Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Sunday, March 31, 2013

Lahad Datu: Lelaki Bergelar Datuk Seri Dicari

Sape pulak dia ni?
Tak pernah dengar pun nama dia dan petubuhan dia?
Published: Ahad Mac 31, 2013 MYT 7:06:00 PM
Updated: Ahad Mac 31, 2013 MYT 7:30:37 PM
Lahad Datu: Lelaki Bergelar Datuk Seri Dicari Bantu Kes Op Daulat
Hamza menunjukkan gambar lelaki yang bergelar "Datuk Seri" pada sidang media
 di Felda Sahabat pada Ahad. Foto MUGUNTAN VANAR / THE STAR

LAHAD DATU: Polis mencari seorang lelaki bergelar Datuk Seri bagi membantu siasatan berhubung kes yang berkaitan Operasi Daulat.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata Muhammad Ridzwan Sulaiman,dengan alamat terakhir di Georgetown, Pulau Pinang amat dikehendaki bagi membantu siasatan dan diminta segera menyerah diri di mana-mana balai polis berhampiran.
Beliau berkata Muhammad Ridzwan, yang juga Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Al-Ehsan, berpangkalan di Pulau Pinang dikatakan tidak terlibat dengan pengganas tetapi boleh membantu dalam kes berkaitan Operasi Daulat.
"Penama ini amat diperlukan. Orang ramai yang mengenali beliau diminta menghubungi Rakan Cop atau mana-mana balai polis berhampiran.
"Penama ini boleh membantu polis dalam satu aspek Operasi Daulat, dan polis percaya beliau kini berada di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan mungkin juga di Sabah," katanya pada sidang akhbar di Markas Operasi di Felda Sahabat 16, dekat sini, Ahad.
Sementara itu, Hamza berkata 180 penduduk yang menghuni pusat penempatan telah dibenar pulang ke rumah masing-masing iaitu 101 orang dari Kampung Tanjung Labian dan masing-masing 25 dan 54 orang dari Kampung Tanjung Batu dan Kampung Sungai Merah.
Beliau berkata, tiada pertempuran berlaku sepanjang 24 jam yang lepas dan operasi penggeledahan serta pembersihan masih dijalankan di kawasan Sungai Bilis, Lok Sembuang dan Lok Buani.
Berhubung keselamatan di laut, Hamza berkata selain melakukan penggeledahan dan pembersihan kawasan pertempuran, kawalan di kawasan perairan dilakukan setiap masa membabitkan pasukan polis Marin, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Tentera Laut Diraja Malaysia. - mStar

Lahad Datu: Tindakan Luar Biasa Yang Orang Awam Tak Sedar

Kita orang awam mana tahu ini semua
'Hanya Jauhari yang mengenal Maknikam'
Ada penglibatan politik ‘luar biasa’ di Lahad Datu- bekas Jeneral ATM

Oleh: Aedi Asri
KUALA LUMPUR 31 Mac: Bekas Ketua Turus Angkatan Tentera Darat, Jeneral (B) Tan Sri Md Hashim Hussein membayangkan wujud penglibatan politik luar biasa dalam operasi pasukan keselamatan dalam menangani pencerobahan pengganas Sulu di Lahad Datu.

Bekas jeneralBercakap dalam sidang media di ibu pejabat KEADILAN tengah hari tadi, beliau berkata, ada sesuatu yang tidak kena dalam cara kerajaan menangani konflik itu.
“Sebagai seorang yang berlatarbelakangkan profesion tentera, saya lihat peristiwa di Lahad Datu membayangkan ada penglibatan politik yang luar biasa dalam operasi yang sedang dijalankan,”
“Pertama, kita ada panglima (ATM) di Sabah, ada dua markas tentera di sana. Jadi kalau kita lihat dari segi ‘Command and Control’, tugasan (di Lahad Datu) patut diserah kepada mereka.
“Ini kerana mereka lebih arif dengan keadaan tanah, jalan dan kawasan yang mungkin terdedah kepada ancaman,” katanya.
Namun, Md Hashim berkata, pasukan yang dikerah pada peringkat awal di sana kebanyakannya dari semenanjung Malaysia.
“Pada awalnya di Kampung Tanduo, unit khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Semenanjung yang ditugaskan,” katanya lagi.
Tambahan pula, bilangan penceroboh yang masuk ke Lahad Datu tidaklah terlalu ramai dan pasukan keselamatan yang sudah ada di sana sepatutnya dapat menghadapinya.
“Kenapa kita tugaskan pemerintahan tertinggi dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan PDRM untuk pergi ke sana?
“(Jadi) inilah yang saya lihat tidak kena (dalam cara kerajaan tangani insiden Lahad Datu),” katanya lagi.
Menurut Bernama, sehingga kini, jumlah pengganas Sulu yang ditembak mati adalah 67, manakala jumlah tahanan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) berjumlah 111 orang.

Rupanya Malaun Ni Adalah Goblok Yang Kebal

Apa nak buat, dia kebal
Tapi tak apa, UMNO takut nak hukum dia
Biar rakyat hukum dia dan UMNO sekali!
PKR, NGO kecewa tiada tindakan ke atas Zul Noordin
Koh Jun Lin
  • 4:18PM Mac 31 2013
Lapan kumpulan terdiri dari pemimpin PKR dan wakil NGO berhimpun hari ini bagi menyatakan kekecewaan mereka ke atas tindakan polis ke atas MP Kulim-Bandar Baru Zulkifli Nordin yang didakwa menghina penganut Hindu.
Menurut kumpulan berkenaan, beberapa laporan pois sudah dibuat ke atas MP tersebut di seluruh negara sejak dua hari lalu dan mereka turut mengancam untuk mengadakan perhimpunan lebih besar sekiranya masih tiada tindakan dijalankan ke atas Zulkifli.

Timbalan ketua setiausaha NGO Tamilar Action Force Kanna Ramasamy berpendapat individu yang menghina agama Islam akan ditahan mengikut Akta Hasutan dalam tempoh 48 jam.

"Tapi mengapa (kementerian dalam negeri dan polis) memilih kasih apabila melibatkan agama lain?," soalnya.

Kumpulan seramai kira-kira 25 orang yang hadir dalam perhimpunan di Brickfields, Kuala Lumpur itu menuntut beberapa bentuk tindakan ke atas Zulkifli.

Setiausaha agung Malaysian Indians Progressive Association S Barathidasan mahu Zulkifli meminta maaf manakala ADUN Port Dickson M Ravi mahu beliau dikenakan hukuman.

 “Jadikan dia satu tauladan kepada orang yang menghina kaum lain," kata Ravi.

Bezanya isteri Habibie dengan isteri Najib

Oleh H FANSURI
SEJAK buku autobiografi Rosmah Mansor (isteri PM Najib Razak) dilancarkan, maka tidak sedikit buku itu mengundang kutukan dari langit. Kutukan dari langit itu sudah diterjemahkan lewat impian segala hati manusia untuk mengejinya.

Sementara itu di pihak Umno pula -- ketika catatan ini ditulis -- belum ada mana-mana pihak itu yang sudi membuat diskusi bertujuan mengangkat wacana berhubung buku ini. Agaknya Umno juga mengerti bahawa Rosmah itu bebanan buat seluruh alam termasuk Umno.

“Kalau Umno nak kalah cepat,” kata seorang teman, “Banyakkan perbahasan tentang buku Rosmah itu.”

Pendek kata, di pihak rakyat, berpusu-pusu kutukan mengalir ke atas isteri Perdana Menteri itu, sedang di pihak Umno pula, tiada orang yang berani membahaskan ‘kebaikan’ buku tersebut.

Buku setebal 165 halaman yang ditulis berdasarkan temu bual itu juga tidak galak disambut keras oleh wanita-wanita MIC dan wanita-wanita MCA juga. Mungkin bagi kaum Cina dan India, Rosmah bukanlah contoh ikutan yang terbaik buat diri mereka juga.

Demikianlah hari-hari berlalu dengan timbunan kata-kata Rosmah yang mengalir di corong-corong radio, dan sesekali suaranya bergetar, membikin setiap hati yang mendengar suaranya turut berdebar.

Mutakhir ini, yang paling memenatkan adalah - hidup untuk menanggung seksa derita akibat mendengar kata-kata keramatnya. Kata-katanya sebelum ini telah menyinggung rasa khalayak secara tidak sengaja.

"Takkanlah saya mahu menghebohkan kepada semua orang bahawa orang itu beri saya jam, orang itu beri saya beg tangan dan sebagainya. Itu sudah riak namanya, seperti mahu menunjuk-nunjuk," katanya.

"Kita mesti menjaga hati mereka apatah lagi kita adalah tetamu. Bagaimana perasaan kita apabila pemberian kita ditolak orang lain? Tentu kita akan tertanya-tanya dengan pelbagai soalan dan berasa kecil hati," katanya.

"Saya tidak mahu kelihatan selekeh kerana apabila saya selekeh akhirnya saya dikritik," katanya lagi.

Mungkin ada banyak lagi deretan perkataannya yang meresah gelisahkan ramai yang mendengarnya. Di sana, Najib tidak pernah mengerti akan hakikat ini. Tapi, bukanlah hal ini yang ingin kita bahaskan.

Apa yang ingin kita bahas adalah persoalan berhubung perbezaan antara sikap Ainun Habibie (isteri bekas Presiden Indonesia; BJ Habibie) dengan Rosmah Najib apabila kedua-duanya berdepan dengan hadiah-hadiah ini.

Di dalam buku memoir Ainun dan Habibie (yang kemudiannya telah difilemkan dengan judul yang sama), ada diperihalkan sikap Ainun apabila suaminya Habibie mendapat hadiah jam tangan yang mewah.

“Semoga jam ini tersalah dihantar ya pak?” kata Ainun di dalam bahasa sindiran, ketika terjumpa hadiah jam tangan mewah yang sengaja diselitkan di dalam beg kerja Habibie. Esoknya Habibie sudah serahkan kembali hadiahnya itu. Dan, percubaan kapitalis yang menyogoknya telah terbatal.

Demikianlah sikap Ainun Habibie yang lebih afdal diikuti dibanding Rosmah Najib ini. Kita dapatlah ambil iktibar - betapa sikap isteri yang baik itu boleh memandu pemerintahan kita dengan baik dan sempurna.

Sebaliknya jika kita beroleh isteri yang tidak membantu kita dengan nasihat yang baik, maka jahanamlah seluruh pentadbiran isi negara itu. Itulah iktibar cerita Musang Berjanggut di mana isteri yang baik boleh memandu penguasa dalam pentadbiran negara.

Ainun dalam kacamata Habibie itu digambarkan sebagai wanita terpelajar. Beliau mengikuti suaminya di Jerman lalu bekerja sendiri sebagai doktor untuk membantu keluarganya. Ini berbeza dengan Rosmah.

Rosmah banyak menghabiskan wang negara, duit rakyat dengan kos perbelanjaan Permata Pintar hingga RM111 juta. Bukan saja Rosmah tidak bekerja sendiri membantu menampung keluarga, malah mengikis duit umat.

Jadi, bagaimanalah Habibie tidak jatuh cinta kepada Ainun itu? Cinta Habibie ke atas isterinya Ainun itu? Gambaran kisah kasih itu demikian bersinar terpancar sampaikan Habibie sanggup menulis biografi cinta untuk Ainun, tetapi Najib tidak menulis buku mengenai cintanya ke atas isterinya Rosmah.

Mungkinkah kerana Najib Razak sudah ada wanita lain? Dan, beliau sukar berlaku setia ke atas isteri itu? Entahlah! Hanya pembubaran Parlimen yang akan memecahkan segala persoalan yang maha getir ini

Undi Kaum Cina: Kepada Siapa Mereka Terpikat?

Benarkah undi kaum Cina semakin mengecil?
Pengaruh undi mereka nampaknya yang akan menjadi penentu di kawasan bandar dan campuran 
Jadi tinggal lagi siapa yang berjaya memikat mereka, akan menang?
‘Undi masyarakat Cina masih berpengaruh, walaupun mengecil’
OLEH BOO SU-LYN
MARCH 31, 2013
KUALA LUMPUR, 31 Mac — Undi Cina masih penting pada Pilihan Raya 2013 walaupun angkanya menurun sejumlah kira-kira 30 memandangkan kerusi persekutuan kebanyakkannya kerusi campuran, kata penganalisis hari ini.
Akhbar berbahasa Cina Sin Chew Daily melaporkan Jumaat lepas bilangan pengundi Cina telah jatuh kepada 3.94 juta disebabkan faktor demografi, atau kira-kira 30 peratus daripada keseluruhan 13.3 juta pengundi.
“Sebliangan besar kerusi campuran masih pengundi Cina, walaupun sedikit berkurangan dalam saiz, kumpulan terus kekal berpengaruh dalam menentukan keputusan,” kata pengarah badan penyelidik Merdeka Center Ibrahim Suffian kepada The Malaysian Insider semalam.
“Cara persempadanan pemilih yang disediakan membenarkan pengundi Cina berpengaruh,” kata beliau, yang turut menambah masyarakat Cina sebilangan besar menyokong pembangkang.
Penganalisis politik Dr Sivamurugan Pandian menyatakan terdapat antara 64 hingga 68 kerusi campuran daripada 222 kerusi parlimen seluruh Malaysia.
“Setengah kawasan adalah kawasan putih kepada Barisan Nasional (BN), setengah kawasan adalah putih untuk pembangkang. Kawasan tertentu perlu bersaing sengit untuk setiap undi - ia dimana 64, 68 kawasan adalah penting, mungkin dikawasan yang dimenangi bawah 1,500 undi majoriti,” kata profesor Universiti Sains Malaysia (USM) itu.
Laporan Sin Chew menyatakan Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mempunyai peratusan pengundi Cina yang terbesar iaitu pada 53.3 peratus dan 52.2 peratus masing-masing, diikuti oleh Johor (38.8 peratus), Perak (37.7 peratus) dan Selangor (34 peratus).
Penganalisis politik Wong Chin Huat berkata pengundi Cina akan menjadi paling berpengaruh jika masyarakat Cina mengundi sebagai sebuah blok.
“Mana-mana bahagian pilihan raya dengan 35 peratus orang Cina, jika anda mempunyai 80 peratus sokongan, sokongan bukan Cina yang anda perlukan hanya kira-kira satu pertiga,” kata Wong kepada The Malaysian Insider.
“Terdapat beberapa daripadanya mempunyai 35 peratus pengundi Cina. Jika sokongan kaum Cina ialah 90 peratus, anda hanya memerlukan 30 peratus pengundi Cina,” kata pensyarah Universiti Monash itu.
Wong juga menegaskan bahawa tidak ada data terkini untuk menunjukkan sentimen pro-pembangkang adalah fenomena masyarakat Cina ataupun bandar.
“Dalam banyak bidang, anda mendapati pengundi bandar adalah anti-BN tanpa mengira kaum. Di kawasan luar bandar, sokongan kaum Cina terhadap BN juga adalah kuat,” katanya.
Pemimpin veteran MCA Datuk Lee Hwa Beng berkata pada Rabu lepas Pilihan Raya 2013 akan menyaksikan 15 kerusi persekutuan partinya mengecil kepada 13 sekurang-kurangnya, ataupun enam dalam senario paling teruk.
Beliau menambah ramalan masih lagi tidak memihak MCA untuk mengembalikan kekalahan teruk pada Pilihan Raya 2008.
Lee berkata MCA kalah teruk bertanding dengan calon pembangkang dikawasan majoriti masyarakat Cina, dan hanya terselamat dikawasan dimana masyarakat Melayu membentuk sebahagian besar pengundi.
Walau bagaimanapun, beliau menegaskan MCA mungkin mendapat keputusan baik dalam Pilihan Raya 2013 jika mereka meletak calon yang kuat untuk menentang penyandang daripada Pakatan Rakyat (PR) yang tidak mempunyai keupayaan kerana mereka hanya menang dengan majoriti kecil.
Pengundi kali pertama yang membentuk 30 peratus daripada 13.3 jumlah pengundi dilihat menjadi penentu pada Pilihan Raya 2013 dengan masyarakat Cina yang sejumlah besarnya terdiri daripada pengundi atas pagar, menurut laporan oleh Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL ) dalam satu kaji selidik yang dikeluarkan pada bulan Januari tahun ini

Nasib Baik Pengganas Bodoh!

Nyaris disembelih Jeneral Musa
ZULKHAIRIL ZAINUDDIN & MOHAMMAD FAIRUZ JUMAIN
31 Mac 2013


LAHAD DATU – Tiada apa yang diharapkan Ajmain Mahmud, 35, selain mahu terus hidup tatkala dia hampir-hampir disembelih ketua pengganas Kiram yang dikenali sebagai Jeneral Musa dalam kejadian di Kampung Tanjung Batu di sini, 6 Mac lalu.

Menurut Ajmain, ketika itu dia sendiri tidak yakin akan dapat terus bernyawa ketika peluang bagi dirinya untuk melepaskan

diri dirasa sudah teramat tipis sementara Jeneral Musa pula begitu marahkannya hingga sudah bersiap sedia untuk menyembelihnya hidup-hidup.

"Dia ketika itu sudah mengacu barong (parang Sulu) ke leher saya untuk sembelih saya hidup-hidup," kata Ajmain, anak Ketua Kampung Tanjung Batu, Mahmud Mallang.

Ditanya mengapa ketua pengganas Kiram itu begitu marahkannya, Ajmain berkata, puncanya kerana Jeneral Musa menyangka dia yang melaporkan kedudukan pengganas kepada pihak keselamatan.

"Kononnya kerana laporan sayalah, mereka (pengganas) dijejak dan diserang pada 1 Mac di Kampung Tanduo dan 2 Mac di Kampung Simunul, Semporna hingga menyebabkan beberapa pengikutnya mati dan ditangkap," katanya.

Menurut Ajmain, ketika itu Jeneral Musa diiringi kira-kira 50 pengikutnya yang mengarahkan dia dan penduduk lain berkumpul di satu tempat.

"Ketika itu kira-kira jam 9 pagi, saya berasa sangat takut," katanya.

Ajmain berkata, selain diacu parang, dia juga ditempeleng beberapa kali oleh Jeneral Musa.

“Saya hanya mampu berdoa, tiba-tiba ada seorang dari mereka menghalang Jeneral Musa dari membunuh saya,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Katanya, pengganas Kiram turut membuat dua sekatan bagi menghalang penduduk Kampung Tanjung Batu keluar dari kawasan terbabit.

“Kami berjaya melepaskan diri apabila pengganas benarkan kami keluar. Ada juga berjaya keluar apabila pengganas beri wang untuk membeli barang-barang makanan,” katanya.

Pelajar Pulak Jadi Sasaran Cemuhan Mamak Ni......

Kekadang keliru pulak kita
Siapa PM kita sekarang ni 
Najib atau Mahathir?
Segala benda dia nak kritik dan nak atur

Najib cuba dekati Pelajar tapi dia pulak cuba jarakkan
Dia nak tolong Najib atau nak sembam Najib?
Dr M: Pelajar terlalu selesa, tak bersyukur
Bernama
  • 10:54AM Mac 31 2013
Sikap tamak dan terlalu selesa dengan kemakmuran negara membuatkan mahasiswa sekarang tidak berterima kasih kepada kerajaan atas kemudahan yang diberikan, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau bimbang dengan perkara itu kerana ada pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan mempengaruhi mahasiswa melakukan perkara negatif untuk menentang kerajaan.

"Kerajaan sejak dahulu sediakan pelbagai kemudahan kepada mahasiswa, mahasiswa terdahulu yang baru dapat kemudahan memang rasa terima kasih sangat tetapi mahasiswa sekarang terlalu selesa malah lihat benda ini perkara biasa yang kerajaan buat untuk mereka. Ini timbul rasa tamak nak lebih lagi.

"Selesa dan tamak ini kaburkan mata mereka untuk berfikir negara ini punya had tertentu dalam beri kemudahan bagi pastikan kewangan negara diurus dengan baik. Ini makin teruk apabila 'dibaja' dengan fitnah 'orang itu' seperti nak beri pendidikan percuma dan pelbagai lagi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama program Bicara Negarawan Tun Dr Mahathir Mohamad yang bertajuk "Mahasiswa dan Graduan Pewaris Kepimpinan Negara" di Universiti Teknikal Malaysia, di Melaka semalam.

Turut hadir isteri beliau Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam. Lebih 10,000 mahasiswa dari institusi pengajian tinggi awam dan swasta di negeri ini menyertai program itu.

Dr Mahathir berkata seorang mahasiswa perlu bijak menilai baik atau buruk sesuatu perkara berdasarkan kebijaksanaan mereka, bukan mengikut perasaan atau nafsu semata-mata.

"Mahasiswa ini bila dah habis belajar, tidak ada gunanya dapat ijazah sekiranya tiada kebijaksanaan pada mereka. Segenggam ijazah sahaja tidak akan membantu mereka menjadi pemimpin masa depan.

"Mereka sememangnya terdedah dengan pelbagai pendapat dan ideologi daripada semua pihak, jadi kebijaksanaan ini membolehkan mereka memilih mana yang baik.

Kalau pilih yang buruk, negara akan hancur kerana mahasiswa ini pemimpin masa depan negara," katanya.

Beliau berkata bagi menjadi seorang pemimpin yang cemerlang, mahasiswa perlu belajar mendekati dan memahami orang yang mereka pimpin.

"Mahasiswa kalau nak jadi pemimpin kena ingat bukan kerana nak senangkan diri sendiri, tapi kerana nak senangkan orang lain. 'Title' pemimpin bukan untuk berlagak atau ingin dipandang tinggi orang lain. Ia 'title' untuk menjadi hamba kepada orang yang kita pimpin," katanya.

Sementara itu, ketika ditanya pemberita tentang dakwaan wujudnya pihak tertentu cuba mencetuskan suasana huru-hara semasa pilihan raya umum ke-13 (PRU13), Dr Mahathir berkata perkara berkenaan boleh berlaku.

Akhbar hari ini melaporkan dakwaan sebuah badan bukan kerajaan mengenai ada pihak menyebarkan risalah mengandungi cara untuk mencetuskan ketegangan di pusat-pusat mengundi pada PRU13 nanti. 

Apa Gunanya Berbaju?

Lady Gaga Tidak Berseluar Dalam

 

Najib Merayu Atau Memujuk?

Alangkah bagusnya kalau Najib sentiasa begini
Mendekati rakyat dan Tuhan dengan ziarahi dari Masjid ke Masjid?
Bukan hanya terhad pada hajat untuk meraih undi saja
Umat Islam Harus Ketepi Perbezaan Demi Islam - PM
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika menyampaikan ucapan kepada jemaah di Masjid Jamek Sri Petaling semasa melakukan ziarah di masjid berkenaan di sini, Sabtu malam. -fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Umat Islam di negara ini hendaklah bersatu demi kepentingan agama Islam walaupun mereka berbeza pendapat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata kepentingan umat Islam perlu dipertahan di negara ini.
"Walaupun kita ada perbezaan pendapat, tapi kita carilah cara untuk penyelesaian dan janganlah sampai kita merosakkan kepentingan Islam dan masa depan negara," katanya di depan 500 jemaah Masjid Jamek Seri Petaling sempena program ziarah masjid di sini Sabtu malam.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin; Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha serta Pengerusi masjid itu Zaid Abdullah.
Najib, yang tiba pada 8.50 malam berbaju Melayu coklat dan berkain pelikat, menunaikan solat Isyak dengan diimamkan Imam Besar Masjid Maulana Abdul Hamid Chin.
Najib bersama jemaah lain kemudian mendengar tazkirah ringkas berkaitan sejarah perjuangan Nabi Muhammad SAW oleh Ustaz Muaz Roslan, yang membaca kitab Hayatus Sohabah.
Masjid itu merupakan markas pergerakan Tabligh di negara ini sejak 1985 dan sentiasa dikunjungi jemaah dari seluruh dunia yang menjadikannya antara markas bagi melahirkan pendakwah Islam di negara ini.
Najib berkata kerajaan akan sentiasa membantu pergerakan dakwah di negara ini dengan apa sahaja cara yang boleh dilakukan bagi mempertingkat syiar Islam.
"Sebab itu, dalam apa jua keadaan, agama Islam mesti kita pertahankan, syariat Islam, kalimah Allah kita sucikan kerana inilah tanggungjawab kerajaan yang memperjuangkan syiar Islam," kata beliau yang turut meluangkan masa bersalaman dengan jemaah sebelum beredar. mStar

Rakyat Malaysia Tidak Patriotik Atau Kurang Sensitif?

Jika Lahad Datu di Jepun
Subky Latif,30 Mac 2013

APA yang dapat kita bayangkan kalau pencerohonan di Lahad Datu itu berlaku di Jepun atau di India atau di Perancis?

Nescaya kejadian itu tidak sekadar polis dan tentera mengambil tindakan sewajar mengepung, menawan dan menumpaskan penceroboh dan penyusup,  tetapi  rakyat akan bangkit meminta pertangggungjawapan kerajaan.

Rakyat tidak akan biar Perdana Menteri dan kerajaan bersenang lenang membuat kenyataan itu dan ini bagi menyalahkan penceroboh saja, tetapi akan diminta beri tunjuk sebab mengapa mereka tidak boleh dikenakan tindakan.

Jepun atau Korea Selatan tidak senang melihat Perdana Menterinya bercakap politik atas kejadian itu tetapi dia akan ditanya bagaimana boleh di bawah pentadbirannya nagara boleh dimasuki orang-orang bersenjata menuntut wilayah sebahagian dari wilayah kita secara kekerasan atau apa cara jua?

Kalau tsunami yang melanda Jepun lebih setahun lalu bukanlah disebabkan oleh kecuaian manusia, tetapi kerana kepayahannya menangani segala kesan tsunami itu termasuk logi nuklearnya, maka bukan sekadar Perdana Menteri dikenakan tindakan politik, bahkan kerajaan dan parti yang memerintah dihukum dengan menggantikannya dan kerajaan lailn dan Perdana Menteri lain.

Jika Lahad Datu itu berada di Jepun Perdana Menteri  akan disalahkan kerana gagal menjaga keselamatan hingga wilayah boleh dimasuki militan asing. Kedua sesudah wilayah diceroboh mengapa mengambil masa berminggu-minggu untuk bertindak? Ketiga mengapa keselamatan seperti tidak diserah kepada tentera tetapi diserahkan kepada polis sebaik saja kejadian berlaku?

Perdana Menteri nescaya tidak boleh lebih lama duduk di kerusinya. Orang akan minta dia meletakkan jawatan dan beri kerusi itu kepada orang lain. Kalau  dalam hal-hal yang tidak sesulit itu Perdana Menteri Jepun, Presiden atau menteri-mentenri Korea Selatan,  Perancis dan India dituntut meletak jawatan, maka apa lagilah dalam hal yang melibatkan kedaulatan dan kemerdekaan negara.

Atau paling kurang Perdana Menteri mungkin boleh diselamatkan tetapi Perdana Menteri mesti bertanya menteri dalam negeri mengapa boleh pantai  dan sempadan negara ini boleh dimasui bersenjata dari luar, bukan seorang dua tetapi mencapai angka ratus?

Sama ada menteri berkenaan buat kerja  atau tidak buat kerja, sama dia lemah atau sebaliknya, dia mesti ditanya dan mesti menjawab dulu. Sama ada dia disuruh berhenti atau dia minta berhenti, dia akan disalahkan dulu dalam kecuaian seperti itu.

Itulah sebabnya kita  selalu saksikan menteri  di negara-negara tersebut meletak jawatan bukan tunggu  dia salah  dan cuai, tetapi dia mesti memikul tanggungjawab dan akauntabiliti.

Menteri itu mungkin seorang yang  cekap, baik dan bertanggungjawab, tetapi dia ada maruah dan rasa malu, amanah telah diberi kepadanya, tiba-tiba amanah itu tidak dapat disempurnakan. Semua menteri yang bermaruah  dalam dunia akan mengambil tanggungjawab atas kelemahan dan kepincangan jabatan di bawahnya dengan meletakkan jawatan.

Menteri Pertahanan juga akan tanya mengapa tidak mengambil tanggungjawab dari mula-mula lagi apabila ia berlaku dengan menyatakan kepada Perdana Menteri  bahawa dalam hal seperti itu ia mesti  diserahkan kepada tentera, bukan dibiarkan kepada menteri dalam negeri  yang lembik.

Menteri Pertahanan tentu dengan nasihat para panglima beritahu Perdana Menteri dan kabinet hal itu mesti ditangani oleh tentera.

Apa pun mana-mana Perdana Menteri yang ada maruah dan tanggungjawab, tidak sekadar membiarkan orang memperleceh menteri-menterinya, dia dulu meletak jawatan. Dia mesti mengambil tanggungjawab menjaga maruah orang-orang di bawahnya.

Kerana Lahad Datu ini berada di Malaysia kerajaan tidak langsung menyalahkan dirinya atau bermuhasabah, tetapi mencari orang lain di luar kerajaan untuk jadi kambing berbagai bulu

Pandangan Ini Saya Setuju!

Cuma satu jer, 'Wan Azizah tak layak jadi MB kerana perjuangannya dalam politik lebih terarah membela suaminya' 
Bagi saya pendapat ini agak dangkal! 
Dulu mungkin betul tetapi fokus politiknya sekarang berlainan sama sekali
Jayum: 'Bukan standard Dr Wan Azizah'
SITI NURSYAHIDAH ABU BAKAR & NURULFATIHA MUAH
30 Mac 2013

SHAH ALAM - Penganalisis politik berpendapatan bukan standard bagi Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail untuk bertanding di peringkat Dun di Selangor.

Timbalan Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Prof Dr Jayum Jawan berkata, Dr Wan Azizah tidak sesuai bertanding di peringkat Dun kerana beliau memiliki kedudukan tinggi dalam parti.

“Sebagai pemimpin nasional, beliau lebih layak bertanding di Parlimen. Sekiranya Pakatan Rakyat (PR) menang, paling tidak pun beliau hanya boleh memegang jawatan Exco.

"Sedangkan dengan kedudukannya sebagai Presiden PKR, beliau layak mendapat jawatan yang lebih besar seperti menteri. Secara tidak langsung, tindakan ini hanya merendahkan standard beliau,” katanya, semalam.

Pada Pilihan Raya Umum 2008, Dr Wan Azizah berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Permatang Pauh dengan majoriti 13,388 undi, mengatasi calon Barisan Nasional (BN), Datuk Pirdaus Ismail.

Beliau bagaimanapun meletak jawatan pada 31 Julai 2008 bagi memberi laluan kepada suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding pada pilihan raya kecil kawasan itu.

Menurut Artikel  48(6) dalam Perlembagaan Persekutuan tidak membenarkan Ahli Dewan Rakyat bertanding pilihan raya dalam tempoh lima tahun dari tarikh peletakan jawatannya.

Dr Jayum berkata, Dr Wan Azizah tidak ada masalah untuk menang pada mana-mana kerusi ditandingi berdasarkan kedudukannya sebagai presiden parti dan kedudukan PKR yang semakin kuat di Selangor.

"Adalah lebih wajar jika PKR meletakkan Dr Wan Azizah di kawasan sukar dimenangi. Bila menang, barulah beliau ada kelas tersendiri," katanya.

Sementara itu, Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam Majlis Profesor Negara, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, Dr Wan Azizah pasti bertanding di kerusi beliau yakin boleh menang.

“Kalau kalah, ia akan memberi tamparan hebat kepada beliau dan parti. Saya pasti beliau akan diletakkan di kawasan boleh menang sebab ia akan menjadi pendorong kepada tokoh yang lain,” katanya.

Ditanya sama ada Dr Wan Azizah layak menjadi menteri besar Selangor jika Pakatan Rakyat (PR) menang di negeri itu, Nik Ahmad Kamal berkata, keputusan itu bergantung perbincangan bersama PR dan mesti patuhi syarat undang-undang tubuh kerajaan negeri.

Sementara itu, Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berpendapat, Dr Wan Azizah kurang sesuai menjadi MB kerana perjuangannya dalam politik lebih terarah membela suaminya.

“Saya tidak rasa beliau hendak jadi menteri besar sebab tidak political dan beliau dilihat bertanding untuk pastikan kemenangan Dun di Selangor saja. Jawatan Exco juga tidak sesuai memandangkan jawatannya sebagai presiden parti. Bagaimanapun, semuanya terpulang kepada pimpinan PKR untuk menilai,” katanya.

Mohd Azizuddin berkata, Dr Wan Azizah sesuai bertanding di kerusi mempunyai ramai pengundi wanita atau kawasan pelbagai kaum.

“Kalau pilih kawasan majoriti Melayu, beliau terpaksa bersaing sengit dengan Umno,” katanya.

Umno lebih Islam dari PAS?

Zainal Abidin Nor | March 30, 2013
Untuk memikat para pengudi menjelang PRU13, Umno dan PAS masing-masing mahu menonjolkan diri sebagai juara dalam mendaulatkan Islam.

Hari demi hari kita semakin hampir dengan tarikh pilihan raya umum (PRU) ke 13 namun sehingga hari ini kita belum tahu bilakah sebenarnya tarikh tersebut walaupun Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan telah terbubar secara otomatik sejak 28 Mac lalu.
Untuk memikat para pengundi terutama di kalangan pengundi Melayu yang beragama Islam, parti-parti politik atau lebih tepat lagi, PAS dan Umno, masing-masing mahu menonjolkan diri sebagai juara dalam memperjuang syiar dan memartabatkan Islam.
PAS, namanya sahaja (Parti Islam Semalaysia) sudah meletakkan asas perjuangannya untuk mendaulatkan Islam manakala Umno, walaupun sebuah parti yang berteraskan kaum Melayu, juga tidak mahu ketinggalan dalam usahanya untuk mendaulatkan Islam.
Sebab itu kita sering mendengar komen seperti “Umno juga memperjuangkan Islam” dan malahan banyak program untuk meninggikan syiar Islam dilaksanakan oleh kerajaan Umno-Barisan Nasional berbanding PAS.
Salah satu isu kontroversial yang diketengahkan akhir-akhir ini ialah isu kalimah Allah. Timbul polemik apabila pihak gereja mahu menggunakan kalimah “Allah” dengan menggantikan perkataan “Tuhan” dalam kitab Bible.
Isu ini diulang tayang berkali-kali dan disiarkan oleh media arus perdana dan juga media alternatif sejak beberapa bulan yang lalu dan isu ini dianggap sesuatu
yang sensitif dan kini bertukar menjadi isu politik, terutama di antara PAS dan Umno.
Isu kalimah Allah membuat umat Melayu-Islam di negara ini menjadi keliru dan bingong, sama ada anggota masyarakat bukan Islam boleh menggunakan kalimah Allah dalam kitab dan literatur mereka.
Persoalan juga timbul sama ada kaliman Allah adalah hak mutlak umat Islam manakala perkataan Tuhan boleh digunakan oleh penganut agama lain dan non-Muslim.
Para pemimpin Umno agak konsisten tentang pendirian mereka terhadap penggunaan kalimah Allah kerana mereka tetap mengatakan kalimah Allah adalah hak mutlak umat Islam sahaja dan tidak boleh digunakan oleh bukan Islam.
Namun para pemimpin PAS pada peringkat awal tidak konsisten dalam isu ini sehinggalah Majlis Syura Ulama parti itu menetapkan keputusan bahawa kalimah Allah hanya boleh digunakan oleh umat Islam sahaja.
Penduduk Mekah
Tetapi apabila dikaji tentang perkara ini dengan meneliti beberapa ayat Al Quran kita mendapati bahawa non-Muslim atau orang-orang musyrik Mekah pada zaman Rasulullah SAW pernah menggunakan perkataan Allah dalam perbualan dan dialog mereka dengan umat Islam.
Dalam ayat 3, Surah Az-Zumar, firman Allah bermaksud: “Ingatlah (hak yang wajib dipersembahkan) kepada Allah ialah segala ibadat dan bawaan yang suci bersih (dari segala rupa syirik).  Dan orang-orang musyrik yang mengambil selain dari Allah untuk menjadi pelindung dan penolong, sambil berkata: “Kami tidak menyembah atau memujanya melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah sedamping-dampingnya.”
“Sesungguhnya Allah akan menghukum di antara mereka (dengan orang-orang yang tidak melakukan syirik) tentang apa yang mereka berselisihan padanya. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang tetap berdusta (mengatakan yang bukan-bukan) lagi sentiasa kufur dengan melakukan syirik. (Tafsir Pimpinan Ar-Rahman terbitan Jabatan Perdana Menteri, tahun 1980.)
Dalam ayat ini, orang-orang musyrik menyebut “kami tidak menyembah atau memujanya melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah sedamping-dampingnya.”
Ini bermaksud orang-orang musyrik (penduduk Mekah) juga menyembah Allah  dan patung-patung berhala itu dianggap sebagai perantara sahaja.
Tetapi yang dilarang di sini ialah menyengutu dan menyamakan Allah dengan sebarang bentuk pemujaan yang bersifat objek di mana berlakunya satu perbuatan syirik yang dilarang keras dalam Islam.
Keadaan ini diterangkan dalam akhir ayat itu: “Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang tetap berdusta lagi sentiasa kufur dengan melakukan syirik.”
Sedangkan syirik atau menyengutukan Allah dengan sesuatu yang lain adalah merupakan satu kezaliman yang sangat besar, kata Lokman kepada anaknya seperti mana yang diungkapkan dalam Al Quran.
Al Quran juga menyentuh tentang sikap orang-orang musyrik di kota Mekah yang menyembah berhala.  Apabila ditanya kepada mereka, siapakah yang menjadikan langit dan bumi nescaya mereka (orang-orang musyrik) akan menjawab “Allah”.
Berdasarkan hujah ini adalah tidak wajar untuk menyatakan bahawa non-Muslim tidak boleh menggunakan perkataan Allah dan tidak benar untuk mengatakan perkataan Allah adalah hak mutlak umat Islam sahaja.
Bermotif politik
Kita yakin matlamat Umno yang berpendirian bahawa perkataan Allah hanya boleh digunakan oleh umat Islam sahaja bermotifkan politik kerana Umno sering mempolitikkan agama untuk mencapai tujuan mereka.
Umno cuba menyakinkan rakyat bahawa merekalah yang sebenarnya memperjuangkan kedaulatan Islam dan bukan PAS, walaupun sejarah membuktikan Umnolah yang meminggir dan menghina Islam.
Umno juga mempolitikkan agama apabila bercadang untuk meletakkan calon PRU13 di kalangan ulama muda yang bertujuan untuk menyaingi kekuatan pimpinan ulama dalam PAS. Umno juga mahu dilihat sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam walaupun mereka tidak yakin Islam itu sebagai satu cara hidup (ad-deen).
Tetapi Umno tidak serius untuk meniupkan roh Islam dalam pentadbirannya.  Buktinya ulama-ulama Umno tidak diberi jawatan penting dalam kerajaan dan pembuat keputusan tetapi sebaliknya mereka sering dipinggirkan dan akhirnya peranan mereka hilang ditiup angin.
Sikap Umno yang memilih dan mengambil sesuatu hukum dan menolak hukum yang lain dalam Islam menyerlahkan sikap hipokrit mereka dan sikap ini menyerupai sikap kaum Yahudi terhadap agama mereka.
Kedurjanaan kaum Yahudi sejak sebelum kedatangan Islam sehingga dilaknat oleh Allah ialah kerana perbuatan mereka yang mengubah isi kitab dan membunuh para nabi dari kalangan mereka sendiri. Inilah dosa besar yang dilakukan kaum Yahudi yang dikisahkan dalam Al Quran.
Jika benar Umno mahu menjadi juara yang mendaulatkan Islam maka mereka harus menerima Islam secara keseluruhan dan melaksanakannya dalam segenap aspek kehidupan bermasyarakat.
Umno hendaklah mengambil Islam dan melaksanakannya secara keseluruhannya. Tidak boleh memilih-milih, ayat mana yang boleh dipakai dan ayat mana yang tidak boleh dipakai serta tidak memberi alasan untuk tidak melaksanakannya.
Firman Allah dalam ayat 208, Surah Al Baqarah: “Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan; sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.”
Banyak bukti dan peristiwa yang menunjukkan Umno bukanlah pembela Islam yang sebenarnya dan jika dihuraikan satu persatu kedurjanaan Umno dalam meminggirkan Islam maka tulisan ini akan menjadi panjang.