Kajian polis: Paras rupa kurang menarik mendorong penderaan kanak-kanak
KUALA LUMPUR, 15 Feb — Kajian polis mendapati kanak-kanak yang
mempunyai paras rupa kurang menarik antara yang mudah menjadi mangsa
dera.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Penderaan dan
Kanak-kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia (PDRM)
ACP Hamidah Yunos berkata paras rupa tidak menarik dilihat menjadi
faktor pendorong perasaan marah ibu bapa atau penjaga dan seterusnya
bertindak untuk memukul.
“Kalau kita tengok dalam kalangan adik beradik pun biasanya yang
tidak menarik parasnya akan dipinggirkan, begitu juga dengan kes dera,
ibu bapanya terdorong untuk memukul,” katanya kepada Bernama.
Hamidah berkata kajian juga mendapati ibu bapa yang pernah didera
semasa zaman kanak-kanak sebenarnya turut mempengaruhi psikologi mereka
melakukan perkara yang sama terhadap anak-anak mereka.
Beliau berkata tekanan kerja kekal menjadi faktor utama berlaku
penderaan terutamanya apabila kebanyakan ibu bapa masa kini mempunyai
kerjaya.
“Mereka tidak lagi mempunyai pertimbangan untuk tahan dengan sikap
anak-anak dan sasarannya anak-anak yang banyak ragam atau nakal.
“Begitu juga dengan kanak-kanak yang berada di bawah jagaan pengasuh,
apabila mereka ditekan oleh ibu bapa agar memastikan penjagaan
anak-anak mereka berada pada tahap terbaik, ia seakan menjadi bebanan
kepada pengasuh sehingga berlakunya kes penderaan,” katanya.
Hamidah turut mendedahkan trend ibu bapa dan pengasuh masa kini mudah
mereka-reka cerita kononnya anak atau kanak-kanak di bawah jagaan
mereka mengalami kecederaan akibat terjatuh atau sebagainya bagi
mengaburi perbuatan dera yang telah dilakukan.
“Apabila hari-hari didera, kanak-kanak itu tadi mengalami kecederaan
kritikal, pelaku mula risau dan membawa kanak-kanak tersebut ke hospital
untuk mendapatkan rawatan dengan melaporkan kanak-kanak itu terjatuh
atau sebagainya.
“Tetapi apabila pemeriksaan dijalankan, doktor mendapati kecederaan
yang dialami kanak-kanak itu sebenarnya kesan luka lama dipercayai
didera. Ia juga sama sekali tidak konsisten dengan laporan yang dibuat
pelaku semata-mata untuk melindungi diri mereka daripada perbuatan
mendera,” katanya.
Beliau berkata sekiranya doktor yang memeriksa berhadapan dengan kes
seperti itu, mereka mempunyai kuasa untuk melaporkan kes kepada pihak
polis dan pelaku itu tadi tidak mempunyai peluang untuk melepaskan diri
di atas perbuatan yang telah mereka lakukan.
“Apabila kita terima laporan, kita akan hubungi Jabatan Kebajikan
Masyarakat untuk beri sesi kaunseling atau tempat perlindungan kepada
mangsa. Kita juga akan jalankan siasatan dan mangsa yang berumur di
bawah 16 tahun akan dihantar ke Pusat Sokongan dan Temuduga Forensik
Kanak-kanak (PSTFK) untuk rakaman keterangan melalui video,” kata
Hamidah.
Katanya ibu bapa dan pengasuh menjadi penyumbang utama dalam kes
penderaan kanak-kanak dengan statistik terkini merekodkan sebanyak 285
kes penderaan kanak-kanak pada tahun lepas berbanding 2010 sebanyak 242
kes.
“Statistik itu juga menunjukkan peningkatan kira-kira 17.8 peratus.
Ia menunjukkan orang ramai termasuk doktor yang merawat mangsa dera
semakin peka dan mempunyai kesedaran untuk melaporkan kes penderaan
kepada pihak polis.
“Ini bermakna masyarakat telah sedar bahawa penderaan kanak-kanak adalah jenayah berbanding dulu,” katanya.
Berdasarkan statistik, kanak-kanak berusia satu hingga tujuh tahun
menjadi mangsa penderaan tertinggi dalam tempoh dua tahun berturut-turut
iaitu pada tahun lepas sebanyak 136 orang berbanding 117 pada 2011,
diikuti kanak-kanak berusia tujuh tahun ke atas sebanyak 99 orang
berbanding 82 orang dan kanak-kanak berusia kurang satu tahun sebanyak
50 orang berbanding 43 orang, katanya.
“Majoriti penderaan berlaku ke atas kanak-kanak lelaki yang dianggap lebih lasak berbanding kanak-kanak perempuan,” katanya.
Statistik turut merekodkan kes penderaan tertinggi mengikut negeri
adalah Selangor dan Johor, masing-masing 67 kes diikuti Pulau Pinang
(25), Negeri Sembilan (24), Kuala Lumpur (18), Sarawak (15), Melaka
(13), Perak (12), Kelantan (10), Sabah (10), Pahang (9), Kedah (8),
Terengganu (4) dan Perlis (3).
Individu didapati bersalah melakukan penderaan boleh didakwa mengikut
Seksyen 31 Akta Kanak-kanak (AKK) iaitu kesalahan penganiayaan,
pengabaian, pembuangan atau pendedahan kanak-kanak yang membawa hukuman
denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau
kedua-duanya, katanya. — Bernama
Salam Yob Mountdweller
ReplyDeleteTerimalah wajah kita seadanya. Mungkin yang tak cantik itu ada kelebihan lain. Semua kehendak Allah.
Waulahuaklam