Cecilia Jeyanthi Victor - 07:30PM Mac 01 2014
PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) telah berkata sekali lagi. “Melalui objektif utama kami bagi membasmi rasuah, kami tidak hanya menangkap ‘ikan bilis’, malahan ‘jerung’ juga.”
Dalam sebuah kenyataan kepada theantdaily, pengarah bahagian komunikasi strategik SPRM Azmi Alias berkata yang pelbagai dakwaan, bahawa badan itu tidak memburu individu berprofil tinggi, dan hanya menyiasat mereka yang berjawatan rendah, adalah tidak berasas dan dilakukan bagi merendah-rendahkan SPRM.
Pada 26 Februari, theantdaily menerbitkan sebuah rencana bertajuk “Malaysia, kita bermasalah, rasuah berleluasa” yang mengenengahkan pelbagai bentuk rasuah di negara ini.
Azmi berkata bahawa SPRM telah membuktikan kebebasan yang mereka miliki dengan menyiasat kes rasuah berprofil tinggi melibatkan bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohamed Khir Toyo, National Feedlot Centre (NFC), dua orang bekas pengarah Silver Bird, bekas CEO Sime Darby Berhad, dan sebuah kes melibatkan seorang penimbang tara.
Dalam laporan ini, kami memetik Asia-Pacific Fraud Survey Report Series 2013 yang menyatakan bahawa Malaysia dan China memiliki tahap rasuah dan korupsi yang paling tinggi.
Kaji selidik itu mengkaji 681 orang eksekutif di China, Singapura, Australia, New Zealand, Indonesia, Vietnam, Malaysia dan Korea Selatan, dan ramai dari mereka merasakan bahawa China, Indonesia, Malaysia dan Vietnam adalah negara yang paling korup.
Kami turut menekankan isu yang sentiasa bermain, isu politik wang dalam politik negara ini dan korupsi dalam sektor swasta dan awam, termasuklah pengubahan wang haram di penjara.
Dalam kenyataan beliau, Azmi berkata: “Kami ingin menyatakan beberapa perkembangan positif dalam bidang pencegahan rasuah di Malaysia, yang sedang diterajui SPRM.”
“Kenyataan bahawa Malaysia telah gagal dalam menentang rasuah adalah mengejutkan dan tidak berasas, kerana Pejabat Dadah dan Jenayah PBB (UNODC) pun telah mengiktiraf pencapaian membanggakan Malaysia dalam bidang ini.
“Laporan penilaian UNODC ini, yang dilancarkan di Kuala Lumpur pada 7 Februari, memperakui 23 amalan terbaik negara ini dalam menentang rasuah.
“Laporan ini turut memuji kesungguhan kami dalam melaksanakan pelbagai langkah dan strategi membasmi rasuah, termasuklah peranan Panel Penilaian Operasi (PPO).”
Azmi menjelaskan yang PPO adalah salah satu antara lima panel bebas yang memantau peranan dan fungsi SPRM.
“UNODC menilai pelbagai negara, dan laporannya mengkelaskan Malaysia sebagai sebuah negara yang menurut banyak panduan,” jelas beliau lagi.
Shervin Majlessi dari Pejabat Rantau Asia Tenggara UNODC dilaporkan berkata, “Yang penting, penilai turut menekankan beberapa kejayaan dan amalan terbaik, di mana undang-undang Malaysia telah mengambil tindakan lebih dari keperluan konvensyen ini, contohnya dalam anggapan yang boleh dipatahkan mengenai ganjaran yang diterima secara korup, ataupun ketiadaan had masa bagi kes korupsi.”
“Ini termasuklah aturan institusi, seperti PPO SPRM bagi menangani kelambatan tanpa campur tangan dengan budi bicara pendakwa, dan penubuhan SPRM dan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia dan mahkamah anti-rasuah yang khusus, kerjasama antara agensi dan beberapa inisiatif pencegahan rasuah.”
SPRM turut berkata yang berdasarkan Corruption Perception Index (CPI) 2013 Transparency International, negara ini mendapat 50 markah, dan berada di tangga 53 daripada 177 negara.
“Ini menandakan yang usaha SPRM telah berjaya,” ujar Azmi.
Beliau menegaskan yang SPRM bersungguh-sungguh dalam menentang rasuah, tetapi dia memperakui ia bukannya sesuatu yang mudah dan badan ini memerlukan sokongan kuat orang awam.
SPRM turut memandang saranan presiden Transparency International-Malaysia (TI-M) Datuk Akhbar Satar bahawa “kita berada di landasan yang betul, tetapi kerajaan mesti bekerja lebih keras; perlu ada lebih banyak kes berprofil tinggi, dan SPRM perlu lebih berkesan.”
Azmi menambah yang dari segi ‘kesenangan menjalankan urusan’, kaji selidik International Finance Corporation-World Bank menunjukkan yang Malaysia berada di tangga keenam.
“Tiada siapa yang mahu berurusan di Malaysia sama sekali jika tahap rasuah di negara ini adalah seburuk yang didakwa sesetengah pihak,” ujar beliau.
“theantdaily tidak seharusnya tidak mengendahkan Global Corruption Barometer (GCB) 2013, yang dibuat berdasarkan kaji selidik bagi mengukur pendapat, pengalaman dan tanggapan orang ramai mengenai korupsi, termasuklah pandangan mengenai usaha kerajaan menentang korupsi, yang dijalankan dari September 2012 dan Mac 2013.”
Tambah beliau lagi, Malaysia telah mencatatkan kadar sabitan lebih tinggi dalam tangkapan berkaitan korupsi. Dadipada 701 tangkapan pada 2012, SPRM mendapat 85% sabitan, lima peratus lebih tinggi dari penanda aras antarabangsa bagi prestasi baik.
“Menurut laporan SPRM 2012, kadar sabitan telah naik dari 54% pada 2009, kepada 75% pada 2010 dan 2011.
“Jumlah terkumpul denda adalah RM14.5 juta, dan dari 401 buah kes yang dibawa ke mahkamah rendah, 85% keputusan kes ini menyebelahi pihak pendakwa.”
Sehingga kini, SPRM telah memperkenalkan lebih dari 20 inisiatif bagi memperbaiki proses dan strategi penyiasatan mereka.
SPRM perlu akui bahawa persepsi masyarakat terhadap badan tersebut memang sangat negatif.Kita tidak perlu dengan Tatacara atau Prosedur Operasi yang hebat tetapi tindakan lembab atau terpilih, kerana yang diperhatikan oleh rakyat ialah tindaktanduk SPRM apabila timbul kes2 jelas yang melibatkan pemimpin2 negara dan keluarga mereka.Kelemahan kebanyakan badan2 berkuasa di negara ini adalah tidak mahu menerima teguran rakyat dan beranggapan mereka adalah betul dan hebat sambil mereka lupa yang mereka dibiayai oleh wang rakyat.
ReplyDelete