'Bouncer' pusat hiburan cedera ditembak
9 Ogos 2013
GEORGETOWN - Seorang 'bouncer' di sebuah pusat hiburan di Jalan Keramat di sini, cedera di paha selepas terkena tembakan dalam kejadian awal hari ini.
Chong Peng Meng, 43, dari Flat Jalan Tan Sri Teh Ewe Lim bersama rakannya ditembak seorang suspek bertopi keledar sejurus tiba di tempat letak kereta pusat hiburan itu pada pukul 12.50 pagi.
"Suspek telah melepaskan beberapa das tembakan ke arah mangsa yang sedang turun dari keretanya jenis BMW dan satu das tembakan mengenai paha sebelah kiri mangsa," kata Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kong Meng ketika dihubungi Bernama di sini.
Gan berkata mangsa yang kini dirawat di Hospital Pulau Pinang dilapor dalam keadaan stabil manakala rakannya tidak cedera.
Siasatan awal polis di tempat kejadian menemukan tujuh kelongsong peluru jenis 9mm dan mendapati satu das tembakan mengenai kereta jenis Perodua Myvi milik orang awam, katanya.
Katanya polis percaya kejadian ada kaitan dengan pergaduhan antara kumpulan kongsi gelap.
Seorang saksi yang mahu dikenali sebagai Tan, 43, berkata suspek yang berkulit cerah telah mengacukan pistol ke arah tempat duduk pemandu ketika mangsa sedang keluar dari kereta itu.
"Suspek yang bertopi keledar hitam telah melepaskan beberapa das tembakan sebelum melarikan diri dengan sebuah motosikal yang tidak diketahui nombor plat dan jenisnya," katanya. - Bernama
No comments:
Post a Comment
Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa