GURUN - Exco Kerajaan Negeri, Datuk Ir Amiruddin Hamzah mengaku tidak tersepit, apabila diberi kata dua oleh Pas Kawasan Kuala Kedah berhubung isu membabitkan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi.


Menurutnya, beliau akan meneliti terlebih dahulu surat yang dikatakan dihantar kepadanya oleh Pas kawasan itu sebelum mengulas lanjut.


Amiruddin yang juga Timbalan Yang Dipertua Pas Kuala Kedah berkata, setakat semalam, beliau belum menerima surat dimaksudkan itu.


“Saya dapat tahu mengenai kata dua oleh Phahrolrazi selaku Yang Dipertua Pas kawasan pun menerusi media,” katanya semalam.


Menurutnya, sebelum ini, beliau sudah bertemu dengan Naib Yang Dipertua Pas Kuala Kedah, Mohd Nasir Mustafa termasuk ahli jawatankuasa untuk jelaskan pendiriannya menerima jawatan Exco.


“Mesyuarat itu memaklumkan Pas kawasan berdiri teguh di belakang Phahrolrazi dan meminta saya bersama mereka. Tetapi saya jelaskan kenapa saya tidak boleh bersama dengan pendirian itu, dan ketika itu, alasan saya nampak­nya diterima,” katanya.


Amiruddin berkata, beliau terkejut apabila Phahrolrazi beri kata dua kepadanya menerusi akhbar sedangkan tidak dimaklum secara rasmi.


“Saya sendiri tidak pasti apakah perkara sebenar ingin disampaikan oleh Pas kawasan, lebih baik tunggu surat dan pastikan dahulu apakah keputusan dicapai dalam mesyuarat itu. Saya juga kena teliti hal-hal lain yang berkaitan,” katanya.


Ditanya sama ada kata dua itu berunsurkan ugutan terhadapnya, Amiruddin berkata, perkara itu tidak timbul.


“Saya diajar disiplin dalam Islam, jika ada sesuatu berita, kita hendaklah periksa sama ada benar atau tidak, jangan buat spekulasi. Bimbang kelak jika saya komen sekarang tanpa rujuk surat, isu itu tidak betul pula,” katanya.


Kelmarin, Pas Kuala Kedah memberi kata dua kepada Amiruddin sama ada meletak jawatan sebagai Exco atau berdepan tindakan kerana didakwa melanggar keputusan mesyuarat Pas kawasan 17 Februari lalu.


Phahrolrazi berkata, sebaik Amiruddin mengangkat sumpah jawatan Exco, tindakannya itu menyalahi keputusan dan Amiruddin diberi tempoh 14 hari untuk menjawab.