan?Kenyataan saya untuk bertanding di Pekan adalah berkaitan dengan berita bahawa (Datuk Seri Abdul) Hadi (Awang) akan menjadi calon  (di situ). Saya tidak fikir presiden PAS harus didedahkan kepada risiko seperti itu. Tidak ada keperluan untuk pendekatan gung-ho seperti itu. Beliau perlu menang. Tawaran saya itu dibuat dalam konteks jika tidak ada siapa yang berwibawa, maka saya bersedia.

Bolehkah Datuk ceritakan keadaan yang membawa kepada peletakan jawatan Datuk sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri dan penggantungan Datuk dan seterusnya nama Datuk digugurkan sebagai calon dari Umno dalam pilihan raya umum 2008?
zaid ibrahim quits pkr 191110 05Keputusan saya untuk meletak jawatan dalam kabinet adalah kerana ia tidak dapat dipertahankan bagi saya untuk menyokong keputusan kerajaan menahan (pemimpin DAP) Teresa Kok (kiri), (blogger) Raja Petra Kamarudin dan seorang lagi wartawan akhbar (Sin Chew Daily Tan Hoon Cheng ) di bawah ISA.

Saya diambil kononnya untuk melakukan reformasi dalam badan 
kehakiman dan undang-undang yang zalim. (Maka) saya tidak boleh mempertahankan tindakan seumpama itu. Jadi saya letak jawatan. Saya juga tidak tahu mengapa saya digugurkan sebagai calon pada tahun 2008, kecuali orang yang mengambil tempat saya itu adalah setiausaha politik PM sekarang.

Datuk menuduh (timbalan presiden PKR) Azmin Ali melakukan penyelewengan dalam pemilihan parti PKR. Adakah pandangan Datuk sudah berubah terhadap mekanisme pemilihan dalamam PKR?
Saya tidak tahu mengenai jentera pilihan raya PKR sekarang. Setiausaha Agung Datuk Saifuddin Nasution adalah seorang yang berkemampuan, jadi beliau semestinya telah memperbetulkan keadaan tersebut.

Apakah pelajaran yang paling penting yang Datuk belajar ketika Datuk menjadi sebahagian daripada jentera Umno? Dan apakah pengajaran yang paling penting yang Datuk pelajari ketika Datuk menajdi sebahagian daripada jentera Pakatan?
Perkara yang saya belajar dalam Umno ialah perubahan adalah mustahil apabila kepentingan peribadi sudah tidak dapat dibezakan daripada kepentingan negara. Perkara yang paling penting saya belajar di dalam Pakatan Rakyat adalah (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) adalah penting kepada mereka, maka mereka perlu menang ketika beliau masih ada.

Jika Anwar penting kepada Pakatan Rakyat dan dengan mengambilkira bahawa beliau pernah berkata akan berundur jika Pakatan gagal menawan Putrajaya dalam PRU, adakah Datuk fikir sudah ada cukup gerakan dalam Pakatan Rakyat untuk memupuk calon-calon yang berkebolehan untuk meneruskan kepimpinan?
Jika Pakatan gagal dalam PRU akan datang, maka Anwar perlu berundur kerana beliau sendiri yang berkata demikian. Pakatan perlu mencari pemimpin yang lebih muda; dan yang benar-benar boleh membawa idea-idea politik baru kepada rakyat.

Dia perlu mempunyai keberanian untuk melakar masa depan baru negara. Dia perlu merupakan seorang pemimpin yang benar-benar boleh menyatu dan membina kepercayaan semua kumpulan di negara ini. Terdapat beberapa pemimpin muda dalam Pakatan yang boleh dipupuk untuk memimpin.

Orang yang mengundi Pakatan mempunyai isu-isu kepercayaan apabila ia membabitkan Datuk Zaid Ibrahim. Bagaimana Datuk mahu lakukan untuk mendapatkan semula kepercayaan tersebut?
Apakah jenis pemimpin yang kita boleh percaya? sudah tentunya seorang yang telah membuktikan melalui tindakannya untuk mempertahankan kedaulatan undang-undang dan hak-hak rakyat. Saya telah melakukannya. Saya telah meletak jawatan kerana mempertahankan prinsip tersebut.

Saya tidak ada skandal, tiada ketidaksopanan dalam apa jua bentuk. Saya konsisten dalam ucapan saya dan dalam tulisan-tulisan saya tentang apa yang saya percayai. Saya percaya dalam demokrasi sekular, kesaksamaan dan kebebasan untuk semua rakyat Malaysia. Maka atas sebab apa yang saya dianggap tidak boleh dipercayai?

Saya tahu Anwar menyifatkan saya sebagai 'Trojan horse' apabila kita menghadapi kesukaran semasa pemilihan parti PKR. Dan mungkin itulah sebab pengikut-pengikutnya masih tidak mempercayai saya. Tetapi saya memaafkan beliau. Pastinya, tidak ada orang yang mahu meninggalkan kabinet hanya untuk menjadi 'Trojan horse'.