Orang bukan Islam yang menerima kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dianggap sebagai 'kafir zimmi' (bukan Islam yang patuh bawah kepimpinan Islam), kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mashitah Ibrahim.

Menjawab pertanyaan Amran Ab Ghani (PKR-Tanah Merah), Mashitah berkata hal demikian tidak seperti mereka yang "secara jelas berkata mereka menentang Islam".

Tanpa menyebut pihak terbabit, beliau yang juga timbalan menteri yang menjaga hal ehwal agama Islam berkata insiden melibatkan pemimpin DAP adalah contoh berhubung perkara tersebut.

NONE"Adakah benar DAP (kafir) harbi atau tidak, jika non-Muslim atau kafir ini menentang pada Islam. Keluarkan kenyataan seperti cop syariah Islam ini extremism, yang terang-terang sebut tak mau Islam. 

"Tak kira nak langkah mayat ke tidak ke, ataupun merasakan mempertahan maruah Islam itu sesuatu yang bazir atau masa. Maka jelas adalah sesuatu yang menentang pada Islam," katanya Mashitah.

Karpal Singh pernah berkata hudud hanya boleh dilaksanakan di Malaysia jika melangkah mayatnya dahulu, sementara Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming dibidas berhubung kenyataannya yang mempersoalkan keperluan berdemonstrasi menentang film anti-Islam Innocence of Muslims.

Amran menyoal sekiranya terdapat langkah yang diambil untuk mengawal fatwa yang dikeluarkan oleh  individu yang tidak diiktiraf berhubung istilah kafir harbi dan tindakan undang-undang yang boleh diambil untuk mengelak daripada ia berulang.   

Dalam soalan tambahannya, Amran berkata hal tersebut merujuk kepada ulama pondok Abdullah Sa'amah yang dilapor oleh Utusan Malaysia yang melabelkan DAP sebagai kafir harbi.