Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Monday, March 24, 2014

MH370: Kekeliruan Ahli Politik Serta Persaingan Sukarkan Carian Dan Apa Pula Penggubal Undang-Undang AS Kata

Kekeliruan ahli politik dan persaingan sukarkan carian MH370, kata bekas setiausaha Najib
MARCH 24, 2014
LATEST UPDATE: MARCH 24, 2014 09:43 AM
Anggota media menyelaraskan mikrofon sebelum sidang media bermula di Hotel Sama Sama, 22 Mac, 2014. Artikel oleh Oh Ei Sun menggambarkan suasana politik Malaysia seperti punca kekeliruan yang berlaku antara jabatan dan pihak berkuasa Malaysia yang mengendalikan pencarian pesawat MH370 yang hilang. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abdul Halim, 24 Mac, 2014.
Dengan setiap langkah Malaysia diperhati dunia dalam pencarian pesawat Malaysian Airlines MH370 yang hilang, pihak berkuasa sepatutnya dari awal lagi merangka suatu mekanisme tindak balas kecemasan utama yang komprehensif, kata sebuah artikel yang disiarkan dalam China's Global Times.
Artikel tersebut ditulis oleh Oh Ei Sun, seorang zamalah kanan dari S Rajaratnam School of International Studies, Universiti Teknologi Nanyang Singapura, yang berkata kenyataan bercanggah yang diberikan beberapa pegawai tertinggi Malaysia daripada menteri pengangkutan ke tentera negara, hanya mengakibatkan kekeliruan dan kesedihan.
Oh yang juga bekas setiausaha politik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata "Persepsi negatif tentang cara Malaysia mengendali krisis ini mungkin disebabkan dua ciri suasana politik Malaysia yang asing bagi warga China," dalam artikelnya yang bertajuk "Malaysia’s political rivalries bedevil search for lost MH370 flight" atau "Persaingan politik Malaysia membayangi pencarian pesawat MH370 yang hilang."
Pertamanya, kata Oh, sistem perkhidmatan awam Malaysia membezakan antara penjawat awam yang merupakan karier profesional dan anggota pentadbiran, yang merupakan ahli politik.
Penjawat awam tidak boleh menjadi pemimpin politik jabatan mereka, katanya, dan menambah bahawa anggota pentadbiran adalah para menteri, timbalan menteri dan setiausaha politik.
Bagaimanapun, semuanya berkhidmat kepada perdana menteri, yang akhirnya menjawab kepada Parlimen yang dipilih secara demokratik, kata Oh.
"Ahli politik sebegitu jelasnya tidak profesional ataupun mahir dalam jabatan yang mereka ketuai.
"Dan tidak seperti negara China ataupun Amerika Syarikat, Malaysia belum lagi menggunakan sistem 'jurucakap'. Sidang media kini dikendalikan oleh ahli politik dengan sendirinya.
Ketika berhadapan dengan serangan media antarabangsa, ada antara mereka yang akan menyerlah dan yang lain tidak seberapa," Oh berkata dalam artikelnya dalam Global Times.
Faktor kedua, kata Oh, adalah di permukaannya, Malaysia seperti mengamalkan sistem politik tengah di mana perdana menteri atau presiden parti pemerintah akan merangka dasar polisi dan jabatan bawahan mereka akan melaksanakannya.
Walhal sebenarnya, untuk berjaya dalam hiraki politik Malaysia, kata Oh, ahli politik perlu mempunyai beberapa kumpulan penyokong yang berpengaruh.
"Penyokong politik ini pula menarik lebih banyak penyokong, dan corak yang sama berlaku hinggalah ke bawah di tahap pengundi biasa.
"Untuk mengekalkan sokongan mereka, ahli politik tertinggi perlulah memberikan pelbagai habuan politik, paling penting sekali penjawatan. Sebaik sahaja dilantik sebagai pegawai, ahli politik tersebut akan mulai menjadikan jabatannya sebagai 'fiefdom'nya sendiri.
"Dan kerana antara ahli politik ini penuh dengan persaingan, kerjasama antara jabatan ataupun koordinasi menjadi sesuatu yang sangat sukar, walaupun di hadapan krisis besar," katanya.
Oh berkata ini dapat menjelaskan mengapa ia mengambil hampir seminggu sebelum ketua sebuah jabatan ditugaskan dalam mengendalikan pencarian pesawat MH370.
"Suasana politik Malaysia akan menentukan menteri manakah yang tidak suka dipimpin oleh yang lain kerana tidak mahu hilang muka.

"Tetapi ia suatu paradoks, kerana semakin penyelesaian krisis ini berlanjutan dan menarik lebih kritikan tentang kepimpinan mereka yang lemah, tidak hairanlah menteri-menteri yang berkenaan tidak begitu berminat dalam menyandang kepimpinan itu sekarang." tambahnya. – 24 Mac, 2014.
Penggubal undang-undang AS selar Malaysia kerana kerjasama suram dalam mencari MH370
MI - MARCH 24, 2014
Penggubal undang-undang Amerika Syarikat (AS) mengkritik Malaysia tentang apa yang mereka gambarkan sebagai kerjasama suram dalam mencari pesawat MH370, lapor Wall Street Journal (WSJ) pagi ini.
Penerbangan Malaysia Airlines Boeing 777-200ER membawa 239 penumpang apabila hilang pada 8 Mac semasa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing.
Nasib pesawat tersebut masih belum diketahui selepas 16 hari operasi mencari dan menyelamat antarabangsa dari Lautan Hindi hingga Laut China Selatan.
"Saya fikir semua pihak mahu kerajaan Malaysia lebih terbuka dalam berkongsi maklumat yang mereka perolehi," kata Patrick Meehan daripada parti Republikan, ahli Jawatankuasa Keselamatan Dalam Negeri kepada CNN.
"Laporan yang saya terima adalah mengecewakan," Meehan dipetik berkata dalam laporan WSJ. "Kami hanya diberikan sedikit maklumat."
Michael McCaul ahli parti Republikan (Texas), pengerusi jawatankuasa sama menuduh Malaysia terkial-kial dalam pencarian awal.
McCaul memberitahu Fox News semalam beliau percaya pesawat MH370 berada di Lautan Hindi.
"Saya fikir kerajaan Malaysia membuang masa memberikan tumpuan di laluan utara di Teluk Thailand, Kazakhstan," katanya.
"Ia akan dikesan oleh radar dan kita tahu tentang itu. Saya tahu tentang imej satelit yang diberikan kepada Malaysia, dan kami membuang masa berharga selama seminggu di rantau itu apabila sebenarnya ia berada di selatan Lautan Hindi," beliau dipetik berkata dalam akhbar perniagaan itu.
Timbalan Penasihat Keselamatan Dalam Negeri Presiden Barack Obama, Tony Blinken bagaimanapun memuji Malaysia, China dan negara lain kerana bekerjasama dalam misi pencarian itu.
"Kita melihat negara-negara bekerjasama dalam cara yang mereka tidak pernah lakukan sebelum ini," kata Blinken kepada CNN.
Tetapi Blinken mengatakan selepas dua minggu, masih belum ada "teori kukuh" tentang apa yang terjadi kepada pesawat MH370.
Malaysia mendedahkan semalam Perancis mempunyai imej satelit yang menunjukkan objek terapung, berpotensi sebagai serpihan di kawasan pencarian utama pesawat MH370 di Lautan Hindi bagi Australia.
Pegawai kerajaan Australia berkata semalam, salah sebuah kapal terbang yang digunakan untuk mencari pesawat MH370 dapat mengesan palet kayu kargo bersama-sama tali pinggang atau tali di kawasan terpinggir Lautan Hindi.
Objek itu dilihat oleh salah satu pesawat awam yang membantu mencari Boeing 777-200ER pada Sabtu.
Agensi berita AFP melaporkan pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA) mengesahkannya sebagai "visual pertama dilihat dalam carian setakat ini".
Dibantu oleh beberapa negara lain, AMSA sedang melakukan "pencarian berkaedah" di kawasan perairan seluas 59,000 kilometer persegi.
Mereka sedang mencari objek besar yang ditemui satelit pada 16 dan 18 Mac.
Kementerian Pengangkutan Malaysia mengatakan Australia, China dan Perancis sudah mengeluarkan imej satelit yang berkemungkinan besar objek boleh dikaitkan dengan MH370.
China sudah menghantar kapal mereka untuk mencari pesawat tersebut, menambah kepada kapal tentera laut Britain dan Australia yang sudah mula mencari.
Jika pesawat terhempas di lautan, penyiasat berharap untuk mengenalpasti kawasan terhempas tersebut sebelum kotak hitam pesawat berhenti memberikan isyarat – kebiasaannya selepas 30 hari.
Kotak hitam pesawat amat penting untuk mengetahui apa yang sebenarnya berlaku kepada Boeing 777 dengan 239 penumpang dan anak kapalnya dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing itu. – 24 Mac, 2014.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa