Nik Aziz
Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
KOTA BHARU - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata jika benar Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar mengeluarkan kenyataan mengenai kebebasan beragama yang menimbulkan kontroversi, ia adalah suatu perkara yang tidak betul.
"Itu tak betul, kalau itu ucapan dia (Nurul Izzah)," katanya kepada Bernama selepas menunaikan solat Jumaat bersama Sultan Kelantan Sultan Muhammad V di Masjid Ketereh di sini, hari ini.
Bagaimanapun, Nik Aziz menyatakan, beliau bimbang kemungkinan wartawan terbabit tidak melaporkan sepenuhnya kenyataan Nurul Izzah mengenai perkara itu, menyebabkan berlakunya kontroversi.
Menteri Besar Kelantan itu berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Nurul Izzah, yang juga anggota Parlimen Lembah Pantai, yang dilaporkan sebuah portal berita pro-pembangkang sebagai berkata kebebasan beragama seharusnya terpakai kepada semua termasuk Melayu.
Portal itu memetik Nurul Izzah sebagai berkata: "Rakyat tidak seharusnya dipaksa menganut agama tertentu dan perkara ini juga patut terpakai kepada orang Melayu".
"Apabila anda bertanya saya, tiada paksaan dalam beragama... bagaimana seseorang itu boleh berkata, maaflah, ini (kebebasan beragama) hanya terpakai kepada orang bukan Melayu, ia sepatutnya diguna pakai secara sama rata," katanya.
Beliau berkata demikian pada forum bertajuk "Negara Islam: Versi Mana; Tanggungjawab Siapa?" di Subang Jaya pada 3 November.
Sementara itu, ditanya mengenai kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya beliau berani untuk menyatakan kebenaran apabila terdapat pemimpin pakatan pembangkang membuat kenyataan yang bercanggah dengan Islam dan prinsip perjuangan Pas, Nik Aziz berkata, perkara itu tidak berbangkit.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri dilaporkan berkata Nik Aziz tidak sepatutnya mengenepikan soal kebenaran terutama yang melibatkan agama Islam, semata-mata untuk kepentingan politik. - Bernama