Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Sunday, March 23, 2014

PRK Kajang: Tahniah Dr. Wan Azizah

Pertamanya aku kesan Malaysia Insider pun terbuat silap juga dengan keterangan gambar di bawah yang menyatakan calon pembangkang sedangkan ini adalah PRK Negeri Selangor. Maknanya calon dari PKR adalah calon kerajaan!

Di PRK pula aku dah semak Dr. Wan Azizah menang dengan undi popular mengecil dari 59.60 peratus di PRU13 yang lalu ke 57.07 peratus yang dimenangi Dr. Wan Azizah
Maknanya undi popular calon PKR mengecil sebanyak 2.67 peratus di sebabkan faktor apa entahlah
Mungkin selepas pos-mortem nanti akan dapat jawapannya

PRK Kajang: Dr Wan Azizah menang dengan majoriti lebih kecil
OLEH MOHD FARHAN DARWIS
MARCH 23, 2014
LATEST UPDATE: MARCH 23, 2014 10:15 PM
Calon PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (tengah)meraikan kemenangannya bersama suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tiga dari kanan) serta pemimpin kuat parti. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 23 Mac, 2014.

Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berjaya memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang dengan majoriti lebih kecil apabila mendapat 16,741 undi berbanding calon Barisan Nasional (BN) Datin Paduka Chew Mei Fun yang hanya berjaya mendapat 11,362 undi.
Kemenangan yang sudah dijangka itu melihatkan PKR meneruskan penguasaan mereka di kerusi campuran berkenaan, kerana sebelum ini Kajang adalah kerusi mereka yang dimenangi oleh Lee Chin Cheh.
Lee memperoleh 6,824 undi majoriti pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), menewaskan lima lagi calon lain.
Dr Wan Azizah bagaimanapun hanya memperoleh 5,397 majoriti, kurang sekitar 1,000 undi apabila hanya 72%, atau 28,314 pengundi yang keluar mengundi berbanding 88.40% pada PRU13.
Kerusi DUN Kajang meliputi sejumlah 39,278 pengundi berdaftar yang layak mengundi dalam PRK kali ini.
Proses pengundian bermula jam 8 pagi dan tamat sekitar jam 5 petang dengan menyaksikan sejumlah 15 pusat daerah mengundi dibuka.
Kekosongan kerusi DUN Kajang berlaku secara mengejut apabil Lee secara tiba-tiba mengosongkan kerusinya bagi memberikan laluan kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membolehkan pemimpin pembangkang itu menyertai pentadbiran negeri Selangor.
Ekoran keputusan Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap Anwar, atas kesalahan meliwat bekas pembantunya sekaligus menyaksikan beliau terlucut kelayakan bertanding, yang memaksa PKR meletakkan Dr Wan Azizah sebagai calon ganti.
Proses pemilihan berjalan dengan aman meskipun, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Asri Abdul Aziz Yusof menasihati penyokong parti agar tidak melakukan sebarang provokasi keterlaluan apabila terdapat beberapa penyokong yang membawa kangkung dan kelapa ke kawasan pengundian.
"Saya menerima laporan terdapat penyokong parti yang membawa sayur kangkung. Saya tidak tahu relevannya.
"Membawa sayur kangkung ini menjadi provokasi kepada pihak lain," katanya.
"Sayur ini untuk dimakan, jangan buat pembaziran. Kalau ramai sangat bawa kangkung ini ke sana ke sini, itu tidak elok," kata Abdul Aziz kepada pemberita ketika ditemui semasa melawat pusat daerah mengundi.

PRK DUN Kajang disifatkan sebagai "Langkah Kajang" oleh pemimpin PKR, namun parti lawan melihatnya sebagai usaha Anwar untuk menamatkan kemelut dalaman yang wujud dalam PKR antara Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali. – 23 Mac, 2014.
Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bersama suami, Datuk Seri Anwar Ibrahim disambut para penyokong yang turut serta meraikan kemenangan di PRK Kajang. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 23 Mac, 2014.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa