KUALA LUMPUR: Pihak polis ternyata tersalah meletak keutamaan mereka dan sudah tiba masanya langkah pantas diperlukan bagi memperbaiki keadaan.
Inilah dakwaan R Sri Sanjeevan, pengerusi badan tindakan pemantau jenayah Malaysia (MyWatch) yang terselamat dari cubaan bunuh selepas beliau didakwa membongkar salahlaku pihak polis.
“Seperti yang anda lihat, mereka lebih berminat tentang penubuhan jabatan baru bagi menjaga imej, berbanding meletakkan anggota mengawasi jenayah di jalanan.
“Ini membazir wang ringgit. PDRM perlu penstrukturan semula. Mereka boleh bermula dengan menggabungkan Cawangan Khas dan Jabatan Tindakbalas Keganasan yang mempunyai fungsi yang sama dan menugaskan anggota ke cawangan jenayah bagi membasmi kegiatan tersebut,” katanya kepada theantdaily semalam (27 Februari). Sanjeevan ditembak tujuh bulan lalu dan pihak yang terbabit masih berleluasa.
Di dalam insiden tersebut, seorang pembonceng motorsikal menembak ke arahnya di Bahau, Negeri Sembilan. Sanjeevan mendakwa ia ada hubungkait dengan pasukan polis Negeri Sembilan. Beliau koma dan hanya menjalani pembedahan 18 hari selepas insiden akibat jangkitan kuman.
Menurutnya, Laporan Suruhanjaya DiRaja Tun Dzaiddin pada 2005 mencadangkan pegawai penyiasat (IO) mengendali lima kes sebulan tetapi kini, kadarnya lima kali ganda dari jumlah tersebut.
“Ini mengganggu keberkesanan, produktiviti dan kesihatan,” jelas Sanjeevan.
Beliau berkata, polis perlu berusaha lebih giat menangkap penjenayah, tanpa mengira latarbelakang mangsa.
“Ungkapan ‘mangsa seorang bekas pengedar dadah, dan itulah punca dia ditembak’ seakan keanak-anakan. Jika mangsa sememangnya penjenayah, polis perlu menangkap dan mendakwanya. Jangan tunggu sehingga dia ditembak!” jelasnya lagi.
Sanjeevan turut mendakwa polis mengamalkan penyiasatan terpilih. “Saya membuat laporan sebanyak lima kali berhubung ugutan bunuh dan insiden tembakan ke atas saya. Sehingga hari ini, tiada siapa yang ditahan. Apabila Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P Kamalanathan dapat mesej ugutan, mereka berjaya menangkat orang yang disyaki dalam tempoh tiga hari. Bagaimana, atau mengapa begitu?”
Menurutnya, pegawai atasan pihak polis mesti berhenti bersikap sombong dan belajar menerima kritikan. “Apabila kita menunjukkan kelemahan mereka, ia bukan isyarat kita tidak hormat. Mereka perlu menerima maklumbalas dengan positif dan berusaha memperbaiki kelemahan.”
Polis juga perlu proaktif di dalam menangani penyakit sosial, ujarnya.
“Banyak kali, saya melihat aktiviti yang melanggar undang-undang seperti pelacuran dan perjudian di depan mata. Apabila saya memanggil pihak polis, mereka tidak melayannya. Di kampung saya di Negeri Sembilan, saya berjalan kaki ke balai polis dan memberitahu tentang aktiviti ini dan semua anggota yang bertugas berkata ‘OK, kami akan siasat’.
“Namun, keadaan sama sahaja keesokan harinya. Saya lihat murid sekolah dengan pakaian seragam mengunjungi tempat perjudian dan rumah pelacuran. Yayasan Membasmi Jenayah (MCPF) mendapati kadar jenayah meningkat tiga kali ganda pada 2012, berbanding 2011.
Berhubung jenayah melibatkan senjata api (sekurang-kurangnya emoat kes minggu lalu), Sanjeevan berkata, pihak polis wajar membasminya dengan kadar segera. Malaysia menyaksikan sebanyak 30 insiden tembakan tahun lalu, dan ini, mengikut Sanjeevan, mirip keadaan di Mexico dan Colombia.
“Polis wajar menyekat sumber bekalan senjata api. Jelas, ia diseludup melalui sempadan jadi mungkin, polis perlu bekerjasama dengan pihak penguatkuasa bagi membasmi penyeludupan. Kita lihat laporan tentang kegiatan di sempadan dan pelbagai operasi dengan nama yang hebat di dalam usaha membenteras gangsterisme tahun lepas. Apa yang terjadi sekarang?
“Senjata masih dibawa masuk dan penjenayah berbahaya masih berleluasa. Namun, polis juga perlu perhatikan diri sendiri kerana saya tahu ada anggota yang menyewa senjata api (tanpa peluru) kepada penjenayah dengan kadar RM500. Senjata ini digunakan bagi tujuan rompakan bagi menakutkan mangsa,” ujarnya.
Sanjeevan berkata ini menunjukkan terdapatnya keperluan menubuhkan badan bebas bagi memantau polis, seperti Suruhanjaya Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC) yang dicadang Inkuiri Suruhanjaya DiRaja.
“Buat masa ini, Jabatan Disiplin hanya ditubuhkan tanpa apa-apa tujuan, dan mensasarkan pesalahlaku kecil. Pesalahlaku berpangkat besar terlepas begitu saja,” katanya.
Bagi MyWatch, Sanjeevan menjelaskan terdapat rancangan agar badan itu menjadi “pusat maklumat”, di mana orang awam serta anggota polis sendiri boleh tampil menyalurkan informasi tentang salahlaku pihak polis.
“Jika polis gagal melakukan perkara yang sepatutnya, kita akan campur tangan. Kita mahu menghebahkan maklumat yang diperolehi kepada orang ramai dengan harapan polis akan bertindak. Kuasa rakyat lebih hebat berbanding segala yang lain,” tambahnya lagi.
No comments:
Post a Comment
Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa