Sekumpulan anggota akar umbi MCA hari ini mengumumkan kempen untuk menjatuhkan presiden parti Datuk Seri Chua Soi Lek.

Ia bermula dengan mendesak lembaga disiplin parti mengambil tindakan terhadap Chua atas dakwaan mengetepikan pendirian parti untuk tidak menerima kedudukan dalam kerajaan.

Punca perbalahan itu ekoran Chua masih memegang jawatan pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang.

NONEMenamakan diri sebagai "Jawatankuasa Selamatkan Parti 3.0", mereka akan menghantar surat kepada majlis presiden secepat mungkin dengan harapan lembaga disiplin akan diarahkan menyiasat Chua.

Bercakap dalam sidang media hari ini, ketua MCA Wangsa Maju Yew Teong Look berkata, lapan bahagian akan terlibat dalam langkah itu.

Jika gagal, mereka akan mempertimbangkan memulakan peringkat kedua gerakan anti-Chua, iaitu dengan menyingkirkan presiden melalui mesyuarat agung khas (EGM), kata jurucakap kepada lapan bahagian itu.

Ini merupakan kali pertama aduan berhubung masalah disiplin melibatkan presiden difailkan, sekali gus langkah pertama ke arah penyingkiran secara pemakzulan (impeachment), jika menjadi kenyataan.

Sebelum ini sudah ada jawatankuasa hampir sama dibentuk untuk menjatuhkan pemimpin lain MCA sebelum ini. Sasaran kali pertama melibatkan Tan Sri Ong Ka Ting dan kedua Datuk Seri Ong Tee Kiat (Jawatankuasa Selamatkan Parti 2.0).