Empat kapal China ceroboh Senkaku
Tokyo: Empat kapal pengawal pantai China semalam memasuki wilayah perairan berhampiran pulau Senkaku yang dikawal Tokyo yang turut dituntut Beijing.
Kapal terbabit memasuki perairan seluas 12 batu nautika kira-kira 9.30 pagi waktu tempatan, kata Pengawal Pantai Jepun mengenai pencerobohan terbaru kapal kerajaan China yang berlarutan sejak beberapa bulan.
Ia berlaku seminggu selepas Beijing menggabungkan beberapa agensi di bawah bendera pengawal pantai bulan lalu yang disifatkan menyebabkan lebih ramai kru membawa senjata.
Pertikaian pulau berkenaan disifatkan mampu membawa kepada konflik bersenjata antara gergasi Asia terbabit.
Perbalahan kecil
Pemerhati berkata kehadiran beberapa kapal rasmi, ada di antaranya lengkap bersenjata, meningkatkan lagi kemungkinan konfrontasi sejak berlakunya dan perbalahan kecil sekalipun boleh mencetuskan masalah dengan cepat.
Media China melaporkan bahawa agensi pengawal pantai bersatu membabitkan pemantau marin, pengawal sedia ada di bawah polis - penguatkuasaan undang-undang dan polis anti maritim penyeludupan serta kastam.
Ketegangan berlaku sejak beberapa bulan membabitkan pemilikan pulau Senkaku. Beijing memanggilnya Diaoyu. Dalam satu insiden paling serius setakat ini pada Mac lalu, Jepun berkata sebuah kapal perang China menyasarkan kapal mereka.
Beijing menafikan tuduhan itu sebaliknya mendakwa Tokyo sengaja mengancam China. Pulau yang menjadi pertikaian berada di kawasan yang kaya dengan perikanan dipercayai turut kaya dengan sumber mineral.
Keluar bantahan rasmi
Sementara itu, Korea Selatan mengeluarkan bantahan rasmi terhadap Jepun selepas Tokyo mengadakan kajian pendapat bertanyakan pandangan rakyatnya mengenai pulau yang menjadi pertikaian dua negara.
Kajian umum membabitkan 3,000 penduduk itu dikeluarkan Khamis, menunjukkan bahawa enam daripada 10 penduduk Jepun berpendapat bahawa pulau di bawah kawalan Seoul di Laut Jepun (Laut Timur) adalah wilayah negara mereka.
AFP
No comments:
Post a Comment
Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa