Seorang pelarian dari Filipina memberi keterangan kepada suruhanjaya siasatan diraja berhubung masalah pendatang asing di Sabah bahawa beliau dan individu lain dijadikan warganegara Malaysia tanpa usaha mereka sendiri
.
Ismail Balaka berkata beliau menerima kad pengenalannya tiga bulan selepas satu kumpulan misteri melawat penempatannya di Kinarut untuk mendapatkan butiran peribadinya.

Katanya, beliau tidak dapat mengingati tarikh kejadian tersebut.

Tambahnya, kumpulan itu datang dengan menaiki satu kenderaan tidak bertanda dan menghimpunkan semua penduduk kampung tersebut pada satu tarikh.

Katanya, kumpulan itu meminta penduduk kampung tersebut mengisi borang, dan turun mengambil cap jari dan gambar mereka.

Katanya lagi, beliau pada masa itu tidak tahu apakah tujuan kegiatan tersebut tetapi diberitahu seorang rakannya bahawa ia adalah untuk kad pengenalan.

Selepas menerima kad pengenalan tersebut, beliau dapat memohon untuk mendapatkan kad penempatan yang dikeluarkan unit penempatan di Jabatan Ketua Menteri.

Ismail mengakui bahawa beliau tidak pernah memiliki pas lawatan pelarian, kad penempatan sementara atau kad penduduk tetap sebelum memperolehi kad pengenalan biru itu.

Beliau tiba di Sabah dengan satu bot nelayan pada 1975 dari Pulau Ubian, Filipina ketika melarikan diri dari konflik di kawasan tersebut.