Lapan kumpulan terdiri dari pemimpin PKR dan wakil NGO berhimpun hari ini bagi menyatakan kekecewaan mereka ke atas tindakan polis ke atas MP Kulim-Bandar Baru Zulkifli Nordin yang didakwa menghina penganut Hindu.
Menurut kumpulan berkenaan, beberapa laporan pois sudah dibuat ke atas MP tersebut di seluruh negara sejak dua hari lalu dan mereka turut mengancam untuk mengadakan perhimpunan lebih besar sekiranya masih tiada tindakan dijalankan ke atas Zulkifli.

Timbalan ketua setiausaha NGO Tamilar Action Force Kanna Ramasamy berpendapat individu yang menghina agama Islam akan ditahan mengikut Akta Hasutan dalam tempoh 48 jam.

"Tapi mengapa (kementerian dalam negeri dan polis) memilih kasih apabila melibatkan agama lain?," soalnya.

Kumpulan seramai kira-kira 25 orang yang hadir dalam perhimpunan di Brickfields, Kuala Lumpur itu menuntut beberapa bentuk tindakan ke atas Zulkifli.

Setiausaha agung Malaysian Indians Progressive Association S Barathidasan mahu Zulkifli meminta maaf manakala ADUN Port Dickson M Ravi mahu beliau dikenakan hukuman.

 “Jadikan dia satu tauladan kepada orang yang menghina kaum lain," kata Ravi.