Dalam satu lagi kejadian tembak, seorang lelaki berumur 37 tahun mati ditembak di persimpangan lampu isyarat di Jalan Anson di George Town kira-kira pukul 11.50 pagi tadi.
    
Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Gan Kong Meng berkata mangsa Veerappan Kanapathi meninggal dunia di dalam kereta BMW warna hitam yang memiliki plat pendaftaran Kuala Lumpur selepas ditembak oleh dua orang lelaki bermotosikal yang salah seorang daripadanya berasal dari Ayer Itam.
    
Bercakap kepada pemberita hari ini, Gan berkata polis menjumpai 14 kelonsong peluru 9mm di sebelah tempat duduk pemandu.
    
Katanya mangsa dipercayai mati ditembak di bahagian leher dan kepala.    

Gan berkata mangsa yang tinggal di Ayer Itam mempunyai tiga rekod jenayah berkaitan Akta Dadah Berbahaya.
    
Polis sedang mengesan saksi dan tempat yang mempunyai CCTV untuk membantu siasatan.

Kejadian kedua melibatkan enam tembakan di sebuah banglo seorang ahli perniagaan di Pulau Tikus. Tiada siapa yang cedera.

Menurut Bernama, pemilik banglo itu sebelum ini telah membuat laporan polis selepas mendapati nota amaran dengan peluru hidup di hadapan rumahnya.

Gan berkata bahawa ahli perniagaan itu kini di luar negara dan telah menerima mesej teks dari seorang yang tidak dikenali yang menuntut wang. - sumber