Maklumat ini masih bersifat sulit kerana ia belum diketahui oleh sesiapa. Tiada cakap-cakap mengenai perkara ini sebelum ini. Apa yang saya perolehi ini pun kebetulan saja. Masa menghadiri kenduri kesyukuran dan aqiqah cucu seorang kawan saya di Cheras tadi terdengar seseorang sedang bercakap-cakap dengan kawan saya tentang maklumat yang mengejutkan ini.
Mendengar butir cakapnya agak sulit saya sengaja tidak menghampirinya bimbang topik percakapan itu terhenti. Kawan kepada kawan saya itu bekas pegawai tinggi kerajaan yang kini merupakan seorang kontrektor.
Tema percakapan mereka di meja makan itu mengenai beberapa penyelewengan yang berlaku dalam kerajaan dari peringkat jabatan, syarikat kerajaan (GLC) dan kementerian sendiri. Dari kisah projek lembu gemuk (NFC), Felda sampailah kepada isu-isu lama yang menjadi contoh klasik seperti skandal BMF yang penuh misteri melibatkan Dr Mahathir Mohamad dan juga pembelian kapal selam.
Selepas selesai majlis kami pulang dan saya tidak sabar-sabar untuk mengetahui apa yang diceritakan oleh seseorang kepada kawan saya tadi. "Apa yang dibual tadi nampak ralik dan serius benar?" tanya saya.
Sebenarnya kawan saya ini sudah pun hendak memberi tahu apa yang didengari apa yang diceritakan oleh kawannya tadi. "Ini rahsia besar demo (you) patut siasat perkara ini," katanya membuat saya tertanya-tanya.
"Apa dia?" Tanya saya tak sabar.
"Tabung Haji telah mengeluarkan pinjaman kepada sebuah syarikat sebanyak RM700 juta. Syarikat yang mendapat pinjaman itu besar kemungkinan tidak akan dapat membayar balik kerana sudah nak mampus," katanya dengan wajah yang penuh kekesalan dan marah atas apa yang berlaku.
"Habis dah negara kita ini. Kalau wang Tabung Haji ini pun disamun, apa lagi yang orang Melayu (Islam) ada?" runggutnya geram.
"Macam mana tu?" saya minta penjelasan.
Tabung Haji telah mengeluarkan wangnya sebanyak RM700 juta menerusi skim Ar-Rukuk. Wang itu dikeluarkan menerusi dua buah bank satu bank dalam negeri dan satu lagi bank luar negeri. Bank dalam negeri terlibat ialah Maybank menerusi sistem Islamnya manakala bank luar negeri ialah bank Ar Rajihi?
"Syarikat itu milik siapa dan berniaga apa?" tanya saya.
"Dia tak nak cerita sebab ini rahsia besar katanya. Tetapi pegawai tertinggi Tabung Haji pasti tahu". Jelas kawan saya itu.
"Bila Tabung Haji keluarkan wang itu?" asak saya lagi untuk mengetahui latar belakangnya mengenai pengeluaran wang berkenaan bagi memudahkan membuat siasatan.
"Dia tak nak cerita...dia tak berani kerna tidak ramai yang mengetahuinya..." jelas kawan itu lagi sambil menekan dia yakit apa dicerita itu benar. Katanya dia mendesak beberapa kali, tetapi tidak mahu menyebut cuma menyatakan setakat itu saja.
Kerana saya kurang tahu berhubung skim pijaman itu, semalam saya menghubungi seorang yang saya kira dapat membantu memberi penjelasan. Dia ialah bekas Naib Gebenur Bank Negara yang duduk satu pejabat dengan Awang Adek Hussein.
Menurut kawan ini memang ada skim Ar-Rukuk. Menurutnya Ar-Rukuk ialah dari konteks perbankan Islam tetapi kalau ikut bank biasa ia dipanggil 'bon'. Ar-rukuk ini satu kaedah pinjaman bon secara Islam di mana bank akan memberi wang untuk membiayai mana-mana syarikat dengan syarat syarikat berkenaan berdaya maju dan kukuh. Untuk mengeluarkan bon (ar-rukuk) itu juga ia memerlukan penjamin.
Ertinya memang ada istilah ar-rukuk yang mungkin digunkan oleh Tabung Haji membelanjakan wangnya sebanyak RM700 juta untuk membiayai mana-mana syarikat. Tabung Haji terpaksa menggunakan bank untuk mengeluarkan wangnya kerana Tabung Haji tidak boleh mengeluarkan wangnya secara langsung kerana terhalang oleh akta dan peraturan yang ketat.
Soalnya sekarang agiu kawan saya itu sudah pasti ada orang besar yang mengarah Tabung Haji supaya mengeluarkan wang sebanyak itu. Tanpa ada arahan tidak mungkin Tabung Haji berani mengeluarkan wang milik penyimapan sebanyak itu.
Jika benarlah apa yang diceritakan ini ia satu lagi kemalangan kepada negara ini khasnya orang Melayu Islam. Nampaknya dana awam terus disalahgunakan. Penggunaan wang Tabung Haji di mana wang yang disimpan untuk menunaikan Haji adalah perbuatan yang paling keji dan buruk, ia merupakan ibu segala keburukan.
Secara peribadi saya tidak merasai sedikit kehairanan pun kalau ini benar berlaku. Kalau wang zakat boleh disalah gunakan apa lagi dengan wang Tabung Haji. Itu perkara mudah dan cincai saja. Asalkan ada arahan dari atas maka orang tengah dan bawah akan laksanakan.
Sekali lagi Jamil Khir Bahrum menteri yang bertanggungjawab menjaga Tabung Haji harus memberi penjelasan mengenai maklumat ini. Jamil perlu tampil membuat kenyataan sama ada menafi atau mengiyakan. Ini penting kerana RM700 juta itu adalah wang rakyat. Manakala pihak bank tidak dapat mendedahkan kerana ia adalah perkara sulit dan melibatkan integriti bank berkenaan.
Sumber asal - MSO
No comments:
Post a Comment
Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa