Thursday, January 28, 2010

Kenangan Sehari Bersama TG Sidi Abd. Latiff

"Kalu mu ada maso gilah jumpo Sidi Abd. latiff di Seberang Takir dan Sheikh Othman di Bagan Serai, mereka tu saing-saing aku" Itulah pesan Arwah Guruku setika saya mengunjunginya pada suatu petang di rumahnya.

TG Sidi Abd. Latiff adalah seorang Pendakwah dan Penceramah bebas pada era lewat 60'an dan awal 70'an. Manakala TG. Sheikh Othman pula adalah rakan seperguruan kepada Arwah Guru saya yang pada masa itu tinggal di Bagan Serai. Namun begitu saya hanya sempat berkunjung dan bertemu dengan TG Sidi Abd. Latiff sahaja sebelum mereka meninggal.

Jadi untuk memenuhi hajat Guru dan saya pun memang ingin berjumpa dengan seorang manusia yang namanya cukup gah di bidang dakwah pada masa itu, maka saya dan seorang kawan bermotosikal ke Seberang Takir mencari rumahnya.

Setelah bertanya sana sini, pada jam 6.00 petang lebih kurang saya sampai di rumahnya dan memberi salam. Salam dijawab dan dipersilakan naik ke rumah. Saya terangkan tujuan kedatangan saya dan sampaikan salam Guru kepadanya. TG Sidi Abd. Latiff kelihatan cukup gembira dengan kedatangan kami. Dengan ceria beliau mempelawa saya bermalam di rumahnya. Tapi yang anihnya beliau tidak pula mempelawa kawan yang datang bersama saya. Saya dan kawan saya itu berpandangan antara satu sama lain. Rupanya kawan saya itu faham apa yang tersirat dipandangan mata saya. Dengan bersahaja dia berkata "Din, kau tidurlah di sini. Aku akan balik bermalam di rumah Bapa Saudara aku di Kuala Terengganu. Esok selepas Solat Jumaat aku akan datang ambil". Jadi dengan hati yang terkilan saya melepaskan kawan saya balik ke Kuala Terengganu. Saya bermalamlah di situ. Ketika itu TG Sidi berada di rumah isterinya yang Ketiga. Sebenarnya TG Sidi ini beristeri tiga. Isteri Pertama dan Isteri Kedua tinggal di satu rumah lain yang berdekatan.

Ketika saya sampai tadi saya dapati TG Sidi menghidap Selesema yang teruk dan Batuk. Beliau tidak melepaskan tuala kecil "Good Morning" dari hidungnya menahan hingus yang menitis. Selepas solat Isyak dan makan malam beliau tetap juga gagah bersembang dengan saya berkenaan berbagai hal. Dari aspek dakwah, amalan, Kuliah Agama dan pengalaman pahit manisnya ketika menjalankan dakwah. Beliau pernah ditembak dan dihalau dengan pedang tetapi beliau cukup beristikamah dengan pekerjaan dakwah. Beliau redha dengan apa yang ditakdirkan kemudian. Kami bersembang sehinggalah jam 2.00 pagi. Selepas beliau tunjukkan bilik tidur saya, beliau minta izin untuk solat sunat dan zikir di bilik solat yang bersebelahan dengan bilik yang saya tidur.

Apa yang saya dengar dari mula saya baring sebelum terlelap, beliau solat dan selepas itu beliau berzikir sehinggalah saya tertidur. Satu keanihan bagi saya, bila saya terjaga jam 5.00 pagi untuk Solat Subuh saya masih mendengarnya berzikir. Ini bermakna malam tadi beliau tidak tidur. Saya berfikir panjang dan berkata di dalam hati "Padanlah TG Sidi ini dikatakan berkat, dalam keadaan sakit begitu pun beliau tidak tidur malah beribadat sehingga subuh"

Solat Subuh kami berjemaah di Masjid bersebelahan rumahnya dengan beliau yang menjadi Imam. Selepas Solat dan berwirid, beliau sambung dengan Kuliah Subuh sehinggalah jam 8.00 pagi. Selepas itu beliau mempelawa saya ke rumah Isteri Pertama dan Keduanya untuk bersarapan pagi.

Selepas sarapan pagi kami bersembang lagi bersama beliau dan anak-anak lelakinya. Sempatlah saya terima apa yang diperturunkan kepada saya ketika itu. Cuma satu perkara yang beliau akan perturunkan kepada saya bila saya menjenguknya pada lain masa. Beliau akan perturunkan "Lesen Hidup" pula. Saya ternganga kerana tidak faham. Beliau kata "Kalau kamu berlanggar dengan kereta pun, kereta akan koyak!". Fahamlah saya lebih kurang.

Kami bersembang sehinggalah tiba waktu Solat Jumaat. Selepas Solat Jumaat dan makan tengahari, kawan saya datang jemput dan kami pulang.

Pada fikiran saya beliau memang anih, bilakah beliau tidur? Walau pun tidak tidur semalaman dan sakit pula, beliau tidak nampak letih dan mengantuk. Menguap pun tidak. Ajaib sungguh.

8 comments:

Mak Su said...

org sebegitu, mmg elok didampingi :)

b.r.u.t.a.l.s.o.l.o said...

aslamualikum ayahnda
ni baru yang dinamakan berfikir dan hidup diluar kotak

Anonymous said...

salam Pak Din,

tak berminat ke dengan "lesen hidup" tu....? mungkin bukan kebal aja, terbang pun boleh kalau amal zikir... betul ke Pak Din?

mountdweller said...

Mak Su

Memang banyak yang dapat dipelajari dan jadikan panduan.

mountdweller said...

W'salam anakanda b.r.u.t.a.l.s.o.l.o

Betul. Bila jasad terkurung, minda juga terkurung, idea kita terpenjara. Itulah sebabnya susah untuk menerima perubahan.

mountdweller said...

W'salam Anonymous.

Tidak ada rezeki bagi Pak Din. Belum sempat berkujung kali kedua, beliau sudah meninggal.

Zikir dengan niat lillahi ta'ala dengan bersungguh-sungguh apa pun boleh jadi dengan izin Allah.

Dekatkan diri dengan Allah nescaya Allah akan dekat dengan kita.

Anonymous said...

Salam Pak Din,
Ada lagi ke guru-guru macam tu di Malaysia sekarang ni ?

mountdweller said...

W'salam Anonymous

Ada tetapi susah nak jumpa. Tak silap Pak Din di Besut dan Kemaman masih ada murid-murid susur galur dari Tok Ku Paloh dan TG Abdurrahman Limbong.