Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Monday, January 11, 2010

Tenang Itu Dari Allah

Ketenangan yang Allah anugerahkan telah mengelakkan saya dari malang di Jalan Raya Timur Barat pada satu petang beberapa ketika dahulu. Ketika itu hujan baru nak berhenti setelah lebat sebelumnya. Saya, Isteri dan Adik (anak kedua) dalam perjalanan ke Ipoh rumah Mertua dari Kota Bharu.

Dari Kota Bharu cuaca agak baik walau pun di setengah-tengah tempat menghala ke Jeli mendung. Bila melepasi Jeli, hujan mula turun. Walau pun saya agak laju tetapi di dalam keadaan waspada kerana hujan dan jalan memang basah. Adik terlena di tempat duduk belakang, isteri di sebelah pula dalam keadaan yang agak gelisah kerana perasaannya tegang kerana keadaan jalan yang licin dan cuaca yang berkabus. Saya memandu di dalam keadaan biasa cuma dengan tumpuan yang lebih.

Bila melepasi Tasik Banding lebih kurang 10km dari Stesen JPJ Bersia, ketika menuruni sebuah bukit yang agak tinggi tetapi reka bentuk jalannya agak landai dan lurus tiba-tiba kereta saya menggelunsur ke kiri, seolah-olah hanyut air ke arah bukit. Saya cuba membetulkan kedudukan kereta tetapi steering tidak berfungsi. Saya tukar ke gear tiga lepaskan pedal minyak dan tidak menekan brek, biarkan kereta dalam keadaan begitu dengan niat saya akan bertindak bila tayar kereta mencecah kaki lima jalan yang barbatu nanti.

Sambil itu saya berseloroh dengan isteri yang duduk di sebelah "Tengok kita main gelunsur dengan kereta" sambil tersengih. Isteri yang terkejut marah kerana dikatakan saya main-main. Saya jawab "Tengok, steering memang tak ada fungsi" sambil saya pusing-pusing steering yang memangnya tidak ada kesan pusingan kedudukan tayar.

Bila saja tayar di sebelah kiri mencecah batu kaki lima jalan, saya cuba menggunakan steering untuk mengawal arah dan saya berjaya. Saya hanya menyusuri kaki lima jalan itu seketika dan bila tiba di tempat yang agak rendah paras jalan dan kali lima lebih kurang sama, saya memusingkan steering ke kanan dengan perlahan-lahan dan cermat tanpa menyentuh pedal minyak.

Tiba-tiba saja kereta berpusing ke kanan dan hampir menghentam railing jalan di sebelah kanan pula. Saya cuba kawal, tapi nampaknya kereta semakin gila. Oleh kerana di belakang dan di hadapan tidak ada kereta lain, saya fikir satu saja cara mengurangkan risiko ialah membiarkan kereta berpusing dengan memusingkan steering ke kanan sehingga rapat. Jadi kereta akan berpusing-pusing di tempat yang sama. Rupanya apa yang saya fikir itu menjadi. Setelah kereta berpusing 3 atau 4 pusingan, kereta berhenti dengan sendiri dengan hadapannya menghala semula ke arah Tasik Banding.

Saya lihat di hadapan sudah ada kereta yang berhenti, melihat sambil berwaspada agaknya. Saya toleh ke belakang begitu juga, ada kereta yang berhenti. Tanpa turun dan lihat keadaan, saya terus reversekan kereta dan teruskan perjalanan ke arah Gerik. Bila berselisih dengan kereta yang berhenti di belakang saya tadi, mereka melihat dengan gaya yang kehairanan. Saya tunjuk isyarat ok. Setelah perjalanan berlalu lebih kurang 1km, perasaan ingin tahu apakah yang menyebabkan kejadian tadi barulah datang.

Saya berpatah balik ke tempat kejadian dan bila tiba di situ saya dapati sebahagian railing besi sudah tidak ada dan digantikan dengan tape belang merah. Di situ juga terdapat banyak tayar pecah, bumper tertanggal dan rosak, begitu juga lampu kereta yang pecah ditinggalkan di situ. Keadaan itu menunjukkan tempat itu memang selalu berlaku kemalangan dan merbahaya. Alhamdulillah, kami telah dihindarkan Allah dari kemalangan dan dari aral kerana perasaan tenang yang Allah campakkan ke jiwa saya.

Di dalam perjalanan selepas itu adik beritahu kami, sebelum kejadian dia tertidur di belakang. Dia sedar hanya bila dirasakan kereta berpusing. Apa yang lucunya dia kata apa yang dia ingat ialah "Kesian Along dia akan hidup sorang diri!"

4 comments:

  1. Ya Allah..
    Syukur uncle sekeluarga semuanya tak ada apa-apa.

    Nasib baik uncle berpengalaman orangnya. Kalau tak de mungkin agak sukar juga bagi yang pertama kali drive..

    ReplyDelete
  2. alhamdulilah selamat

    anak dengan ayah sama tak tau takut

    ReplyDelete
  3. Rashid

    Uncle memang bersyukur kerana dihindari Allah dan bersyukur kerana perasaan yang tenang Allah campakkan di jiwa uncle ketika berhadapan dengan situasi itu.

    ReplyDelete
  4. b.r.u.t.a.l.s.o.l.o

    Rasanya sekiranya Allah hilangkan ketenangan ketika menghadapi situasi itu, mungkin kami sekeluarga ditimpa musibah.

    Berani dan tenang itu sememangnya dari Allah. Allah yang takdirkan segala. Yang saya sedar adik memang jenis yang bertawakkal sejak kecil begitu juga kakaknya Along.

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa