Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek menyalahkan setiausaha agung DAP Lim Guan Eng yang didakwanya sebagai "batu api" dalam isu penggunaan kalimah Allah sehingga menyebabkan pertikaian di antara masyarakat berbilang agama dan bangsa.

Katanya, kenyataan Lim itu menyebabkan presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali mengancam untuk membakar kitab Injil dalam bahasa Melayu yang menggunakan kalimah Allah.

"Saya cuma mahu katakan bahawa Lim Guan Eng hanyalah batu api. Apabila rakyat berbilang kaum berbalah, jadi situasi tegang, dia harap dia boleh menang," kata Chua dalam satu sidang media semalam.

Beliau mendakwa pembangkang mempolitikkan isu kalimah Allah yang menurutnya sudahpun diselesaikan sejak kemerdekaan.