Pengumuman

Mulai esok (11 Julai 17) blog ini tidak akan diupdate Oleh kerana blog ini dan blog yang satu lagi mengandungi bahan yang sama, saya rasa adalah wajar untuk menghidupkan satu blog sahaja iaitu mountdweller88 untuk dilayari dengan mudah tanpa gangguan insya Allah Saudara/saudari persilakan ke - mountdweller88.blogspot.com

Tuesday, March 7, 2017

Panjangnya kisah hidup budak ni

Corak hidup Hazama
Oleh HARYATI KARIM
Foto NOORADZRENE MOHD. NOOR

PROFESIONAL - Walaupun berstatus suami isteri, Hazama (kiri) dan Genervie (duduk, tengah) bekerja secara profesional.

Sama seperti judul lagu hitnya, Di Amaran Mama, begitu barangkali perumpamaan yang sesuai diberi kepada Hazama.

Bertemu kekasihnya yang terlebih dahulu menjadi sahabatnya sejak lima tahun lalu, kini wanita itu telah menakluk hati dan kehidupannya. Wanita itu, Genervie Kam sah menjadi isterinya sejak lebih sebulan lalu, sekali gus telah membawa fasa baharu dalam kehidupan lelaki dengan nama sebenar, Hazama Ahmad Azmi.

Pernikahan mereka bukan sekadar menyatukan dua hati tetapi dua keluarga dengan agama dan budaya yang berbeza. Genervie memeluk Islam sembilan bulan sebelum menyerahkan kehidupannya sebagai isteri kepada Hazama.

Tentulah keputusan seumpama itu telah lama menjadi dambaan penyanyi berusia 33 tahun itu. Ia umpama lesen besar buatnya, sekali gus membuahkan kebebasan yang bukan kepalang untuk sehidup semati dengan Genervie.

“Sebelum berkahwin, kami rasa takut untuk keluar bersama sebab banyak mata memerhati. Ada satu kejadian, saya dihentam peminat tiga hari berturut-turut, gara-gara sekeping gambar memeluk Genervie. Selepas berkahwin, saya rasa satu kebebasan kerana dia kini telah menjadi isteri yang sah.

“Selain itu, kami berdua rasa selamat selepas berkahwin kerana hubungan itu akan kekal. Berbanding bercinta, hubungan boleh putus di tengah jalan pada bila-bila masa sahaja. Saya mengaku seorang yang agak kuat cemburu, jadi kami banyak bertengkar ketika bercinta. Alhamdulillah sekarang, saya lebih matang dan memahami,” ujar Hazama sambil tersenyum.

Berbicara tentang perbezaan agama, tegas Hazama, ia bukan suatu masalah yang besar kerana dia tidak pernah memaksa isterinya untuk memeluk Islam. Justeru, apabila Genervie terbuka hati untuk menjadi seorang Muslimah pada April tahun lalu, Hazama melihat ia suatu petanda yang kuat untuk menyunting wanita itu menjadi suri hatinya.

Kini selepas bergelar suami, menjadi tanggungjawab Hazama mendidik isterinya mengikut landasan agama Islam. Sungguhpun begitu, kata penyanyi itu, proses untuk mendalami agama perlu berjalan secara perlahan-lahan.

“Sebenarnya semasa bercinta saya tidak banyak bercerita tentang agama. Selepas berkahwin, saya lebih suka menumpukan kepada perbuatan terlebih dahulu sebelum pergi kepada pengertian. Jika dipaksa hadam tentang agama Islam dalam tempoh yang singkat ia akan lebih sukar untuknya.

“Walaupun kami berbeza budaya dan agama pada asalnya tetapi keluarga kedua-dua pihak boleh menerima hubungan ini. Belum tentu jika saya bercinta dengan gadis Melayu, keluarganya akan menerima saya seadanya. Melihat penerimaan yang baik daripada keluarga Genervie, tiada sebab mengapa saya tidak berkahwin dengannya,” luah Hazama.

Dalam pada itu, Hazama tidak henti-henti meluahkan rasa syukur apabila dipertemukan jodoh dengan wanita yang lebih berusia dan bekerja dalam bidang yang sama. Selain menjadi isteri, Genervie, 37, yang tua empat tahun daripada Hazama juga seorang pengarah muzik, pemain biola profesional serta pengurus peribadinya.

Disebabkan isterinya lebih berusia dan berkecimpung dalam bidang muzik lebih awal dari Hazama, secara automatik, wanita itu lebih matang dari segala segi, baik perhubungan, kehidupan atau kerjaya.

“Sememangnya isteri lebih matang dan jujurnya, dia banyak mengajar saya untuk menjadi manusia yang lebih baik daripada sebelum ini. Tidak semua wanita boleh menegur saya sesuka hati, kecuali Genervie. Jika tidak berpuas hati terhadap sesuatu perkara, dia akan berterus terang termasuk soal kerja.

“Kami akan bertengkar untuk mendapatkan penyelesaian. Biasanya, jika isteri tetap bertegas, maknanya dia betul dan saya salah. Jadi, saya akan segera minta maaf sebelum pertengkaran itu menjadi lebih besar.

“Buat masa ini, kami sedang menyesuaikan diri dengan hubungan suami isteri dan pada masa sama seorang penyanyi serta pengurus peribadi secara profesional,” kongsi Hazama.

Simpan soal agama – Genervie

Beralih bicara bersama Genervie, biarpun memiliki kerjaya profesional dalam bidang muzik, tanggungjawabnya sebagai seorang isteri tetap dijalankan.

Ketika sesi fotografi berlangsung, Genervie tidak kekok memasak di dapur untuk suaminya. Ujar wanita itu, selain jemu makan di luar kerana kesibukan kerja, apabila mempunyai waktu terluang, sebolehnya dia mahu memasak dan melakukan tanggungjawab sebagai seorang isteri dengan sebaiknya.

Biarpun perkahwinan mereka masih hijau, Genervie benar-benar memahami tugas dan tanggungjawabnya sebagai isteri. Dia tidak akan sesekali melakukan perkara yang tidak disukai oleh Hazama dan setiap apa yang dilakukan perlu mendapat kebenaran suami.

“Walaupun saya lebih berusia dan berpengalaman dalam bidang seni, ia bukan tiket untuk tidak menghormati Hazama. Hal ini kerana, sebagai seorang isteri, adalah satu tanggungjawab buat saya mentaati dan menghormatinya,” tutur Genervie.

Sambung Genervie, biarpun telah bertukar status dan agama, dia masih orang yang sama. Tiada sedikit pun yang berubah tentang dirinya, kecuali dalam jiwanya yang kini memeluk Islam.

“Saya masih orang yang sama. Soal agama, bagi saya ia terlalu peribadi untuk dibicarakan. Saya memeluk Islam dan belajar mengenainya bukan untuk buktikan kepada mana-mana pihak bahawa diri sudah alim atau menjadi orang yang baik.

“Hal agama, biarlah disimpan antara saya dengan Allah. Ini kerana pada akhirnya Allah sahaja yang dapat melihat hati manusia,” katanya yang enggan membicarakan topik agama dengan lebih mendalam.

Disoal tentang perbezaan usia, sama seperti Hazama, Genervie juga tidak melihat ia sebagai satu masalah yang besar. Beritahunya, lelaki seperti Hazama sememangnya memerlukan wanita lebih matang dan tegas untuk membantunya membuat keputusan dalam kerjaya nyanyian.

Ramai yang tidak tahu Genervie mula terlibat dalam Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-18 pada 2003 dan ketika itu Hazama masih di bangku sekolah. Justeru itu, Genervie mempunyai lebih banyak pengalaman dalam bidang muzik berbanding suaminya.

“Orang selalu beranggapan saya merupakan pakej wajib dalam setiap persembahan besar Hazama seperti di AJL. Hakikat sebenarnya, sebelum bertemu Hazama lagi, saya telah terlibat dalam AJL untuk satu tempoh masa yang lama. Saya bukanlah ingin berkepit dengannya sepanjang masa tetapi tugas sebagai pengarah muzik, pengurus peribadi dan isteri membuatkan kami sentiasa bersama,” luah Genervie.

Meskipun begitu, demi memberi fokus kepada rumah tangga dan kerjaya suaminya, Genervie sanggup berkorban untuk tidak lagi aktif sebagai pemain biola. Baginya, tugas utama seorang isteri adalah menyokong suami tidak kira dalam kehidupan mahupun kerjaya.

“Saya terpaksa lakukan pengorbanan kerana jika masih aktif sebagai pemain biola, sudah pasti masa untuk keluarga agak terhad. Jadi, saya memilih hanya untuk fokus kepada kerja di belakang tabir sahaja.

“Jika semuanya saya ingin lakukan, rumah tangga pasti akan terabai. Saya lebih sayangkan perkahwinan berbanding kerjaya sebagai pemuzik,” kata Genervie yang inginkan cahaya mata dengan segera.

Mentor

Berbicara tentang program Mentor Milenia 2017, ini merupakan tahun kedua Hazama dilantik sebagai mentor di samping rakan-rakannya seperti Akim, Black dan Tomok. Tahun ini Hazama dilihat lebih bertuah apabila salah seorang protagenya, Usop menjadi sensasi sekelip mata. Perhatian yang diberikan penonton terhadap Usop telah memberi satu tekanan kepadanya untuk menjadi seorang mentor yang baik.

Paling membimbangkan Hazama adalah mengecewakan peminat andai dia tersalah percaturan sedangkan harapan yang diberi kepadanya cukup tinggi.

“Alhamdulillah, program Mentor kali ini agak berbeza sebab protege saya mendapat perhatian begitu pantas. Mungkin kerana keunikan dan keikhlasannya telah menarik hati orang untuk melihat perkembangannya dalam program Mentor Milenia 2017.

“Saya melihat Usop sama seperti saya. Perjalanan seninya tidak mudah, ditolak beberapa kali dan akhirnya apabila peluang itu tiba, dia menyerlah dengan sendirinya.

“Sebenarnya menerima Usop satu perjudian, namun saya bersyukur kerana membuat pilihan yang tepat. Saya berbangga kerana saya mempunyai telinga, hati dan akal yang baik,” terangnya yang mengakui kagum dengan suara dan bakat Usop.

Tambah Hazama, program Mentor Milenia benar-benar mengubah cara fikirannya daripada seorang penyanyi biasa kepada penerbit. Secara tidak langsung, penglibatannya dalam program tersebut telah meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap kualitinya sebagai orang seni.

“Saya nampak perubahan positif dalam diri sejak program Mentor Milenia. Saya sudah tidak boleh selesa, sebaliknya harus mencipta sesuatu yang baharu bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi industri seni tempatan secara keseluruhannya,” kata Hazama yang bakal mengeluarkan album kedua pada tahun ini.

Selain Usop, Hazama juga mempunyai seorang lagi protage bernama Balqis. Mereka akan berentap bersama protage Akim, Black dan Tomok pada setiap Ahad pukul 9 malam.

* Aku bukanlah peminatnya, tapi bila aku tahu isterinya bukan asalnya Islam menjadikan aku nak tahu kisah dia. Rupanya Hazama adalah saudara dekat (pupu) saja dengan isteriku namun aku tak kenal dia kerana keluarganya berjauhan dengan isteriku

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa