Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Tuesday, March 12, 2013

Catatan MT: Peranan Marcos rampas Sabah

Marhaintua: Peranan mendiang Ferdinand Marcos Merampas Sabah daripada Malaysia
Dengan tewasnya Diosdado Macapagal dalam pertandingan kerusi Presiden Filipina, lantas melonjak naik nama Ferdinand Marcos sebagai pemimpin Filipina yang baru.
Kerajaan Malaysia yang amat tertekan dengan sikap Presiden Macapagal yang mencetuskan isu tuntutan Sabah oleh Sultan Sulu, merasa lega dengan pelantikan Marcos, kerana memikirkan beliau akan bangun memajukan negaranya sendiri seperti yang dilaungkan olehnya sebelum itu.
Akan tetapi, harapan pemimpin Malaysia itu ternyata meleset, kerana Marcos secara senyap-senyap telah melancarkan Operasi ?Oplan) Merdeka. Operasi itu diperteguhkannya dengan penubuhan Komando Jabidah.

Sebagai seorang peguam yang pintar berpolitik, Marcos sedar bahawa dia perlu melatih orang kepercayaan beliau dahulu dan menyusupkan mereka masuk untuk hidup sebagai rakyat biasa di Sabah. Dia mahu hantar pegawai perhutanan, juru ukur, jurutera, anggota perkhidmatan awam yang boleh menjadi anggota perkhidmatan awam di Sabah dan juga warga Filipina yang dapat menyertai pasukan polis dan tentera di Sabah.

Yang sama pentingnya ketika itu dia mahu menghantar paderi Katholik muda ke Sabah supaya ajaran Katholik dapat dikembangkan.

Marcos telah melantik Major Eduardo Mantelion, yang berasal daripada wilayah Ilocos Norte untuk menjadi Pegawai Pemerintah Oplan Merdeka. Major Eduardo telah memilih beberapa orang pelatih komando dan mereka adalah suku sakat Ilocos juga kerana mereka mahu merahsiakan operasi klandestin tersebut.

Kebanyakan jurulatih pilihan itu pernah menerima latihan di Fort Braggs dan Fort Banning, di Amerika dan ada yang menerima latihan dalam jurusan pengintipan dan subversif daripada jurulatih Israel pula.

Para pelatih komando pula diambilnya daripada pemuda Basilan yang beragama Kristian. Selalunya orang Basilan memang pandai berbahasa Suluk dan Tuasug. Jadi amat mudah mereka menyusup masuk dan bergaul dengan kaum Suluk di Sabah.

Pusat latihan Misi Khas “Komando Jabidah” ini diwujudkan di sebuah kubu perang semasa zaman Perang Jepun dahulu yang dikenali sehingga kini sebagai “Corrigedur”. Inilah kubu kuat pertahanan Filipina yang berjaya menumpaskan serangan tentera Jepun.

Sebagai askar komando bawahan mereka telah memilih anak-anak muda daripada kepulauan Mindanao yang mampu bercakap bahasa Tuasug, Suluk, Baja dan loghat tempatan yang lain. Yang penting, kebanyakan mereka ini semuanya beragama Kristian.

Operasi Merdeka adalah bertujuan menghantar sebanyak perisik dan pakar operasi ketenteraan yang boleh dipercayai dapat menyediakan infrastruktur yang mantap untuk membolehkan huru-hara dalam Sabah dan memudahkan tentera Filipina menyeludup dan menyerang Sabah, bila tiba masanya nanti.

Kumpulan Komando Jabidah mengambil nama seorang wanita yang jelita bernama Jabidah. Kalau di Malaysia nama itu tentunya “Zabidah”. Pandai sungguh ketua tentera Operasi Merdeka itu, kerana tidak memilih nama pasukannya sebagai Komando Rosmah.

Begitu pintar Marcos dengan Operasi Merdeka itu. Beliau merancang agar Sabah dianggotai oleh pegawai perisik dan komandonya untuk mendapat tempat dalam setiap aspek infrastruktur pengurusan Sabah.

Cuma beliau tidak menjangkakan ketika itu, operasinya merampas kembali Sabah itu akan dipermudahkan (beberapa dekad kemudiannya) oleh seorang rakyat Malaysia bernama Dr. Mahathir Muhammad yang mengambil langkah untuk memberi lebih 500,000 kad pengenalan warna biru kepada orang-orang Sulu dan rakyat Mindanao.


Kalau pada satu ketika dahulu, Marcos kena memilih anggota perisikannya untuk menyusup masuk ke Sabah dan tinggal lama untuk mendapatkan status warga Negara Malaysia, tindakan Dr. Mahathir telah memudahkan rencana Kesultanan Sulu untuk mendapatkan kembali Sabah secara kekerasan.

Kenapakah Marcos mengambil langkah kalandestin untuk mendapatkan kembali Sabah ? Sebagai seorang peguam yang pintar kenapakah beliau tidak merujuk kes itu kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa yang berpusat di Den Hague?
Kita harus menyingkap lipatan sejarah untuk memahami pemikiran Marcos. Ini dapat dilihat daripada beberapa peristiwa kenapa Marcos mengambil langkah klandestin ini.
  1. Selepas Sultan Sulu menerima hadiah Sabah dan kepulauannya daripada Sultan Brunei dia cuba mengusahakan Sabah sebagai wilayah pemerintahannya. Pada 1878, Sultan Jamalul Ahlam Kiram I telah didatangi oleh dua orang warga British meminta agar Sabah dapat disewakan kepada mereka. Warga British itu bernama Gustavos Baron de Olbeck dan rakan niaganya bernama Alfred Dent. Mereka telah memajak Sabah untuk kegunaan syarikat mereka bernama ‘The British Borneo Company”
  2. Dalam perjanjian itu ada disebut betapa pajakan tersebut tidak boleh memindah-milik Sabah kepada pihak individu ataupun entiti lain, tanpa Kerajaan Sultan Sulu.
  3. Antara 1946-1947, tanah pajakan itu telah ditukar milik tanpa keizinan Sultan Sulu oleh dua orang peniaga British tadi kepada Kerajaan British.
  4. Pada 12 September 1962, Sultan Esmail E. Kiram I telah bertindak mnyerahkan kuasa hak ke atas Sabah kepada kerajaan Republic of the Philippines. Penyerahan kuasa itu member hak sepenuhnya kepada kerajaan Filipina untuk mengusahakan tuntutan hak kedaulatan ke atas Sabah.
  5. Pada 1963, Kerajaan British telah menyerahkan Sabah kepada kerajaan pimpinan Tunku Abdul Rahman untuk penubuhan Persekutuan Malaysia, di mana kerajaan Malaya bergabung dengan Singapura, Sarawak dan Sabah untuk menubuhkan satu entity baru bernama Malaysia. Sedangkan Sabah yang diterima oleh Kerajaan British itu dahulu adalah satu perbuatan yang haram mengikut perjanjian The British North Borneo dengan Kesultanan Sulu.
  6. Apabila Sabah dimasukkan dalam penubuhan Malaysia, barulah Presiden Diosdado Macapagal bertindak menuntut Sabah diserahkan kepada kerajaan Filipina, bagi pihak Kesultanan Sulu.
Setelah menyedari faktor di atas, Presiden Marcos bertindak bijak mahu merampas Sabah secara keras dan menggunakan bersenjata. Ini dimulakannya dengan Operasi Merdeka di Corrigidur.

Akan tetapi penubuhan Komando Jabidah itu telah dapat dihidu dan dibogelkan oleh Senator Aquino (bekas sahabat baik Marcos) di Dewan Senat Filipina. Ini telah mengejutkan seluruh dunia dan mereka telah mengutuk Presiden Marcos.

Marcos cepat bertindak, setelah menghantar beberapa puluh perisik dan talibarut Filipino ke Sabah dia mahu menutup pusat latihan Operasi Merdeka itu. Ini dilaksanakannya dengan membunuh secara kejam pelatih komando itu dan peristiwa itu dikenali dengan nama “Jabidah Massacre”.

Kebanyakan pelatih komando itu telah ditembak mati oleh anggota komando khas yang terjun daripada pesawat helikopterr ke atas balapan kawad mereka. Mayat mereka telah dikumpulkan dalam beg ‘poncho’ dan diikat dengan lilitan batu, sebelum dihumban ke dasar laut Teluk Manila.

Kini, seluruh Malaysia menjadi keliru dengan kisah warga Istana Sulu masuk menceroboh ke Lahad Datu. Mereka sudah berada di Felda Sahabat 6 dan 7 sehingga kini (12 Mac 2013). Selama itu penceroboh askar istana Sulu itu telah membunuh beberapa anggota pasukan keselamatan Malaysia di Felda Sahabat dan juga di Kampung Air di Sempurna.

Bagaimana mungkin warga asing dapat menyusup masuk lengkap dengan senjata modern? Ke mana perginya perisikan polis dan tentera Malaysia? Mana perginya asset pertahanan r yang canggih-manggih itu? Tidak mungkin mereka boleh masuk dengan segala kelengkapan ketenteraan tanpa diperhatikan oleh talibarut kerajaan terutama sekali kumpulan NGO yang selalu berbaris dan melalak di khalayak ramai setiap kali ada parti pembangkang melakukan kerja amal rakyat.

Saya ingin membawa ingatan para pembaca kepada Perang Vietnam pada tahun 1960-an dahulu. Pada ketika itu rakyat Vietnam sedang berperang dengan tentera Amerika yang menggelar mereka dengan panggilan Vietcong (Komunis Viet).
Segala kelengkapan perang telah digunakan oleh Amerika di darat, laut dan udara. Kapal armada Amerika yang berpangkalan di Subic Bay telah dihantar mengawal perairan Vietnam menyekat segala kemungkinan Vietcong dapat bantuan dari laut.

Tentera udara Amerika telah menyembur perladangan milik Socfin di Vietnam dengan kimia “Agent Orange” untuk memaksa pokok-pokok menggugurkan daunnya supaya memudahkan mereka menjejak pergerakan Vietcong itu

(Socfin merupakan syarikat Peranchis yang mula-mula menanam sawit di Tanah Merah Estate, Port Dickson. Socfin juga merupakan pengajar penubuhan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (LKTP atau Felda). Kini, banyak ladang Socfin telah dijual. Damansara Estate kini menjadi pusat Bandar Damansara. Sungei Ular Estate kini menjadi Kulim Hi-tech).

Di bumi Vietnam terutamanya Saigon telah didirikan sekatan jalan di mana hanya para pekerja diberi laluan untuk berulang-alik daripada rumah mereka ke sawah padi ataupun ke ladang.

Tentera Amerika begitu yakin dengan segala sekatan itu kerana mereka fikir kalau Vietcong mahu mengalahkan Amerika mereka perlu menumpaskan kubu kuat tentera Amerika yang berpangkalan di Saigon. Mereka menjadi yakin apabila melihat tidak banyak pergerakan orang Vietnam di Saigon kecuali kalau ada perarakan mengusung mayat ke jirat (perkuburan) mereka.

Akan tetapi, Saigon akhirnya tumpas juga. Sehinggakan keseluruhan tentera Amerika dan warga awam yang pro Amerika terpaksa dipindahkan dengan helicopter ke Angeles City di Subic Bay dan kemudiannya ke atas kapal tentera Amerika menuju ke Guam. Beberapa hari kemudiannya mereka diberikan suaka politik di Hawaii.

Marcos menetap di Hawaii bersama ahli keluarga dan juak-juaknya. Beliau meninggal dunia pada 28 September 1989. Sehingga kini mayatnya masih tersimpan dalam keadaan diawet dalam keranda khas di kampungnya di Ilocos Norte.

Bagaimanakah orang Vietnam mampu mengalahkan Amerika di Saigon?

Walaupun berlaku sekatan jalan yang menyukarkan pergerakan mereka, pasukan Vietcong khas telah ditubuhkan untuk mengorek lubang ataupun terowong bawah tanah yang membolehkan tentera Vietcong bergerak daripada satu kawasan Bandar Saigon ke satu kawasan lain. Lebih pantas daripada kereta kebal Amerika.

Dalam keadaan Negara berperang, sudah tentu ramai orang mati, terutama sekali orang Vietnam. Mereka gunakan upacara membawa mayat ke kubur dengan mengusung senjata canggih seperti bazooka dan senjata canggih Amerika untuk di tanam dalam ‘kubur palsu’ di merata Saigon.. Dengan lain perkataan puak Vietcong telah menyimpan stok senjata canggih manggih milik Amerika di tanah perkuburan mereka untuk digunakan pada masa yang sesuai menyerang askar Amerika dari dalam Saigon.

Walaupun sekatan jalan dibuat untuk menyekat orang awam masuk ke pusat bandar Saigon, mereka menggunakan terowong untuk menggerakkan tentera mereka menyerang askar Amerika dan melumpuhkan kubu kuat pertahanan Amerika.

Di bahagian laluan tentera darat Amerika, pihak Vietcong telah memasang jerangkap samar yang diperbuat daripada buluh dengan menggunakan baja Ammonia, karbaid dan sebagainya. Inilah yang menakutkan tentera Amerika semasa membuat rondaan di kawasan perkampungan Saigon.

Seterusnya apabila dilancarkan operasi mengganyang penjajah, tentera pembebasan rakyat Vietnam telah bertindak dengan serentak untuk menghalau tentera Amerika untuk selama-lamanya.

Tentu kita berasa gementar dengan kisah ini apabila kita memikirkan apa yang sudah jadi di Sabah setelah TKT Mahathir memberikan kad biru dan kewarganegaraan kepada lebih 500,000 dewasa Sulu semata-mata mahukan mereka mengundi untuk BN dan UMNO dalam Pilihan Raya Umum Negara.

Kalau dibayangkan 500,000 pengundi hantu ini diberikan kad pengenalan biru, bagaimana pula dengan anak-anak mereka sekarang ini. ? Kalau setiap insan dewasa mampu melahirkan lima orang anak bererti pada waktu ini sudah ada lebih satu juta orang Sulu yang layak dianggap sebagai warga negara dan rakyat Sabah yang sah. Ini adalah disebabkan mereka mengahwini warga Sulu ataupun Moro di seberang dan membawa mereka menetap di Sabah.

Projek itu dibuat secara kecil-kecilan di zaman Tun Mustapha, dan kemudiannya ketika Haris Salleh, untuk menjatuhkan era Tun Mustapha. Ini membolehkan Parti Berjaya Sabah menumbangkan USNO.

Dengan lain perkataan tindakan TKT Mahathir yang dibantu oleh Aziz Shamsuddin dan Almarhum Megat Junid sudah mempermudahkan Kesultanan Sulu merampas Sabah dengan mudah.

Oleh kerana orang Sulu ada juga yang beragama Katholik (bernaung di bawah Moro Christian Alliance) bererti rencana TKT Mahathir telah secara tidak langsung mengembangkan fahaman Katholik dengan lebih mudah di Sabah.

Berbalik kepada kisah Operasi Merdeka Marcos, rencana itu gagal dan ramai perisik Manila telah ditangkap di Sabah dan di bunuh.

Kegagalan Marcos itu berpunca daripada usaha ayah Presiden Filipina sekarang Senator Aquino Jr. Beliau telah membuat kajian mendalam mengenai projek Operasi Merdeka itu dan menyelidik bagaimana projek itu tidak mendapat kelulusan parlimen negaranya. Apabila pendedahan dibuat, Marcos bertindak membunuh semua pelatih komando di Corrigidor itu dan menghumban mayat mereka ke dasar laut.

Hanya segelintir komando yang terlepas dan mendedahkan kisah itu kepada media masa.

Namun, selepas matinya Marcos, beberapa orang lain sudah naik menduduki istana Malacanang. Cory Aquino, Fidel Ramos, Erap Estrada, Gloria Macapagal Arroyo dan kini Aquino III, tidak pun mengambil langkah berani untuk menuntut Sabah daripada kerajaan Malaysia.

Perisikan Filipina sudah semakin yakin betapa Sabah akhirnya akan mereka nikmati juga. Lebih-lebih lagi apabila mereka melihat tindakan TKT Mahathir memberikan kerakyatan kepada orang-orang Sulu dengan amat mudah sekali. Ketika itu mereka YANG BERADA DI KEPULAUAN Mindanao disediakan kemudahan datang ke bumi Sabah untuk menerima Kad Pengenalan Biru. Apabila selesai projek itu beberapa pegawai kerajaan yang terlibat telah ditangkap di sumbat ke dalam penjara di bawah Akta ISA.

Malangnya sehingga hari ini tidak ada NGO yang diupah UMNO yang berani keluar membantah dan memprotes terhadap tindakan yang tidak bertanggungjawab oleh TKT Mahathir.

Sebaliknya Mahathir diberi tempat terhormat untuk mengutuk orang-orang Tuasug dan Suluk sambil mencaci mereka sebagai satu kaum yang ganas dan tidak berperi kemanusiaan.

TKT Mahathir sebenarnya meludah ke langit dan menadah dengan mukanya sedangkan beliaulah musibat yang terunggul yang memberi laluan mudah untuk Kesultanan Sulu merajai Sabah.

Dengan kata lain, Komando Jabidah yang dilahirkan oleh Operasi Merdeka pimpinan Marcos dahulu sudah lama lupus, tetapi semangat mereka yang ditanam oleh Marcos untuk merampas kembali Sabah kini diwarisi oleh orang-orang Suluk hasil kerja busuk Mahathir dan UMNO juga.
marhaintua - 12.03.2013

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa