P. Pinang mahu Shahrizat kekal Ketua Wanita
22 Mac 2012
GEORGETOWN - Perkhidmatan cemerlang Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dalam Pergerakan Wanita Umno perlu dikekalkan demi menjamin kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Justeru, Ketua Wanita Umno itu wajar meneruskan kepimpinan dalam pergerakan itu dan BN kerana terbukti berjaya melakukan perubahan yang amat memberangsangkan sejak mengambil alih kepimpinan pada 2009.
Ketua Wanita Umno Pulau Pinang, Zabariah Wahab berkata, Shahrizat mempunyai karisme sebagai seorang pemimpin wanita yang amat disegani oleh kawan dan lawan selama ini, terutama ketika turun padang mengadakan program atau kempen pilihan raya.
Menurutnya, kepimpinan Shahrizat berjaya memberi suntikan baru kepada sayap Umno itu yang kini lebih proaktif dan bermaya dengan pelbagai program yang berjaya mendekatkan rakyat dengan kerajaan dan pemimpin parti.
"Saya sudah melihat semangat dan kepimpinannya yang berjuang untuk menyelami hati dan naluri rakyat dengan mengenepikan kepentingan peribadi.
"Oleh itu, semua pemimpin Wanita Umno perlu terus memberi sokongan padu kepada Shahrizat menerajui pergerakan itu dan tidak mengambil kesempatan untuk memporak-poranda perpaduan yang wujud selama ini semata-mata demi menjayakan agenda peribadi pemimpin tertentu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau yang juga Adun Bertam mengulas laporan sebuah akhbar yang memetik Naib Ketua wanita Umno, Datuk Kamilia Ibrahim sebagai berkata, Shahrizat wajar meletak jawatan sebagai Ketua Wanita Umno untuk mengekalkan kewibawaan parti, sayap itu, BN dan kerajaan.
Kamilia berkata, langkah Shahrizat meletak jawatan sebagai menteri setelah tempoh senatornya tamat pada 8 April ini adalah tidak memadai untuk Wanita Umno dan Wanita BN terutama ketika PRU akan datang kerana masyarakat menganggap ia menyalahi dari segi politik dan moral berkiatn isu National Feedlot Corp (NFCorp) yang diterajui suaminya.
Menurutnya, ketika PRU13 semakin hampir, ahli pergerakan itu sewajarnya bersatu padu untuk menguatkan parti dan jentera pilihan raya dan tidak mencetuskan isu yang boleh memecahbelahkan perpaduan ahli.
"Janganlah kita terikut-ikut dengan rentak parti pembangkang yang sentiasa mencari kesalahan pemimpin BN tetapi hanya memejamkan mata atau mendiamkan diri apabila ia melibatkan pemimpin mereka," katanya sambil menyatakan sokongan padunya kepada kepimpinan Shahrizat.
Menurutnya, pemimpin dalam pergerakan itu yang tidak sealiran dengan suara majoriti wajar mengundurkan diri agar tidak menjadi parasit yang boleh melemahkan agenda dan perjuangan wanita Umno yang menjadi tonggak dalam parti keramat orang Melayu itu
Salam,
ReplyDeleteYang bersih dan amanah tak dok lagi kah?