Satu kenyataan yang dikeluarkan Bank Islam lewat petang ini juga menyebut, tindakan berkenaan "tidak ada kaitan dengan tindakan menyuarakan pandangan politik peribadinya". 

"Bank Islam Malaysia Bhd ingin menegaskan bahawa ketua ekonomisnya, Azrul Azwar Ahmad Tajudin digantung daripada tugas kerana kami memiliki asas munasabah untuk percaya bahawa beliau melanggar polisi dalaman bank.

"Bentuk pelanggaran itu akan dikenalpasti apabila selesai siasatan kami," kenyataan itu dipetik.

Kenyataan itu bagi mengulas laporan Malaysiakini semalam berhubung penggantungan tugas Azrul susulan pembentangan pakar ekonomi itu di Singapura pada 10 Januari lalu berhubung senario pilihan raya umum di negara ini.

Ia bagaimanapun tidak menyatakan tempoh siasatan yang akan dijalankan pihak bank ke atas Azrul. 

Azrul yang mengesahkan menerima surat penggantungannya kelmarin, juga tidak menyatakan tempoh pergantungan tugas berkenaan.

Pakar ekonomi itu mendakwa ketuanya menerima tekanan daripada "pemimpin atasan BN" sehingga bertindak demikian ke atasnya.

Tindakan penggantungan Azrul mendapat perhatian naib presiden PAS Datuk Mahfuz Omar yang juga  percaya kerajaan BN memberi tekanan politik ke atas Bank Islam untuk menggantung tugas Azrul. - sumber