SHAH ALAM - Bekas Timbalan Panglima Tentera Darat Leftenan Jeneral (B) Datuk Ghafir Abdul Hamid mendakwa pengganas dari selatan Filipina, yang diberi definisi sebagai penceroboh oleh kerajaan, menyebabkan tindakan ketenteraan tidak dapat dilakukan dengan cepat dan berkesan.

Menurutnya, definisi penceroboh untuk pengganas Sulu adalah tindakan kurang bijak, sekali gus menyekat pasukan keselamatan menjalankan tugas dengan segera.

Beliau berkata, disebabkan definisi itu, kerajaan terpaksa mengadakan rundingan dengan kumpulan pengganas terbabit kerana perlu mematuhi Konvensyen Geneva.

"Siapa yang bagi definisi sebagai penceroboh sempadan, ini memang tak boleh tentera bertindak, itu polis sahaja bertindak.

"Perkara ini kurang bijak, sepatutnya tentera bertugas untuk menjaga keselamatan negara.

"Kenapa pakai definisi yang salah, peguam mana yang diambil, sebab itu perlu guna Konvensyen Geneva, sudah lapan orang mati... Konvensyen Geneva ke, mana semua, ke mana, boleh pula ambil tindakan," katanya pada forum Akedemi Pak Sako yang bertajuk Pencerobohan di Lahad Datu di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut, Ghafir berkata, sejak awal lagi tentera perlu dipanggil untuk menyelesaikan isu ini tanpa mengira siapa pengganas, yang mempunyai niat untuk menggugat kedaulatan negara.

"Sepatutnya tentera dan pasukan keselamatan perlu bertindak untuk menghalang pengganas ini daripada terus bertindak sehingga mengakibatkan kematian," katanya.
Dalam pada itu, Ghafir juga mengakui kelemahan teknik risikan oleh pihak penguat kuasa keselamatan dalam menangani isu ini.

"Perkara ini sejak tahun 2000 lagi berlaku, kurangnya teknik risikan," katanya lagi.

Forum ini telah dikendalikan oleh moderator Dr Afif Baharuddin dan ahli panelnya ialah Ghafir, Ahli Parlimen Tuaran Datuk Seri Wilfred Bumburing, dan Editor Malaysiakini Fathi Aris Omar.