Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Tuesday, January 22, 2013

Setuju Dengan Bawani. 3 Perkara Pokok Yang Penting...

Tiga perkara pokok yang disuarakan oleh KS Bawani: 
1. Kebebasan bersuara mahasiswa,
2. universiti yang bersih dari segala ancaman luar
3. dan juga pendidikan percuma kepada rakyat

KS Bawani: 'Jangan panaskan lagi isu ini'
WARTAWAN SINAR HARIAN
22 Januari 2013
KOTA BHARU – Perkara utama yang perlu diberi perhatian dalam kontroversi forum yang diadakan di Universiti Utara Malaysia (UUM) baru-baru ini ialah hak kebebasan bersuara mahasiswa negara ini.

Pelajar Jurusan Undang-Undang, UUM, KS Bawani berkata, perkara utama yang mahasiswa perlukan ialah suara untuk menyuarakan pendapat dan pandangan berbanding kontroversi yang sedang hangat diperkatakan.

“Perkara utama yang perlu diberi perhatian adalah tiga perkara iaitu kebebasan bersuara mahasiswa, universiti yang bersih dari segala ancaman luar dan juga pendidikan percuma kepada rakyat, bukannya individu-individu yang terlibat dalam forum tersebut,” katanya ketika menghadiri Bicara Selebriti sempena Hari Hiburan Islam di Kota Bharu, kelmarin.

Bicara selebriti kali ini menampilkan pelakon Piere Andre, Ustaz Zamri mantop, pelakon Oki Setiana Dewi dan juga pelumba basikal negara, Azizul Hasni.

Menurutnya, apa yang sedang hangat diperkatakan sekarang bukanlah perkara pokok yang perlu diselesaikan.

Beliau berkata, Pengerusi Suara Wanita 1Malaysia, Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin dan pelajar-pelajar yang turut terlibat dalam forum tersebut tidak perlu diperkatakan lagi kerana isu utama tidak ada kaitan dengan individu tersebut.

“Utamakan isu, ini kerana golongan mahasiswa adalah peneraju masa depan negara kita, suara kita perlu didengar, tetapi program dalam universiti seperti itu pun suara kami tidak dilayan, bagaimana dengan suara mahasiswa di seluruh Malaysia pula.

“Saya juga berharap agar universiti dijadikan tempat menimba ilmu dan apa yang kita lihat sekarang universiti sudah jadi boneka, sebab itu lah kita perlukan perubahan, kita (universiti) perlu neutral, serta memberi peluang pada mahasiswa untuk menilai sendiri.

“Kalau bawa badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang pro-Barisan Nasional, kita juga kena bawak NGO yang pro-Pakatan, mari kita berdebat, dan biar pelajar yang tentukan siapa yang betul, kita perlu beri ruang kepada pelajar untuk fikir sendiri hal ini, jangan berat sebelah,” katanya.

Beliau turut mengulas tentang isu ketiga yang perlu diselesaikan iaitu berkenaan dengan pendidikan percuma yang dianggap keterlaluan oleh sesetengah pihak.

“Kita perlu bandingkan perkara ini dengan negara-negara luar yang mana turut memberikan pendidikan percuma kepada rakyat, negara tersebut tidak akan muflis walaupun taraf ekonomi lebih rendah dari Malaysia.

“Jangan takut untuk membuat perbandingan, kalau kita tidak bandingkan sesuatu benda dengan benda lain, kita tidak akan tahu sama ada benda itu baik atau tidak,” katanya.

Bawani berkata, isu pertikaman lidah antara beliau dengan Sharifah Zohra Jabeen dan juga dengan  mana-mana individu yang terlibat dalam forum tersebut perlu dihentikan.

“Jangan panaskan lagi isu ini, apa yang penting sekarang ialah ketiga-tiga komponen tersebut diselesaikan dengan segera, jika Madam Sharifah (Sharifah Zohra) minta maaf dengan saya sekalipun, masalah ini tidak dianggap selesai kerana isu pokoknya masih tiada jalan penyelesaian,”katanya.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa