Datuk Ahmad Maslan
SHAH ALAM – Pemimpin Umno menyifatkan kenya­taan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Pakatan Rakyat (PR) akan menyebelahi golongan berpendapatan rendah hanya retorik, populis dan terdesak untuk meraih simpati menjelang Pilihan Raya Umum 13 (PRU13) akan datang.

Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan berkata, kenyataan tersebut tidak benar kerana selama ini Barisan Nasional (BN) telah lama berjuang membantu rakyat.

Menurutnya, usaha membasmi kemiskinan di negara ini dilakukan melalui pelbagai bantuan untuk membantu rakyat melibatkan pelbagai kementerian dan agensi kerajaan.

“Usaha tersebut bermula 1970 lagi me­lalui Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang membasmi kemiskinan dan menyusun semula rak­yat. Kini usaha kerajaan diteruskan dengan melaksanakan pelbagai transformasi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, Anwar hanya bercakap, sedangkan kerajaan terlebih dahulu merancang dan membantu rakyat.

“Kerajaan merancang dengan teliti dan melaksanakan pelbagai transformasi, antaranya tujuh Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) iaitu pendidikan, membasmi rasuah, pengangkutan awam, jenayah dan dua program untuk meningkatkan golongan berpendapatan rendah meningkatkan taraf hidup mereka

“Anwar hanya retorik untuk populis walaupun sebenarnya bertentangan de­ngan apa diucapkan,” katanya.

Beliau berharap, rakyat tidak menerima segala tuduhan dilemparkan pembangkang tanpa berfikir panjang.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Idris Harun berkata, Anwar menjadikan dirinya seperti pejuang yang cuba membela golongan berpendapatan rendah.

“Beliau hanya retorik meraih sokongan menjelang PRU13. Tindakan itu sebagai strategi pembangkang yang meletakkan emosi dengan bermain fakta dan angka.

“Saya yakin rakyat tidak akan terpedaya kerana mereka berpengetahuan dan mempunyai jati diri. Mereka tidak tunduk kepada janji manis pembangkang” katanya.

Idris berkata, rakyat bijak menilai kredibiliti pembangkang setelah melihat sendiri nenegeri ditadbir kerajaan pembangkang.

Sebelum ini, Anwar dalam satu ceramahnya yang dipetik melalui satu portal berita memberitahu, PR akan menyebelahi kumpulan masyarakat kelas bawahan untuk PRU13 akan datang.

Menurutnya, perjuangan pada pilihan raya nanti adalah antara golongan berpendapatan rendah dan golongan kaya, iaitu kroni kerajaan.


*Jadual harga kat bawah ni pula macam mana? Beralasan biarlah logik dan boleh diterima oleh majoriti rakyat malaysia yang berotak!